#ArifLabur bantu hadapi persaraan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

#ArifLabur bantu hadapi persaraan

PELABURAN Mara Berhad menyasarkan menarik lebih ramai penyertaan dalam Program #ArifLabur fasa kedua bagi menggalakkan orang ramai membina kekayaan melalui pelaburan.

Pengerusinya, Datuk Yusli Mohamed Yusof berkata, program yang membawa mesej ‘Elak Sengsara Selepas Bersara’ itu disasarkan kepada kumpulan pekerja iaitu kakitangan kerajaan dan swasta serta mereka yang baru menamatkan pengajian dan peniaga.

“Program ini dirancang selepas kami mendapati, ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai perancangan kewangan persaraan.

“Kajian internet oleh Nielsen mendapati, 78 peratus rakyat Malaysia tidak pasti dengan rancangan persaraan atau tidak bersedia dari segi kewangan untuk persaraan. Oleh itu, kami mahu membantu tiga perempat rakyat Malaysia ini supaya mereka elak sengsara selepas bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program #ArifLabur Fasa II dan Prestasi Dana Unit Amanah Terbaik PMB Investment di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, dalam program itu, peserta akan diberikan pendedahan berkaitan tabiat menyimpan, perkara yang perlu diketahui sebelum membuat pelaburan, keperluan dan tabiat melabur, unit-unit amanah dan kelebihannya serta memperkenalkan dana-dana terpilih yang diuruskan syarikat pengurusan pelaburan Islam itu.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan industri unit amanah mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 0.6 peratus kepada RM357 bilion dalam tempoh 12 bulan berakhir Julai 2015, berbanding kenaikan 7.8 peratus direkodkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi dana-dana unit amanah patuh syariah pula, katanya, nilai aset bersihnya berkembang sebanyak 8.5 peratus kepada RM49 bilion dalam tempoh 12 bulan yang berakhir Julai 2015, lebih rendah berbanding kenaikan 18.7 peratus antara Julai 2013 hingga Julai 2014.

“Penurunan itu disebabkan cabaran yang terpaksa dihadapi industri unit amanah dalam keadaan di mana pasaran kewangan berada dalam keadaan tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Berhad, Ameer Ali Mohamed berkata, syarikat itu yang merupakan unit Pelaburan Mara menyasarkan pertumbuhan aset dalam pengurusannya mencapai RM2 bilion menjelang 2016.

“PMB Investment yang menguruskan 13 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti, sukuk dan pasaran wang berjumlah RM1.16 bilion setakat 31 Ogos 2015.

“Menjelang hujung tahun ini, kami menyasarkan untuk mencapai sejumlah RM1.4 bilion. Kami akan memberi fokus kepada pelaburan dalam syarikat utama, dana premium syariah, dana dividen syariah, dana syariah agresif dan dana pertumbuhan syariah,” katanya.

Program #ArifLabur fasa kedua akan dijalankan di Johor, Perak, Sabah, Sarawak dan Kelantan bermula 12 September ini hingga 29 Oktober 2015.

Setiap lokasi program itu akan menampilkan selebriti undangan #ArifLabur, Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo Omar.

0 Komentar untuk " #ArifLabur bantu hadapi persaraan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ