Chalk Art imbau zaman sekolah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Chalk Art imbau zaman sekolah

SUATU ketika dahulu penggunaan kapur dan papan hitam hanya boleh dilihat ketika di sekolah sahaja.

Malah mungkin ada generasi hari ini tidak mengenalinya, kerana kebanyakan papan hitam sudah digantikan dengan papan putih, kapur pula digantikan dengan 'pen marker' untuk menulis.

Namun apa yang menarik, penggunaan papan hitam dan kapur dilihat muncul semula, dengan lebih menarik melalui hiasan dan tulisan kreatif menghiasi dinding mahupun majlis.

Dipanggil seni kapur atau lebih dikenali sebagai Chalk Art, ia semakin popular dan menjadi trend terutamanya kepada pemilik butik dan kafe masa kini.

“Tidak ketinggalan ada juga generasi muda yang mencari kelainan dalam menghias Photo Booth perkahwinan mereka menggunakan Chalk Art.

Tempahan meningkat ekoran menjadi trend

Bagi pelukis Chalk Art, Dhiyaul Mohamad Ashraf Dawari, atau lebih dikenali dengan nama Acap, tempahan untuk melukis di papan hitam semakin meningkat saban hari kerana pengguna makin sedar kewujudannya dan sekali gus menjadikan ia sebagai trend.

“Kalau dahulu, masa saya mula-mula terlibat dalam perniagaan Chalk Art ini, sebulan hanya dua ke tiga tempahan sahaja, tetapi hari ini saya menerima tiga hingga empat tempahan seminggu.

“Pelanggan juga makin bertambah, sama ada untuk majlis perkahwinan hinggalah kepada butik dan kafe yang mencari kelainan dan keunikan melalui tulisan kapur terutamanya untuk menu mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Menjalankan perniagaan Chalk Art bersama isterinya Nor Atirah Abdul Rahman, Acap berkata, kebanyakan pelanggannya gemarkan Chalk Art menggunakan tulisan dan dicampur dengan gaya Inggeris.

“Dari segi harga, saya biasanya ambil upah RM450 bagi majlis perkahwinan termasuk penghantaran dan sekali dengan hiasan (prop).

“Untuk rekaan Chalk Art pula kadang-kadang saya reka sendiri dan ada juga mengikut rekaan diberi pelanggan,” katanya.

Pemilik instagram @yaulacap ini juga berkata, dia menaruh impian untuk mengembangkan kemahirannya dalam Chalk Art dengan menyediakan Chalk Art menggunakan kaligrafi tulisan jawi.

Inspirasi untuk kafe Enthrall

Ingin memberi kelainan dalam perniagaannya, pemilik butik Kafe Enthrall di Alam Avenue 2, Shah Alam, Siti Nadzirah Abdul Talib, memilih Chalk Art sebagai hiasan di kafenya itu.

Menurutnya, penggunaan Chalk Art sebagai hiasan dalam kafe sudah lama menjadi trend di luar negara dan ia begitu popular.

“Cuma dalam Malaysia ia baru menjadi trend kerana sudah ramai yang menyedarinya terutama sekali untuk hiasan Photo Booth pada majlis perkahwinan.

“Jadi, dari situ saya mendapat inspirasi kenapa tidak mencuba hiasan menggunakan kapur untuk butik kafe saya dalam memberi kelainan kepada pelanggan wanita dan juga lelaki,” katanya.

Butiknya lebih tertumpu kepada pelanggan wanita membeli keperluan mereka, jadi dengan adanya hiasan Chalk Art untuk kafe ia mampu menarik golongan lelaki untuk duduk minum tanpa perlu berasa janggal.

“Harga adalah berpatutan dan boleh dirunding mengikut bajet terutamanya mereka yang baharu mula berniaga.

“Bagi saya, pelukis seperti ini tahu bagaimana memenuhi kehendak pelanggannya serta tidak lokek menggunakan kreativitinya untuk memuaskan hati pelanggan,” katanya.

Tema bunga hiasan Chalk Art

Mengembalikan nostalgia zaman persekolahan adalah antara sebab pemilik Kafe Border’s Tea, Sungai Buloh, Nurul Huda Abdul Razak menjadikan Chalk Art sebagai hiasan di kedainya.

Kafe miliknya itu diuruskan ahli keluarganya dan apabila diutarakan pendapat untuk menggunakan tulisan daripada kapur menghiasi kafe tersebut ia diterima.

“Saya memang suka seni dan elemen atau tema bunga serta alam sekitar adalah kegemaran saya sebab itu saya memilih untuk menggunakan lukisan daripada kapur.

“Selain itu, saya juga sedar Chalk Art menjadi trend masa kini, jadi kenapa tidak saya lakukannya dahulu sebelum ia betul-betul popular," katanya.

0 Komentar untuk " Chalk Art imbau zaman sekolah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ