Siapakah laksawan Tok Syeikh itu? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Siapakah laksawan Tok Syeikh itu?

*SATU soalan paling hangat sekarang ialah siapakah dermawan yang dengan murah hati menyumbang RM2.6 bilion dan disalurkan  ke dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak?

Kalau dia dengan rela menderma RM2.6 bilion, pasti orang itu terlalu-lalu-lalu kaya dan mempunyai berbilion-bilion-bilion RM, pendek kata lebih dari apa yang dalam iklan disebut ‘berjuta-juta lemon’.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan duit panas itu bukan daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), tetapi dari Timur Tengah.

Maka, bertambah suspens orang hendak tahu, siapakah agaknya laksawan Arab itu?

*LAKSAWAN? Ini bukan istilah baharu. Istilah Inggeris million dimelayukan menjadi juta. Maka millioniare dimelayukan menjadi jutawan.

Ada pun yang lebih banyak dari million ialah billion. Istilah billion jika dimelayukan menjadi laksa. Maka billioniare dalam bahasa Inggeris sekiranya dimelayukan menjadi laksawan.

Ada orang bertanya berapa banyak RM2.6 bilion itu? Satu bilion sama dengan seribu juta. Kalau tulis dengan angka sejuta (1,000,000) ada enam 0, seratus juta (100,000,000) ada lapan 0.

Jadi seribu juta atau satu bilion (1,000,000,000) ada sembilan 0. Begitulah banyaknya satu bilion. Maka 2.6 bilion lagilah banyak!

*PERIHAL derma RM yang berlaksa-laksa itu kini dijadikan modal oleh pembangkang. Bukan modal berniaga, tetapi modal politik untuk menghentam kerajaan, khasnya Perdana Menteri.

Mereka kata sekiranya derma itu digunakan untuk tabung politik Umno, itu menyalahi peraturan pilihan raya. Maka mereka minta nama penderma @ laksawan itu didedahkan.

Tetapi, apakah tabung politik yang dihangatkan ini hanya ada pada Umno? Apakah parti-parti lain – termasuk pembangkang – tidak menerima derma untuk tabung politik?

Semua orang tahu derma politik bukan benda baharu, sejak dulu lagi sudah wujud. Dan, bukan Umno atau BN sahaja dapat derma, parti-parti pembangkang pun dapat sumbangan seperti itu. Lebih baik mengaku.

*MAKA ada baiknya dibuat undang-undang atau akta yang jelas mengenai larang menerima sumbangan @ derma politik.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low, Malaysia memerlukan undang-undang yang mengawal pembiayaan politik bagi mengharamkan sumbangan dan deposit derma dari negara luar masuk ke dalam akaun bank individu.

Menteri yang bertanggungjawab hal ehwal tadbir urus dan integriti itu berkata, buat masa ini tiada peraturan dikenakan terhadap pembiayaan politik di negara ini, walaupun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan pilihan raya.

Katanya wujud keperluan mendesak untuk menggubal undang-undang seperti itu. Tegas beliau: “Semua sumbangan politik tidak boleh disalurkan ke dalam akaun individu tetapi hanya ke dalam akaun parti politik dan semua penderma mesti didedahkan kepada umum.” Amacam, sanggup?

*SEPERTI yang dilaporkan media, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno juga menyarankan SPRM mempercepat usaha mewujudkan satu akta khusus berhubung pengisytiharan dana politik sebelum PRU14.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata akta itu membolehkan SPRM melakukan siasatan terhadap parti politik yang menerima dana daripada pelbagai pihak.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata peruntukan undang-undang khusus diperlukan untuk membolehkan SPRM mendedahkan butiran terperinci seperti sumber atau penyumbang dan jumlah dana.

Kata Ismail sebelum ini Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mencegah Rasuah mencadangkan agar mewujudkan satu akta baharu untuk tujuan itu, namun ia mendapat tentangan parti pembangkang.

“Pada waktu itu, pembangkang tidak setuju kerana mereka tidak mahu kerajaan tahu daripada mana mereka memperoleh dana politik. Tetapi, apabila timbul isu yang melibatkan wang Presiden Umno, ramai mempersoalkannya.” Pulak!

*AKHIR kalam, OH sana, OH sini, OH siang, OH malam. Setiap hari, sana sini OH, OH, OH. Ini bukan keluhan rakyat berkenaan kemelut politik yang melanda negara sekarang.

OH yang tidak henti-henti disebutkan itu ialah singkatan dari perkataan rumah terbuka atau dalam bahasa Inggeris open house (OH). Minggu terakhir Syawal, undangan ke OH tidak putus diterima.

Baik kementerian, jabatan, syarikat-syarikat GLC, tokoh-tokoh korporat, pemimpin politik dan individu, sejak hari raya pertama hingga sekarang tidak habis-habis mengadakan OH, dengan berbagai-bagai hidangan lazat-lazat.

Walau dalam seribu kemelut dan RM menjunam ke paras paling rendah pun, orang kita terus berjamu-jamu...

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Siapakah laksawan Tok Syeikh itu? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ