BAIK apa pun nama jawatannya, Pol Pot ialah diktator paling kejam dalam abad 20. Seperti sesetengah diktator lain, beliau membunuh rakyatnya dalam senyuman yang meluahkan aura ikhlas dan terbuka.
Stalin di Rusia dan Shah Iran tidak lekang tersenyum walaupun masing-masing mempunyai ‘gulag’ atau kem tahanan yang melakukan penyeksaan dan pembunuhan.
Ini untuk memberikan pengajaran kepada rakyatnya agar sentiasa akur kepada segala dasar dan keutamaan pemerintah. Justeru, yang minoriti dikorbankan demi kebaikan majoriti, kata mereka.
Taktik kekejaman begitu dirumuskan dalam buku bertajuk 1984 oleh George Orwell, terbitan tahun 1949. Orwell ialah penulis British. Karyanya yang memanusiakan binatang – bercerita tentang binatang tetapi yang dimaksudkan manusia – ialah The Animal Farm yang diterbitkan pada tahun 1945, sebaik saja Perang Dunia Kedua berakhir.
Dalam 1984, Orwell mengandaikan Britain menjadi negara kuku besi. Ia menggunakan bahasa unik untuk mengaburkan dunia. Media cetak dan elektronik dikawal begitu rupa. Pengamalnya mudah didapati bersalah oleh penghuni-penghuni Kamar 101, sedangkan apa yang sudah tersiar dipinda dan dituliskan semula demi mengagungkan pemerintah dan pemimpin utama yang dipanggil Big Brother.
Peneliti-peneliti berpendapat tokoh utama yang bernama Winston Smith dalam buku itu ialah Winston Churchill, tokoh yang memimpin empayar British ke arah kemenangan dalam Perang Dunia Kedua.
Salah satu senjata utuh Churchill ialah ucapannya yang penuh dengan kata-kata menggerakkan semangat waja rakyat British. Orwell bimbang kalau-kalau segala kekuatan Churchill itu akan membuatkannya hilang pertimbangan dan keimbangan sehingga menjadi seperti Hitler, diktator Jerman, dan Mussolini, diktator Itali, yang sudah tertewas, ataupun Stalin, sekutu British dalam perang itu – justeru merosakkan fabrik tamadun barat yang terbukti cemerlang, menurut penilaian Orwell.
Dipercayai Pol Pot telah diilhamkan oleh buku 1984, Dirinya dipanggil Brother No.1. Pusat penyeksaan dan pembunuhannya dipanggil S-21. Seramai 1.5 juta rakyatnya daripada jumlah 7.5 juta, atau 20 peratus, terkorban di serata Kemboja yang disinonimkan dengan The Killing Fields atau Lapangan Pembunuhan.
Mula-mula akhbar dibiarkan terbit, tetapi kemudiannya diharamkan sama sekali kerana liputannya menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penerangan. Yang lahir dan kekal selepas itu ialah Reeducation Centres atau Pusat-Pusat Pendidikan Semula yang dimestikan hadir oleh semua demi mendapat maklumat terkini dan yang diluluskan oleh Brother No. 1.
Buku 1984 dianggap salah sebuah daripada 20 novel terbaik dalam abad 20. Tan Sri H.M. Shah orang Melayu pertama menerbitkan filem, Kasih Menumpang, dalam tahun 1955, terasa sesuai menerbitkan buku ini dalam bahasa Melayu pada akhir 1950an.
Kesannya ke atas sikap British tersangat positif. Terdapat gerakan yang meluas, terutama di Universiti Oxford dan Cambridge, untuk menjauhkan diri daripada apa yang diperikan oleh Orwell secara sinis dan tamsil ibarat. Segala tanda ke arah kuku-besi lantas dipadamkan.
Akhirnya rakyat British sendiri menolaknya awal-awak lagi. Walaupun sudah timbul sedikit sebanyak Nazisme Baru dan Langkah Kanan Melampau, namun EU tidak silu-silu lagi menolaknya: tidak layak kekal dalam EU.
Apabila tanah-tanah jajahan British diberikan kemerdekaan satu persatu, cara pemerintahan bertamadun seperti yang dikenali ala Westminster dipastikan diikuti sebaik mungkin. Mana-mana yang jauh meliar dari situ akan menerima tekanan dan diberikan status ‘pariah’ yang stigmanya sangat membebankan.
Jauh daripada mengatakan Presiden Robert Mugabe di Zimbabwe itu diketepikan oleh dunia British (ertinya termasuk AS), antaranya beliau tidak dibenarkan menyertai Persidangan Komanwel, tetapi apa yang dialaminya bukanlah sesuatu yang patut berlaku terhadap Malaysia.
Mula-mulanya kerana soal perampasan tanah subur yang dimiliki oleh kompeni-kompeni dan individu-individu British. Tanah-tanah itu kemudiannya diberikan kepada pihak dan rakyat tempatan.
Kecaman dari UK, AS dan EU yang mengakibatkan pemulauan dalam banyak perkara mencekik kehidupan rakyat dan merendahkan taraf kehidupan mereka. Inilah yang mahu dijauhi.
Kini didapati bekas Duta AS ke Malaysia, John Mallott, telah membuat petisyen kepada Kerajaan AS tentang keadaan semasa di Malaysia yang sangat memudaratkan, menurut penilaiannya.
Petisyen ini sudah mendapat puluhan ribu tandatangan. Apabila jumlahnya sampai 100,000, maka Kerajaan AS akan mengambil tindakan sepadannya, seperti yang diterima oleh Aun Sang Su Kyi di Myanmar dan beberapa presiden dan perdana menteri di Afrika.
Kebestarian dunia kini ialah untuk mengelak daripada membuka peluang kepada AS campur tangan – secara langsung atau tidak langsung. Sedangkan Rusia dan China sudah lama menghayati hakikat ini.
* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat
0 Komentar untuk " Buruk jadi sempadan, baik diteladani "