Antara tanglung dan baju merah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Antara tanglung dan baju merah

MERAH merupakan warna kegemaran orang Cina. Ia melambangkan nasib baik dan kebahagiaan. Maka, angpau, tanglung, dan pakaian perayaan orang Cina kebiasaannya berwarna merah sebagai menzahirkan kebahagiaan mereka. Tanglung merah adalah simbolik kepada kegembiraan kaum Cina.

Ini sangat berbeza dengan perhimpunan baju merah orang Melayu baru-baru ini, yang dicemari dengan insiden segelintir peserta mempamerkan poster dan kain rentang berbaur perkauman. Mereka menggesa agar maruah Melayu dipertahankan dan memarahi kaum Cina.

Malah, terdapat peserta perhimpunan yang melalui kawasan yang dilarang pihak berkuasa iaitu di Plaza Low Yat dan Jalan Petaling. Kekecohan tercetus di Jalan Petaling apabila sekumpulan peserta bertempur dengan polis sehingga meriam air terpaksa digunakan.

“Bro, lu tahu tak, himpunan baju merah tu, mereka sewa beberapa biji bas wa untuk ke KL,” kata Mr Lee kepada saya.

“Mereka marah-marah sama Cina, tapi bas yang disewa tu Cina punya juga,” ujar Mr Lee lagi.

“Habis tu, kenapa lu kasi sewa?”, tanya saya.

“Cari makan mah...,” jawab Mr Lee lagi.

Sungguh ironik. Tapi itulah hakikatnya.

Perhimpunan, baik kuning mahupun merah, walaupun berniat baik, apabila ramai yang berkumpul pada satu-satu masa, akan terjadilah kejadian yang tidak diingini. Ini termasuklah kejadian biadab memijak gambar pemimpin ketika perhimpunan Bersih 4.0. Perbuatan itu bukannya budaya orang Malaysia dan ia tidak boleh diterima sama sekali.

Begitu juga dalam perhimpunan baju merah, terdapat peserta yang menghamburkan perkataan “Cina Babi” terhadap pihak media. Susulan daripada itu, seorang pemimpin NGO yang juga salah seorang penganjur, mengatakan bahawa tidak salah menggunakan perkataan tersebut. Ia bukan satu penghinaan kerana orang Cina memang memakan babi.

Mungkin pemimpin NGO tersebut tidak sedar bahawa ramai juga orang Cina yang tidak makan babi, serta ada juga yang tidak makan segala jenis daging, kerana mereka hanya makan sayur. Adakah mereka ini perlu digelar Cina Sayur? Apa pula perasaan lebih 80,000 orang Cina Muslim di Malaysia? Mereka juga umat Islam. Bagaimana pula dengan sahabat Melayu saya yang gemar makan daging lembu?

Orang Melayu terkenal dengan kehalusan budi pekerti mereka. Ramai antara kami Cina Muslim berhijrah kepada Islam kerana tertarik dengan akhlak orang Melayu yang menonjolkan kecantikan Islam. Malahan, ramai juga Cina Muslim yang berkahwin dengan orang Melayu, termasuklah saya.

Ramai dalam kalangan ahli keluarga kami, dan rakan-rakan kami yang belum Muslim, berusaha mengenal Islam. Memandangkan Islam di Malaysia berkait rapat dengan Melayu, jangan biarkan Islamofobia berlarutan apabila terdapat segelintir orang Melayu menghamburkan kata-kata kesat dan menghalalkan rasisme.

Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Hujurat 49, ayat 11 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum mencemuh dan merendah-rendahkan kaum yang lain. Mungkin kaum yang dicemuh itu lebih baik dari mereka. Jangan kamu saling mencela dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk”.

Nabi Muhammad SAW juga telah menegaskan dalam hadis baginda bahawasanya tiada kelebihan orang Arab ke atas orang bukan Arab, atau orang bukan Arab ke atas orang Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah, melainkan ketakwaan (riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidhi, Ahmad).

Inilah prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada hati seseorang.

Dari segi psikologi, kelakuan manusia ini sukar dikawal apabila berkumpul beramai-ramai. Mereka yang biasanya penakut pun akan jadi berani apabila dihasut, dan berkemungkinan menghamburkan perkataan kesat yang tidak pernah mereka sebut kerana terdorong dengan keadaan persekitaran dan mengikut emosi.

Ada kalanya perhimpunan menjadi huru-hara kerana disabotaj oleh pihak lain. Memang sukar untuk dibendung apabila terlalu ramai orang berada di sesuatu tempat pada satu-satu masa.

Walau apa pun alasan yang diberi, perkara ini amat merugikan usaha-usaha dakwah pelbagai NGO Islam selama ini. Perbezaan budaya, bahasa, warna kulit, adat serta agama tidak sepatutnya menghalang kita untuk terus bersatu dan saling hormat satu sama lain.

Bak sebuah tanglung, sama ada merah, kuning atau hijau, yang penting adanya cahaya lilin di dalamnya untuk menerangi malam yang gelap. Tanpa nur dari lilin itu, tiada maknanya tanglung tersebut.

Jadilah seperti tanglung yang memberikan sinar pada waktu malam yang kelam, agar memberi manfaat kepada semua.

0 Komentar untuk " Antara tanglung dan baju merah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ