PEMAJU hartanah, Kumpulan Naza TTDI (Naza TTDI) menjangkakan nilai pembangunan kasar (GDV) pelancaran projek pembinaannya tidak melebihi RM1 bilion pada tahun ini memandangkan situasi pasaran hartanah yang perlahan.
Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, Naza TTDI tidak akan melancarkan projek pembinaan mega pada tahun ini kerana situasi pasaran tidak mencatatkan prestasi jualan baik.
Katanya, Naza TTDI akan memasarkan projek pembangunan dan menilai kembali produk serta tawaran bergantung pasaran semasa dengan jangkaan GDV melebihi RM1 bilion pada tahun depan.
“Sehingga kini, Naza TTDI membangunkan tiga projek pembinaan mega iaitu Platinum Park, Kuala Lumpur; KL Metropolis dan terbaru TTDI Gateaway yang terletak di Shah Alam,” katanya pada pelancaran Menara Naza TTDI.
Pembukaan bangunan baharu sebagai ibu pejabat syarikat, Menara Naza TTDI, dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.
Naza TTDI yang kini memiliki tanah simpanan lebih 404 hektar di seluruh negara, masih belum dibangunkan.
“Kami sentiasa mencari peluang mendapatkan tanah simpanan baharu di kawasan sekitar projek pembinaan,” katanya.
Jelasnya, kebanyakan portfolio projek pembangunan di Selangor khasnya Shah Alam iaitu di TTDI Alam Impian, TTDI Grove Kajang dan TTDI Gateaway.
Dalam perkembangan lain, Naza TTDI melancarkan bangunan ibu pejabat baharu iaitu Menara Naza TTDI di menara pejabat 20 tingkat.
Kumpulan itu melabur kira-kira RM18 juta untuk membina bangunan yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam.
0 Komentar untuk " Tak lancar projek mega "