Elynn nekad jadi usahawan berjaya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Elynn nekad jadi usahawan berjaya

TRADISI potong atau makan kek pada hari istimewa telah menggantikan era pulut kuning kira-kira 10 tahun lalu.

Memotong kek dianggap momen indah yang dinanti-nantikan dalam sesebuah majlis sambutan ulang tahun kelahiran atau resepsi perkahwinan sahaja. Kini ia menjadi hidangan enak tanpa mengira masa, antaranya minum petang dan majlis keraian.

Kekangan masa dan tidak mahu bersesak menjadi alasan ramai enggan berkunjung ke kedai kek atau kafe yang menyediakan hidangan kek. Peluang keemasan itu tidak disia-siakan usahawan kek, Nor Khairul Barian Nordin, 35.

Usahawan yang lebih dikenali sebagai Elynn Nordin ini banyak berniaga secara atas talian.

Elynn meninggalkan kerjaya sebagai pembantu peribadi di sebuah bank kerana mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan pastri.

“Pada mulanya, saya menjual kek secara sambilan kerana masih bekerja dan melihat trend peningkatan tempahan kek semakin meningkat, saya mengambil keputusan berhenti kerja.

“Kini saya menumpukan perhatian menjual kek di laman sosial seperti Facebook dan Instagram,” kata anak kelahiran Johor ini.

Belajar secara suka-suka

Mengakui bukan seorang yang suka ke dapur atau tidak mengambil kisah perihal masak memasak ini, tindakannya berhenti kerja pada awal tahun lalu kerana mahu terlibat dalam perniagaan kek, ditegur banyak pihak.

“Sebenarnya saya tidak pandai membuat kek dan tidak ada kelas asas dalam bidang pastri atau kulinari. Saya hanya belajar membuat kek secara suka-suka sahaja melalui buku dan YouTube,” katanya.

Teguran orang sekeliling sedikitpun tidak mematahkan semangatnya kerana nekad mahu menjadi usahawan berjaya.

“Alhamdulillah, lama-kelamaan mereka boleh menerima keputusan saya. Malah mereka juga beri sokongan dan tidak lokek memberikan pertolongan sekiranya diperlukan,” katanya.

Pada mulanya, Elynn memperkenalkan kek kepada rakan pejabat sahaja, namun ia semakin berkembang menyebabkan keknya popular.

Sejak memperkenalkannya kepada rakan-rakan, Elynn menerima banyak tempahan terutamanya kek hari jadi dan perkahwinan serta majlis minum petang sekitar Lembah Klang.

“Saya lihat itu satu perkembangan baik. Saya mengambil sebanyak mana peluang untuk memantapkan setiap kek yang dihasilkan.

“Alhamdulillah, ramai yang kata kek saya sedap kerana tidak terlalu manis, ringan dan gebu. Pernah sekali ada pelanggan tegur mengenai hiasan di atas kek nampak kurang stabil. Saya tidak memandang remeh teguran itu dan memperbaikinya,” katanya.

Elynn berkata, modal permulaannya untuk menjalankan perniagaan tidak banyak kerana dia membeli barangan asas sahaja.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, saya menerima banyak tempahan kek. Malah tempahan akan meningkat terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan,” katanya.

Kini, saya mempunyai enam jenis kek dan fokus kepada kek bertema. Tempahan diterima lima hari sebelum penghantaran dilakukan.

Pernah ditipu pelanggan

Dugaan adalah asam garam dalam perniagaan. Sejak berada dalam dunia perniagaan kek, Elynn juga tidak terlepas ditipu mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Ada pelanggan hanya menempah dan tidak mengambilnya. Ada menunjukkan resit bayaran, namun apabila disemak, bayaran tidak buat.

“Kerap berlaku sedemikian, kadang-kadang saya menghantar sendiri kek kepada pelanggan yang berada di sekitar Lembah Klang dan Johor jika mereka tidak dapat mengambilnya. Ada juga yang mengambil sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia lebih berhati-hati sebelum menerima tempahan daripada pelanggan.

“Ada juga pelanggan yang tidak kisah dengan harga berdasarkan kek mereka mahukan. Selalunya harga kek berdasarkan jenis kek dan hiasan yang mereka mahu.

“Idea hiasan kek adalah hasil perbincangan saya dan pelanggan, kadang-kadang mereka menyerahkan sepenuhnya kepada saya.  Harga kek perkahwinan bermula daripada RM180 dan Doll Cake pula bermula daripada RM350," katanya.

Keknya juga ditempah oleh orang kenamaan dan golongan selebriti.

Mahu ada kedai kek sendiri

Elynn merancang untuk membuka kedai kek sendiri pada tahun hadapan kerana selama ini hanya menjalankan perniagaan di rumah yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.

“Saya memanfaatkan kemudahan internet untuk memasarkan kek saya. Bagaimanapun, saya juga menggunakan cara lama untuk mempromosikan kek saya, antaranya dengan mengedarkan flyers sekitar kawasan perumahan.

“Alhamdulillah, ia sangat efektif kerana pelanggan menghubungi saya untuk membuat tempahan kek dan memaklumkan mendapat nombor telefon saya melalui flyers,” katanya yang mempunyai tiga cahaya mata.

Selain itu, dia juga mahu memperbesarkan kelas bakerinya kerana mendapat banyak pertanyaan mengenai kelas tersebut.

Katanya, dalam menjalankan perniagaan, Elynn sentiasa berdisiplin dan kreatif untuk memastikan hasil tangannya beri kepuasan kepada pelanggan.

0 Komentar untuk " Elynn nekad jadi usahawan berjaya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ