Membantah sebagai kelaziman baru - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Membantah sebagai kelaziman baru

TOPIK perbincangan utama pada musim sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kali ini ialah Perhimpunan Bersih 4.0 anjuran Bersih 2.0 pada 29-30 Ogos lalu.

Sebagai salah seorang yang menyokongnya, saya melihat Bersih 4.0 sebagai mercu tanda penting dalam perjuangan rakyat untuk meningkatkan demokrasi kita ke tahap yang lebih tinggi, iaitu demokrasi yang matang dan progresif.

Pada 8 September lalu, Persatuan Mempromosi Hak Asasi Manusia (Proham) dan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) telah menganjurkan satu perbincangan tentang “Hak Kebebasan untuk Perhimpunan Aman: Pengajaran daripada Bersih4”.

Objektifnya ialah mengkaji instrumen hak asasi manusia dan undang-undang tempatan tentang perhimpunan aman; mengkaji Bersih 4.0 (sebelum, semasa dan selepas program); melihat pengajaran daripada Bersih 4.0; dan membuat cadangan-cadangan tentang perhimpunan aman pada masa depan, iaitu sebagai langkah yang sah dalam demokrasi.

Pada saya, masanya telah tiba untuk kita semua mengiktiraf pembantahan (dalam pelbagai bentuk, termasuk perhimpunan aman, contohnya Bersih 4.0) sebagai “satu kelaziman baru”. Kerana ia sebahagian daripada demokrasi. Ia diperuntukkan dalam Deklarasi Hak Asasi

Manusia Sejagat. Ia dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Malahan, dengan kewujudan Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), ia difasilitasi.

Berdasarkan laporan awal Suhakam, Majlis Peguam dan Proham, jelas bahawa Bersih 4.0 adalah perhimpunan aman yang sangat berjaya. Menurut Suhakam, jumlah peserta ialah 200,000-250,000 orang. Ada pihak lain yang mengatakan 500,000. Mereka berbilang kaum. Suasananya festival.

Sebagai penganjur, Bersih 2.0 telah melakukan apa yang terdaya untuk memastikan ia berjalan seperti dirancang. Contohnya, mengadakan komunikasi (panduan dan pengumuman), menyediakan sukarelawan (keselamatan, perubatan dan pembersihan), serta menyediakan pembesar suara dan tandas bergerak. Para peserta begitu berdisiplin. Manakala Polis dan Dewan Bandaraya memberikan kerjasama baik.

Sekiranya kita semua menerima perhimpunan begini sebagai satu kelaziman baru, maka, kita tidak perlu lagi berhadapan dengan hujah-hujah lemah, ugutan dan ancaman daripada pihak-pihak yang menghalangnya setiap kali ia hendak diadakan.

Mereka mengitar-semula hujah-hujah lapuk untuk menghalang Bersih 4.0. Contohnya, Bersih 2.0 dan perhimpunan itu adalah haram, akan menimbulkan kekacauan, kesesakan jalan raya, mengganggu perniagaan dan memburukkan nama negara. Hujah-hujah ini telah sekian lama dibidas dengan penghujahan-penghujahan yang jauh lebih bernas.

Hujah baru mereka ialah Bersih4 berlawanan dengan demokrasi berparlimen. Sebenarnya, menurut Kanun Keseksaan, selagi Bersih 4.0 tidak menganjurkan keganasan dan cara-cara yang berlawanan dengan Perlembagaan, maka, ia tidak berlawanan dengan demokrasi berparlimen. Malahan, sebaliknya, Bersih 4.0 adalah bertujuan untuk menegakkan demokrasi berparlimen.

Mereka juga menuduh Bersih 4.0 hendak menggulingkan kerajaan. Lima objektif Bersih 4.0 bukan bertujuan demikian. Suara-suara di Bersih 4.0 memang ada yang mendesak Perdana Menteri meletak jawatan. Tetapi, desakan itu bukannya sesuatu yang tak-demokratik.

Menggulingkan perdana menteri bukannya sesuatu yang tak-demokratik. Menggulingkan kerajaan juga bukannya sesuatu yang tak-demokratik. BN pernah menggulingkan kerajaan PR di Perak satu ketika dulu.

Apa yang tidak boleh ialah melakukan perkara yang tak-patriotik. Contohnya, rasuah, salah guna kuasa dan perbelanjaan boros. Kerana ia menghancurkan negara.

Selepas selesai Bersih 4.0, agaknya, oleh kerana ada pihak yang tidak dapat apa yang diidaminya, iaitu Bersih 4.0 yang kacau-bilau, maka, bermulalah usaha untuk mencari dan menggali (mencipta?) kesalahan Bersih 4.0, walau perkara yang paling kecil dan remeh sekalipun. Pokoknya, pada mereka, Bersih 2.0 mesti dihukum.

Sesungguhnya Bersih 4.0 memperlihatkan bahawa rakyat telah sampai ke satu tahap baru, iaitu mereka berani melakukan apa yang perlu pada sisi mereka. Momentum ini mesti diteruskan.

#Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO Gerakan Kesederhanaan Global dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

0 Komentar untuk " Membantah sebagai kelaziman baru "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ