This is my card… - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

This is my card…

DALAM seminggu ini, saya mula mengemas bilik pejabat saya yang bersepah. Banyak juga sampah yang saya istilahkan sebagai sampah terhormat kerana ia berupa buku, laporan, buletin, kertas minit mesyuarat dan akhbar yang seharusnya dibuang. Tetapi oleh kerana ia adalah bahan-bahan yang bersih dan kemas, ia masih diletakkan di atas meja dan di rak-rak buku meskipun ia sudah tidak relevan.

Ketika mengemas alat tulis termasuk pen yang sudah tiada dakwat, pensil kontot, gunting, pisau pemotong dan penyisip kertas, saya ternampak berpuluh-puluh kad nama bermacam-macam warna yang saya terima daripada pelbagai individu. Hanya ada beberapa keping sahaja daripada syarikat korporat sementara yang lain adalah pemberian daripada usahawan-usahawan kecil, agamawan, pensyarah, penjawat politik, penjawat awam serta NGO.

‘This is my card…’ Saya teringat ucapan memikat Sam, watak yang diperankan oleh pelakon Imuda dalam siri komedi situasi televisyen 2+1 yang popular di sekitar tahun-tahun 90an. Setiap kali Sam berkenan dengan seseorang gadis, dia akan mula mengayat kata-kata itu sambil menghulur sekeping kad nama dengan harapan perhubungannya dengan si gadis itu akan berpanjangan.

Kad nama adalah sekeping kad kecil yang membuka ruang komunikasi. Apabila kad nama dihulur, secara ringkas, si penerima akan mengenali sedikit mengenai jawatan, organisasi dan juga nama berserta ejaan nama si pemberi. Kad nama turut memateri identiti si empunya diri. Selain daripada nama dan ejaan nama, akan terdapat sebaris kelulusan dan pangkat si pemberi.

Ia mencetus kepercayaan si penerima bahawa si empunya kad itu adalah orang yang berpangkat dan berwibawa juga. Nama organisasi yang diwakili oleh si empunya kad nama itu akan menambah keyakinan si penerima. Jika nama organisasi yang dianggotai itu adalah sebuah syarikat yang besar, lebih tinggilah terangkatnya kening si penerima kad. Sebaliknya jika organisasi yang diwakili itu tidak pernah didengar, mungkin si penerima kad akan terangguk sedikit sebagai tanda maklum akan identiti si pemberi.

Begitu jugalah dengan alamat premis organisasi yang tertera. Lagi berprestij wisma yang menjadi alamat yang tertera di kad, ia memberi tanggapan bahawa organisasi si empunya kad itu adalah sebuah organisasi yang hebat. Lagi tinggi tingkat yang menjadi pejabat, lagi hebatlah organisasi itu.

Oleh kerana itulah, mereka yang tidak ikhlas atau bertujuan menipu akan mencatat maklumat-maklumat yang tidak betul di kad namanya. Nama yang panjang-panjang, gelaran dan kelulusan yang berderet-deret menjadi modal untuk memperdaya dan mempesona. Alamat pejabat yang digunakan mungkin sekali tidak betul. Tetapi ditulis untuk menggambarkan bahawa organisasi si empunya kad adalah institusi yang gah.

Bagaimanakah kita boleh mengecam auta yang terdapat pada kad nama yang diberi? Memang sukar kita ketahui pada saat kad dihulur. Namun, kita dapat membaca kepelikan si empunya diri jika jawatan yang dibawanya hebat sedangkan perilakunya sedikit over. Dia akan terlebih cakap, terlebih angguk dan terlebih ‘ya,’ dalam perbualannya.

Dia mahu semua orang yang berada di sekelilingnya mengenali dirinya. Samada orang yang menerima kadnya itu penting atau tidak kepadanya atau sebaliknya, itu tidak mustahak. Yang dia utamakan ialah, dia ingin popular secara spontan apabila dia mengedar kad namanya seperti mengagih daun terup.

Teknologi hari ini dengan bantuan internet membolehkan kita memeriksa kesahihan nama, jawatan, pangkat dan juga alamat si pemberi kad. Dengan sentuhan jari di telefon pintar, segala maklumat dapat diperoleh dalam beberapa saat. Si penyamar akan mudah dikenali dan dihindari. Namun masih ramai lagi yang mudah terpedaya dengan individu sebegini kerana alpa untuk menggunakan teknologi bagi mendapatkan kesahihan.

Pada hari ini, kad nama hanya sekadar ice breaker. Sudah hampir tidak relevan kecuali sebagai formality. Justeru itu, sebanyak mana pun kad nama dihulur, ia akan terperap dan terselit di antara ratusan kad-kad nama orang lain dalam simpanan seseorang. Besar kemungkinan, ia tidak akan dibelek pun kecuali jika seseorang itu mengemas kad-kad yang ada di dalam simpanannya. Besar kemungkinan juga nama kita apatah lagi wajah kita tidak akan diingati lagi oleh si penerima.

Jadi, pemberian kad nama sudah seperti suatu pembaziran. Yang praktikal pada hari ini adalah bertukar nombor telefon. Aplikasi WhatsApp misalnya akan menyimpan foto dan pelbagai data lain. Dengan sebuah wefie atau berfoto bersama, kedua-dua pihak akan mudah mengingat di manakah mereka berdua bertemu. Apabila panggilan dibuat pada lain masa, si penerima akan mudah mengenali si pemanggil.

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

0 Komentar untuk " This is my card… "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ