Pakej menarik 'Experience Langkawi' - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pakej menarik 'Experience Langkawi'

PELBAGAI rancangan sedang dibuat untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi perkahwinan menerusi pakej perkahwinan 'Experience Langkawi'.

Syarikat perancangan perkahwinan berpangkalan di Kuala Lumpur, My Wedding Planner Sdn Bhd (MYWP), mengadakan pakej pengenalan itu beberapa bulan lepas dan baru-baru ini telah mengadakan promosi pada majlis perjumpaan dengan pengusaha pelancongan tempatan di sini.

Pengasas MYWP, Patricia Chan berkata, pasangan yang mengambil pakej tersebut bukan sahaja mempunyai detik-detik perkahwinan mereka yang dirakam dalam gambar tetapi mereka juga berpeluang menyertai aktiviti pelancongan di pulau ini.

"Kami mahu mereka merasakan keistimewaan di Langkawi. Kami juga bekerjasama dengan operator pelancongan yang lain di sini bagi mempromosikan perkhidmatan mereka seperti aktiviti sukan air, pendedahan seni dan budaya serta spa yang turut terkandung dalam pakej ini.

"Kami juga akan mempromosikan pakej perkahwinan kami dalam beberapa portal online bagi mendekati pelanggan yang berpotensi di peringkat antarabangsa," katanya kepada Bernama di sini.

Patricia berkata, terdapat banyak peluang dan sumber yang belum diterokai untuk pasangan meraikan penyatuan hidup mereka di Langkawi, sebuah destinasi menarik yang bertaraf dunia.

Beliau berkata, menerusi pakej berkenaan, pasangan tidak perlu melakukan tugas-tugas membosankan apabila berurusan dengan pihak-pihak yang terbabit dalam persiapan perkahwinan mereka secara individu.

"Sama ada untuk acara persendirian atau urusan berskala besar yang mewah, apa sahaja bangsa, budaya dan latar belakang etnik, MYWP menyatukan semua pihak seperti vendor terkemuka, rakan kongsi dan pembekal individu, sebagai pendekatan yang lebih cekap dan tersusun," katanya.

Patricia berkata, dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan pound sterling, akan mewujudkan peluang perniagaan yang bertambah baik dari luar negara seperti di AS dan Eropah, khususnya semasa cuti Easter, bulan dan festival musim panas.

Beliau berkata, industri perancangan perkahwinan di Malaysia telah berkembang pesat memandangkan pasangan mahukan orang yang kreatif dan berwibawa menguruskan hari bahagia mereka di destinasi baharu yang menarik.

Patricia berkata, MYWP, syarikat yang ditubuhkan dengan pengasas bersama, Lane Ho, telah mengendalikan lebih daripada 230 acara perkahwinan sejak lapan tahun lalu.

"Pakej pengenalan Langkawi MYWP bertujuan untuk meningkatkan potensi pelancongan di pulau ini, bukan sahaja dalam kalangan pasangan mempelai tetapi juga mereka yang meraikan kejayaan penting dan ulang tahun," katanya dan menambah hub perniagaan itu kekal di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ho berharap pakej tersebut akan mendapat sambutan hangat melalui kerjasama dengan pengusaha pelancongan tempatan dan vendor di Langkawi.

"Langkawi akan menjadi pasaran kejayaan kami, membolehkan kami untuk turut meneroka destinasi di Sabah dan Sarawak dan di rantau Asean seperti Bali, yang terus menjadi destinasi perkahwinan terkemuka," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk " Pakej menarik 'Experience Langkawi' "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ