Ukir Mall dicadang jadi ala Plaza Low Yat di Kedah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ukir Mall dicadang jadi ala Plaza Low Yat di Kedah

PEMUDA Umno Kedah hari ini menyerahkan memorandum mencadangkan Kompleks Ukir Mall yang terletak di tengah bandar raya Alor Setar,  dijadikan sebagai Pusat Perdagangan Alatan Digital ala Plaza 'Low Yat', yang pertama di Alor Setar.

Memorandum itu diserahkan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, di Wisma Darul Aman di sini hari ini, oleh Ketua Pemuda Umno Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Shaiful Hazizy berkata, cadangan itu adalah sebagai satu platform baharu membantu usahawan muda bumiputera Kedah yang ingin melibatkan diri dalam perniagaan peralatan elektronik dan telekomunikasi yang tulen.

"Pemilihan Ukir Mall disebabkan kedudukannya yang strategik kerana berada di tengah bandar, selain merupakan milikan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK)," katanya.

Kompleks Ukir Mall, merupakan penempatan sementara bagi peniaga di Pekan Rabu berikutan pembinaan semula pusat membeli-belah ikonik yang akan mengambil masa selama dua tahun setengah.

Katanya, cadangan itu juga bertujuan memudahkan pengguna mendapatkan alat telekomunikasi dan digital, memandangkan tempat yang terhad di negeri ini.

Pemuda Umno menurutnya juga mencadangkan agar kerajaan negeri bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam menyediakan perkhidmatan latihan dan panduan kepada peniaga bumiputera yang baharu, bagi memastikan mereka tidak ditindas mana-mana pihak.

Isu rasis dan politik menurut Shaiful Hazizy, tidak seharusnya timbul kerana pewujudan pusat berkenaan memberi manfaat kepada semua pihak tanpa mengira kaum.

Sementara itu, ditanya mengenai reaksi daripada Mukhriz, Shaiful Hazizy berkata cadangan itu disambut baik oleh beliau kerana ini merupakan permulaan yang baik.

Menteri Besar itu juga menyarankan mereka untuk bekerjasama rapat dengan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor dalam melaksanakan cadangan itu. - Bernama

0 Komentar untuk " Ukir Mall dicadang jadi ala Plaza Low Yat di Kedah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ