Antara persepsi negatif dan kebenaran fakta - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Antara persepsi negatif dan kebenaran fakta

Baru-baru ini saya bertemu seorang anak muda, Amierul. Beliau pengasas bersama portal Greater Malaysia. Kami berbual perihal sikap masyarakat negara, kita kaya dengan kepelbagaian budaya dan warisan, namun asyik dirundung isu ketegangan kaum dan agama. Gembar-gembur politik sudah menjadi percikan hasut yang bisa membakar, malah mengorbankan segala kemajuan yang kita peroleh sebagai ekonomi yang pesat membangun.

Ketika beliau bertanyakan pendapat saya mengenai sentimen negatif dan perbalahan yang semakin membahang, saya rasakan soalan itu tepat pada waktunya kerana saya baru menutup tirai jawatan sebagai Menteri Kabinet.

Pertanyaan Amierul sebenarnya amat menyentuh hati. Saya baru selesai melaksanakan ibadah selaku penganut Kristian, menziarah Jordan, Palestin dan Baitulmaqdis selama 10 hari. Di sana, kami melihat masalah yang terpendam. Dalam tempoh empat tahun lalu, lebih empat juta rakyat Syria menjadi pelarian di Turki dan Jordan, sementara beribu-ribu lagi cuba memasuki negara Eropah.

Di Malaysia, kita punya negara yang indah, kita tidak terbeban dengan bencana sebegitu rupa. Kita tidak pernah terpalit dan terseret dalam pergolakan yang besar. Di Syria, segala-galanya tercetus hanya disebabkan sebuah kumpulan kecil yang memulakan pemberontakan antikerajaan. Perkelahian di sana sini mencetuskan perhimpunan dan akhirnya merebak menjadi perang saudara. Di sinilah kumpulan Negara Islam (IS) mengambil peluang masuk di celah-celah situasi yang sudah sarat dengan konflik, sehinggakan mereka mampu menguasai banyak kawasan di Syria dan Iraq untuk mewujudkan pemerintahan ala-Khalifah mengikut acuan mereka.

Syak wasangka tiada kesudahan 

Ketika ini, Malaysia mula berdepan dengan suatu senario baharu yang mencabar pentadbiran negara - defisit keyakinan. Orang ramai sudah mula berarah ke demonstrasi jalanan untuk menggesa perubahan, malah, tidak kurang yang sengaja mengungkit luka lama mengenai isu perkauman dan syak wasangka yang tiada kesudahannya. Mereka terjun ke gelanggang untuk menentang, sedangkan mereka tidak sedar akibat yang mungkin timbul.

Api kemarahan meluap-luap sehinggakan pemikiran menjadi sempit dan dendam semakin marak. Tidak banyak negara dunia yang masih ditadbir oleh parti politik sama sejak memperoleh kemerdekaan, seperti negara kita. Jika ditanya penduduk Amerika Syarikat, United Kingdom, malah, Thailand sekalipun, yakni negara yang sudah biasa mengalami perubahan pentadbiran kerajaan, mereka pasti menyatakan bahawa tiada istilah negara sempurna. Tidak dinafikan masih banyak perkara yang memerlukan penambahbaikan di Malaysia, justeru atas sebab itulah kerajaan memulakan agenda transformasi negara.

Tidak mendabik dada dengan status quo, kami tekad mahu mencapai realiti baharu. Penubuhan PEMANDU adalah gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau yakin dan mahukan transformasi negara, lalu beliau mengamanahkan kami untuk melakukan sesuatu yang berani dan tegas. Kami menangani isu penting seperti rasuah, jenayah, isi rumah berpendapatan rendah, pembangunan luar bandar, pengangkutan awam bandar dan kos hidup.

Kami menambah baik pengangkutan awam; kini, pembinaan MRT sudah mencorakkan landskap bandar. Tempoh lima tahun lalu menyaksikan pembinaan jalan raya dengan jarak bersamaan dari Johor ke Bangladesh, memberi manfaat kepada 2.5 juta warga luar bandar. Lebih 6 juta rakyat dibantu dengan sumbangan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Namun, masih ada yang tidak berpuas hati, kerana defisit keyakinan. Pada saya, perjawatan pemerintahan yang sudah lama tempohnya menyebabkan dua perkara, iaitu warga bandar dan generasi muda ingin tahu, apakah mungkin pentadbiran pihak lain lebih baik dan orang ramai mahukan perubahan mendadak dan ingin menikmatinya serta-merta.

Kesulitan yang kami hadapi dalam kerajaan adalah untuk mendapatkan titik seimbang di tengah-tengah persekitaran yang penuh pertentangan. Jika kerajaan tunduk kepada pandangan ekstrem, keperluan pihak mana yang kami tunaikan di sini? Keperluan majoriti? Minoriti? Bagaimana pula nasib pihak yang tidak terdaya meluahkan hasrat mereka? Apakah kesudahannya?

Cari penyelesaian isu emotif 

Kerajaan perlu mencari penyelesaian kepada isu emotif yang terbabit di sini - sama ada isu ini benar atau hanya dibuat-buat. Secara peribadi, saya yakin orang ramai berkehendakkan dasar kerajaan yang berpihak kepada keperluan rakyat, yang dapat membantu setiap lapisan masyarakat.

Kita perlukan akses kepada infrastruktur awam yang berkualiti. Semua bidang ini sedang diusahakan oleh kerajaan dalam agenda transformasi; betapa bising sekalipun suara politik yang ada, fokus kami ialah tugas yang diamanahkan. Saya menerima maklum balas yang begitu memberangsangkan, namun ramai juga yang masih terbelenggu dalam defisit keyakinan sehingga ia mengaburi persepsi mereka dan mereka tidak mampu bersandar pada fakta. Kepada golongan ini, pesan saya, berfikirlah secara adil dan rasional, lihatlah sendiri bukti kemajuan yang sudah tercapai.

Kita seharusnya mengelak perbuatan yang boleh meretakkan ekonomi. Jika setiap usaha baik dilemparkan dengan prasangka negatif, semuanya akan terjejas. Sebaliknya, kita harus menegakkan semangat perpaduan menerusi perbincangan yang bermanfaat bagi mencari titik persamaan dan kesepaduan. Terlalu banyak untuk kita syukuri dan kita amat bertuah menjadi rakyat Malaysia. Selamat Hari Malaysia.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/83704
0 Komentar untuk " Antara persepsi negatif dan kebenaran fakta "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ