Adakah rasisme semakin meningkat? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Adakah rasisme semakin meningkat?

DUA perhimpunan aman baru sahaja selesai, iaitu Bersih 0.4 dan Merah. Saya menyokong Bersih 0.4 atas lima objektif khususnya, iaitu pilihan raya bersih, kerajaan bersih, hak membantah, memperkasa demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi.

Bagi Merah, mereka berhak berhimpun, tetapi saya tidak menyokongnya kerana ia tidak mempunyai objektif khusus. Ia sekadar perhimpunan melawan Bersih 0.4. Adakah bermakna ia menolak lima objektif  0.4 yang penting untuk negara itu?

Oleh kerana semasa Bersih 0.4 timbul suara mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib supaya berundur, maka, Merah (yang melawan suara tersebut) adalah bertujuan untuk mempertahankan Datuk Seri Najib. Kalau ini objektifnya, maka, ia hak mereka yang wajar.

Tetapi, apabila dibandingkan objektif, cara dan kandungan penghujahan-penghujahan tentang kedua-dua perhimpunan itu, maka, adalah jelas bahawa penghujahan yang menyokong Bersih 0.4 dan tidak menyokong Merah jauh lebih substantif dan artikulatif.

Di samping itu, kedua-dua perhimpunan tersebut telah menimbulkan sekurang-kurangnya dua persoalan lain yang punya konotasi signifikan terhadap nilai kebenaran dan keadilan.

Pertamanya, ialah double standard yang dilakukan daripada Perdana Menteri hinggalah Ketua Polis Negara dan pihak-pihak lain yang berkaitan.

Hujah-hujah lemah, ugutan dan ancaman yang digunakan bagi menghalang Bersih 0.4 tidak digunakan terhadap Merah. Tidak ditimbulkan soal democrazy, perhimpunan haram, kekacauan, kesesakan jalan raya, mengganggu perniagaan, memburukkan nama negara, berlawanan dengan demokrasi berparlimen atau menggulingkan kerajaan.

Dan keduanya, dan ini adalah lebih utama, ialah elemen rasisme yang tercetus sebelum, semasa dan selepas Merah.

Penganjur dan penyokong Merah menuduh Bersih 0.4 didominasi kaum Cina. Benar, majoriti peserta Bersih 0.4 adalah Cina. Tetapi, peratusan komposisi Cina berbanding yang lain sukar ditentukan.

Tetapi, adalah tidak wajar untuk menuduh Bersih 0.4 didominasi Cina. Kerana, daripada tujuh orang penganjurnya yang disiasat polis selepas selesai perhimpunan itu, majoritinya bukan Cina.

Pokoknya, Bersih 0.4 dianjur, disokong dan disertai rakyat pelbagai kaum. Ini amat berbeza dengan Merah yang terang-terangan merupakan perhimpunan orang Melayu. Perhimpunan orang Melayu tidak menjadikannya rasis. Mungkin sekadar rasialisme.

Menurut Ooi Kee Beng, “rasialisme” ialah mempromosi kaum sebagai klasifikasi asas dalam diskusi dan dasar awam. Ia tidak menjadikan seseorang itu rasis, tetapi ia adalah satu keadaan ke arah itu.

Manakala “rasis” ialah seseorang yang berasa dan mempamerkan kebencian terhadap orang lain atas alasan kaum. Ia mungkin berpendapat bahawa sikapnya itu adalah moral (baik). Ia berpendapat kaumnya adalah lebih baik, atau terbaik, berbanding kaum-kaum lain.

Mungkin juga ia tidak berasakan kaumnya adalah lebih baik atau terbaik, tetapi, pokoknya, ia menghakimi manusia dengan berasaskan kaum. Seorang rasis adalah juga seorang rasialis.

Apa yang merisaukan ialah elemen rasisme jelas kelihatan sebelum, semasa dan selepas Merah. Contohnya, ungkapan tiga orang Ketua Bahagian Umno, iaitu maki hamun diikuti pembakaran patung dua orang pemimpin Cina, kata nista terhadap Tun Mahathir dan Islam mengizinkan rasisme. Begitu juga ungkapan “Cina babi” dan sebagainya oleh peserta-peserta Merah.

Umno Malaysia perlu menyatakan pendirian atas hal ini. Kalau tidak, ia boleh dikatakan sebagai mengizinkannya. Ini penting kerana mutakhir ini wujud kerisauan bahawa kerajaan, ataupun tingkah-laku pemimpin-pemimpin tertentu, kelihatan semakin bergerak ke kanan dalam isu-isu dan dasar-dasar yang melibatkan kaum.

Ini membawa kita kepada persoalan lebih besar, iaitu, adakah kerajaan memiliki elemen rasisme? Ini dilihat dari sudut Politik Ras (Jill Vickers dan Annette Isaac), iaitu bagaimana kerajaan mencipta kaum; menggunakan undang-undang, dasar-dasar dan institusi-institusi untuk mendukung politik ras; menghalang perubahan; dan membangunkan faham “rasisme demokratik”.

#Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO Gerakan Kesederhanaan Global. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd.

0 Komentar untuk " Adakah rasisme semakin meningkat? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ