SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bakal memperkenalkan sistem penarafan bintang dalam kalangan syarikat perkhidmatan telekomunikasi bagi mengatasi masalah berkaitan perkhidmatan dalam industri itu terhadap pengguna.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, sistem itu membolehkan syarikat-syarikat telco di negara ini bersaing secara sihat dalam menawarkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pelanggan mereka.
Justeru, katanya, pengguna dapat membuat pilihan perkhidmatan ditawarkan syarikat telekomunikasi yang setara dengan jumlah dibayar mereka.
“Sekarang, dalam musim perayaan terutamanya, kita sering dapat aduan berkaitan perkhidmatan atau kualiti yang diberikan penyedia perkhidmatan telekomunikasi tidak setanding dengan jumlah yang dibayar.
“Jadi apabila SKMM dan pihak industri telekomunikasi dapat mengeluarkan satu kaedah yang dapat memberikan penarafan bintang seperti hotel yang ada taraf lima bintang, empat atau tiga bintang, maka pengguna dapat pilih penyedia yang memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.
Jailani berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) bersama Pelancaran Logo Baharu dan Maskot CFM di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jailani memberitahu, pihaknya menyerahkan kepada SKMM untuk merangka berkaitan sistem penarafan yang bakal dilaksanakan kelak.
“SKMM akan berunding bersama pihak industri mengenai kayu ukur yang akan dilihat dalam sistem penarafan itu. Ia mungkin akan diukur berdasarkan kualiti perkhidmatan yang diberikan atau dari segi bil dan caj yang dikenakan,” katanya.
Mengulas mengenai pengenalan logo dan maskot CFM, Jailani berkata, ia dipercayai dapat mengukuhkan lagi matlamat CFM sebagai sebuah forum yang dapat memastikan pembangunan dinamik serta kawal selia perkhidmatan komunikasi dan multimedia lebih adil.
Sementara itu, Pengerusi CFM, Dr Elistina Abu Bakar berkata, sejak Januari hingga Jun lalu, pihaknya menerima 3,519 aduan pengguna berkaitan masalah perkhidmatan komunikasi dan multimedia.
“Pada Januari hingga Disember tahun lalu, CFM telah menerima sebanyak 6,904 aduan, iaitu peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Perkhidmatan kurang memuaskan merekodkan jumlah aduan paling tinggi pada tahun lalu, diikuti kes seperti bil dan caj, sistem pesanan ringkas (SMS) serta amalan tidak adil,” katanya.
Tambahnya, dengan pelancaran logo baharu, maskot CFM dan portal aduan online serta portal info pengguna CFM sedia ada, pihaknya akan memastikan isu-isu melibatkan pengguna dapat diberi perhatian sepenuhnya.
0 Komentar untuk " Telco diberi penarafan bintang "