Ringgit jatuh, harga barang import naik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ringgit jatuh, harga barang import naik

PENYUSUTAN nilai ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) boleh memberi kesan kepada peningkatan harga barang terutama yang diimport daripada luar negara.

Ketua Jabatan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof Madya Dr Fatimah Kari berkata, ia secara tidak langsung memberikan kesan kepada pengguna.

“Sebahagian daripada barang keperluan pengguna seperti beras dan minyak adalah barangan bersubsidi, kuranglah sedikit beban mereka, cuma barang makanan yang diimport daripada luar akan beri kesan pada mereka.

“Bagaimanapun, semua barang ini masih ada barang pengganti yang boleh menjadi alternatif kepada pengguna,” katanya ketika ditanya impak kejatuhan mata wang negara kepada pengguna.

Fatimah berkata, kemerosotan ringgit itu dilihat bersifat sementara akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia.

“Pasaran minyak akan sentiasa berubah dan tidak selamanya harga minyak akan jatuh.

“Pada masa sekarang, harga minyak mentah dunia rendah akibat berlaku lambakan minyak kerana negara pengeluarnya di Timur Tengah tidak mengurangkan jumlah pengeluarannya. Jika harga minyak kembali kukuh, ringgit akan pulih,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Baayah Baba berkata, walaupun kejatuhan ringgit menyebabkan barangan import menjadi lebih mahal, namun jumlah eksport negara akan meningkat.

“Ini kerana, barangan kita akan menjadi lebih murah di pasaran antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu bagaimanapun boleh dipulihkan jika kerajaan mengambil tindakan menambat ringgit seperti yang pernah dilakukan ketika negara dilanda krisis ekonomi pada 1997 dan 1998.

“Selain itu, semua perniagaan perlu meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan dan Malaysia juga perlu meningkatkan keyakinan orang luar terhadap ekonomi negara," katanya.

Semalam, ringgit jatuh ke paras terendah dalam tempoh 17 tahun berbanding Dolar AS.

Pada jam 5 petang semalam, ringgit disebut harga pada 3.9005/9035 bagi AS$1.

0 Komentar untuk " Ringgit jatuh, harga barang import naik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ