Teladan dari Sivaji, The Boss! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Teladan dari Sivaji, The Boss!

BARU-baru ini, penulis menonton semula filem Tamil, Sivaji: The Boss. Filem itu mula ditayangkan di pawagam pada tahun 2007 dan dibintangi oleh pelakon mega India, superstar Rajnikanth bersama-sama dengan pelakon-pelakon lain seperti Shriya Saran, Vivek dan Suman.

Jalan cerita filem tersebut tidak banyak berbeza dengan filem-filem aksi Tamil yang lain. Tetapi ia masih merupakan sebuah filem yang menghiburkan.

Lagipun, penonton tidak menonton filem-filem Rajnikanth kerana jalan ceritanya, tetapi kerana ingin menonton aksi Rajnikanth yang penuh gaya.

Sivaji: The Boss berkisar tentang seorang arkitek sistem software yang bernama Sivaji. Sivaji pulang ke India selepas bertahun-tahun bekerja di Amerika Syarikat dan mengecapi kejayaan di sana.

Dengan kepulangannya, dia berhasrat untuk berbakti pada masyarakat dengan membina sebuah hospital dan universiti untuk komunitinya, di mana dia boleh memberikan rawatan dan pendidikan percuma kepada masyarakatnya.

Akan tetapi, dia pulang ke negara India yang dibelenggu dengan korupsi pada semua peringkat. Sivaji sendiri terpaksa memberi suapan kepada kakitangan kerajaan bagi mendapatkan kelulusan untuk membina hospital dan universiti yang diimpikan.

Walau demikian, hasratnya masih tidak tercapai apabila seorang ahli perniagaan, Adiseshan, yang tergugat dengan Sivaji, telah menggunakan wang dan pengaruhnya untuk menghentikan projek Sivaji, sehinggakan Sivaji hampir-hampir muflis.

Tetapi Sivaji tidak mengalah. Dia melawan sistem yang korup dengan caranya sendiri. Dia melanggar undang-undang untuk membawa keadilan dan kebaikan kepada masyarakatnya, oleh kerana sistem dan undang-undang sedia ada menjadi halangan kepada keadilan dan kebaikan.

Dengan usahanya, dia berjaya menukar negerinya dan memperbaiki kehidupan ramai orang yang susah dan dizalimi.

Namun perbuatannya yang melanggar undang-undang akhirnya diketahui oleh pihak berkuasa. Sivaji ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap.

Dia didera dan hampir hilang nyawa, dan hanya terselamat apabila seorang pegawai polis yang baik memaklumkannya tentang perancangan jahat untuk membunuhnya.

Oleh kerana ini adalah sebuah filem Rajnikanth, maka sudah tentu sang hero akan menang. Akhirnya Sivaji berjaya melepaskan diri dan mengalahkan Adiseshan dan meneruskan perjuangannya untuk rakyat.

Ada suatu adegan dalam filem ini di mana Sivaji ditanya di dalam lokap, apakah jenayahnya. Sivaji ketawa dan menjawab, “Saya berbuat baik kepada orang ramai”.
Sivaji: The Boss adalah sebuah filem fiksyen. Tetapi penulis percaya ada perkara-perkara yang boleh dipelajari daripada filem tersebut.

Apa akan berlaku sekiranya kedaulatan undang-undang menjadi kezaliman melalui undang-undang?

Apa akan jadi sekiranya badan-badan negara, institusi-institusi kerajaan gagal untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan bebas, tanpa berpihak dan dengan tegas dan betul?

Apa akan terjadi sekiranya suatu negara itu menjadi begitu korup dan rosak seperti India dalam filem Sivaji: The Boss?

Di India dalam filem tersebut, berbuat baik akan mengakibatkan anda dipenjarakan. Orang yang baik adalah musuh kepada undang-undang, di India dalam filem itu.

Yang berjuang untuk rakyat bukannya mereka yang berkuasa, tetapi orang-orang seperti Sivaji dan rakan-rannya.

Di India dalam filem tersebut, orang yang mahu membawa perubahan harus bersedia untuk berhadapan dengan undang-undang dan dipenjarakan.

Rakyat sesebuah negara harus memastikan bahawa negara mereka tidak bertukar menjadi sebuah negara seperti India dalam filem Sivaji: The Boss; sebuah negara yang telah gagal dan rosak akibat penyelewengan dan korupsi.

Rakyat sesebuah negara mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa situasi di dalam negara tersebut tidak menjadi begitu teruk sehinggakan rakyat terpaksa mencari hero-hero seperti Sivaji.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

0 Komentar untuk " Teladan dari Sivaji, The Boss! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ