‘Low Yat’ Melayu di bangunan Mara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

‘Low Yat’ Melayu di bangunan Mara

*DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan diwujudkan Low Yat 2 di tingkat tiga bangunan ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) khusus untuk orang Melayu menjual peralatan elektronik.

Cadangan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu segera ditempelak oleh MCA yang menganggap itu sebagai rasis. Rasis lagi! Biasalah apa-apa yang kita hendak buat ada sahaja orang kata rasis.

Tak kan pakai nama Cina pun dianggap rasis. Pada saya tidak ada salah hendak pakai Low Yat 2, Low Yat 3, atau Low Yat 21. Jangan mudah sangat hendak tuduh itu sebagai rasis. Jangan pula kita dimomokkan sangat dengan istilah rasis.

Apa pun, macam yang menteri telah jelaskan, nama Cina tidak akan digunakan untuk kompleks elektronik di bangunan Mara. Jadi MCA atau mana-mana parti politik cauvinis Cina jangan bimbang. Kita tidak main rasis-rasis.

Sebenarnya ada banyak nama Melayu boleh menggantikan Low Yat. Boleh guna Mat Tronik, Awang Pulut, Tun Sri Lanang, Hang Tuah, Sang Rajuna Tapa. Kalau hendak nama glamor boleh pakai Neelofa, Awie dan lain-lain. Pendek kata bukan Low Yat sahaja yang ada nilai komersial.

*SEBUAH iklan dari Bahagian Kewangan Kementerian Pertahanan yang disiarkan di sebuah akhbar (bukan Sinar Harian) beberapa hari lalu menyebut, pesawat eksekutif Boeing Business Jet (BBJ) 737-700 yang pernah digunakan sebagai penerbangan rasmi ketua Kerajaan Malaysia kini ditawar untuk jualan tender RM80.5 juta.

Pesawat eksekutif tersebut ditamatkan khidmatnya susulan pembelian pesawat baharu jenis Airbus Corporate Jet (ACJ320) bernilai RM465 juta.

Mereka yang berminat dikehendaki menghadiri taklimat tender serta lawatan tapak pada pagi Selasa depan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang. Tarikh tutup tender adalah pada 2 September. Ada sesiapa berminat?

*BARU sebulan dua lalu, dua pekerja binaan terbunuh apabila sebuah pasar raya yang sedang dalam pembinaan runtuh. Itu terjadi di Melaka Negeri Bersejarah.

Tragedi serupa berlaku Selasa lalu di Selangor, mengorbankan dua pekerja binaan, tiga lagi cedera, apabila struktur lantai di tingkat enam sebuah pusat beli-belah yang sedang dalam pembinaan runtuh di Jalan PS-6, Selayang.

Sebelum itu kita dengar beberapa runtuhan di Pulau Pinang, Perak dan lain-lain negeri. Dulu-dulu kalau ada berita bangunan runtuh mesti terjadi di Terengganu, sehinggakan Negeri Penyu itu diberi jolokan Terengganu Darul Runtuh.

Sebelum lebih banyak nyawa melayang, pihak berwajib kena mencari punca keruntuhan demi keruntuhan itu. Adakah kerana kecuaian kontraktor? Atau bahan binaan tidak bermutu?
Atau, adakah kerana gangguan jin tanah, hantu raya, puaka laut, dan lain-lain makhluk halus? Almaklumlah sekarang di mana-mana pun ada hantu!

*KAUM wanita kita kena berhati-hati! Ada berita menyebut sindiket Love Scam yang didalangi warga Afrika semakin menggila akhir-akhir ini dengan memperdaya kaum Hawa.

Menurut polis setakat ini lebih 200 mangsa, kebanyakannya janda kesepian serta anak dara tua dari Malaysia dan Singapura diperdaya sehingga ada yang kerugian antara RM100,000 hingga RM1 juta.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sindiket tersebut terbongkar baru-baru ini dengan penahanan kira-kira 30 suspek termasuk 14 orang tempatan di Puchong, Selangor.

Pihak sindiket akan melayan dan menggoda menerusi Facebook, kemudian meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun. Ada wanita tertipu hingga RM1 juta. Itulah gara-gara asmaradana di alam maya. Tidak pernah bersua muka, tapi boleh tertipu dengan parah.

*AKHIR kalam, hari ini Sabtu 15 Ogos 2015, bersamaan hari terakhir Syawal 1436 @ penghujung Hari Raya Aidilfitri. Ada dua undangan rumah terbuka yang saya mesti hadir, termasuk dari sebuah GLC yang tersohor di seluruh dunia.

Esok Ahad 16 Ogos 2015, bersamaan 1 Zulkaedah 1436, bukan lagi Aidilfitri. Tetapi ada satu undangan untuk saya menghadiri rumah terbuka raya. Tidak cukup Syawal, orang kita beraya di luar bulan raya.

Tidak kira ringgit jatuh berdentum, semangat raya sesetengah orang kita terus naik. Betullah dia orang kata, kita terlebih raya dari puasa!

0 Komentar untuk " ‘Low Yat’ Melayu di bangunan Mara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ