Gembira, bangga jual Jalur Gemilang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Gembira, bangga jual Jalur Gemilang

MERDEKA! Merdeka! Merdeka!.  Laungan keramat yang hanya dapat didengar sekali dalam setahun.

Bagi peniaga, inilah saat mereka dapat melampiaskan rasa cinta pada tanah air dengan menjual pelbagai barangan yang menggambarkan erti kemerdekaan.

Tidak kiralah bendera, baju T, aksesori atau apa sahaja. Bukan untung yang dicari, tetapi rata-rata mereka merasa puas dapat melihat Jalur Gemilang digayakan dengan pelbagai cara.

Jualan memberangsangkan daripada pelajar

Pekerja kedai serbaneka, Norarfah Mohd Asmawi,30, berkata jualan sejak awal bulan dilihat memberangsangkan terutamanya golongan pelajar.

Apatah lagi lokasi kedai tersebut berdekatan dengan sekolah rendah dan menengah, permintaan sentiasa ada namun bendera kecil berharga RM2.10 sahaja laris.

"Saya suka tengok mereka beli dan menggayakan di kawasan sekolah mereka. Ada yang letak di beg. Apabila ditanya, mereka kata semua untuk mehiasan kelas mereka. saya bersemangat untuk sama-sama meraikan hari penuh bersejarah ini di Dataran Shah Alam.

"Berbeza tahun-tahun sebelum ini, sambutan agak meriah dan kebanyakan masyarakat memasang bendera di kereta masing-masing.

Kali ini berbeza sekali, suasana lebih tenang berbanding tahun lepas," katanya

Permintaan tinggi untuk kenderaan

Pemilik kedai buku dan alat tulis, Syahrizal Hashim, berkata, kebanyakan pelanggannya adalah daripada golongan pemandu teksi yang membeli Jalur Gemilang untuk diletakkan di kenderan masing-masing.

"Ada juga yang meletakkan di lori atau lain-lain kenderaan bagi tujuan melahirkan rasa cinta pada tanah air.

"Permintaan agak tinggi untuk bendera jenis itu," katanya.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, dia terus mengambil tempahan Jalur Gemilang untuk memastikan pelanggan mudah mendapatkannya.

"Tahun ini saya menempah lebih 50 Jalur Gemilang pelbagai saiz untuk dijual di kedai.

"Kebanyakan Jalur Gemilang ini juga dibeli secara borong oleh kakitangan pejabat dan sekolah," katanya.

200 bendera dijual

Seorang lagi peniaga, Mak Ani tidak ketinggalan menjual bendera sempena bulan kemerdekaan ini.

"Saya suka jual bendera. Lagipun, ia bermusim.

Bila masa merdeka ni, Alhamdulillah, ramai yang mencari. Ada yang letak di an rumah, gantung di luar pejabat, tidak kurang ada yang letak di kereta.

"Saya suka tengok ia berkibar di sana-sini. Ia menggambarkan kita semua bersatu hati dan sayangkan negara kita," katanya.

Katanya, tahun ini sahaja, dia berjaya menjual lebih 200 bendera sejak awal bulan lalu.

"Saya ni peniaga kecil-kecil sahaja. Bila habis stok, saya cepat-cepat buat tempahan, tak mahulah sampai kosong rak tu nanti.

"Ada bendera saiz kecil, besar dan kebanyakannya laku dibeli pelajar sekolah," katanya

Cenderamata Jalur Gemilang ada peminat

Sementara itu, pekerja kedai cenderamata, Zaki Zainal mengakui cenderamata Jalur Gemilang mempunyai peminatnya tersendiri.

"Saya jual barangan cenderamata dan apabila tiba bulan kemerdekaan, ramai yang mencari bagi memperingati hari bersejarah ini.

"Macam-macam barangan ada seperti baju T, bendera dan pelbagai lagi," katanya.

Pekerja kedai serbaneka, Bosco berkata, kedainya menyimpan stok cenderamata bagi memastikan pembeli tidak pulang dengan tangan kosong.

"Walaupun penjualan ini bermusim, tetapi ia tetap memberangsangkan kerana ini antara yang sering dicari-cari pembeli," katanya.

Begitu juga dengan pemilik kedai plastik, Ah Chan berkata jualan secara bermusim seperti ini tidak pernah memberi impak negatif kepada mereka.

"Jual bendera ni pun banyak persaingan.

Jadi siapa bijak buat promosi, pasti laris produk jualan mereka.

"Kalau hanya letak sahaja, orang pun tak tahu kedai tu ada jual ke tidak. Saya seronok dapat sama-sama menyampaikan mesej hari merdeka kepada pembeli di kedai saya," katanya.

0 Komentar untuk " Gembira, bangga jual Jalur Gemilang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ