Agama: Institusi keluaran tunjang lahir generasi Muslim unggul - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Institusi keluaran tunjang lahir generasi Muslim unggul



Gelaran suami ringan dipanggil atau disebut, namun tanggungjawabnya sangat berat. Sebagai ketua sebuah keluarga, suamilah yang menentukan hala tuju ahli keluarga sama ada bakal menghuni syurga atau menerima azab neraka di akhirat kelak. Menurut Ibn al-Munzir, Saidina Ali ketika membicarakan ayat itu berpesan: "Ajarkanlah diri kamu dan keluarga kamu mengenai kebaikan dan didiklah mereka." Ayat itu secara tidak langsung menggesa suami supaya mempelajari fardu agama yang diwajibkan kepadanya dan mengajarkannya pula kepada ahli keluarga mereka.

Selain anugerah daripada Allah SWT, keluarga juga amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Peranan untuk membentuk peribadi isteri dan anak semua tertanggung di pundak suami. Lantaran itu, suami memerlukan keupayaan ilmu mendasar, daya tahan iman yang utuh dan stamina amal yang teguh. Selain itu, mereka perlu ada kemahiran, kesenian dan kesabaran mendidik yang tinggi. Apakah kita tidak mengimpikan untuk menjadi suami mithali yang mengikut acuan Baginda Nabi SAW? Menyedari hakikat ini, beberapa kewajipan perlu diambil berat dan dilaksanakan oleh ketua keluarga.

Beri tarbiah Islam 

Memberikan pendidikan dan tarbiah Islam kepada anggota keluarga. Dunia hari ini memerlukan kepada penguasaan sains dan teknologi, pengurusan pentadbiran, ekonomi serta kewangan. Inilah yang menuntut kita menyediakan bekalan pengetahuan duniawi kepada isteri dan anak supaya tidak ketinggalan. Namun, keseimbangan antara ilmu duniawi dan ukhrawi mestilah wujud. Atas kesedaran itu, kita hendaklah berusaha sedaya mungkin menyediakan ilmu akhirat kepada mereka. Pupuklah mereka supaya bercita-cita tinggi untuk memburu kejayaan di dunia dan akhirat. Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka dalam kalangan manusia ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia, dan tiadalah baginya bahagian di akhirat. Dan dalam kalangan mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka. Mereka itulah orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 200-202)

Lahir generasi baharu Muslim 

Institusi keluarga adalah tunjang kepada kesinambungan rantaian manusia dari generasi ke generasi. Wujudnya kita sebagai Muslim sejati adalah hasil usaha generasi terdahulu. Andai keluarga itu benar-benar menurut acuan dan kehendak Islam yang tulen, ia akan menghasilkan generasi baharu Muslim yang unggul. Jika sebaliknya, keadaan keluarga porak peranda, haru-biru, kacau-bilau dan tiada hala tuju, pastinya kelahiran generasi Muslim akan terencat serta terbantut.

Lantaran itu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan berilah peringatan (nasihat) kepada kaum kerabatmu yang terdekat." (Surah al-Syuara', ayat 214) Peringatan paling penting ialah supaya berpegang teguh dengan akidah Islam dan jangan sekali-kali mensyirikkan Allah SWT. Inilah yang telah dipesan oleh seorang bapa contoh yang bernama Luqman al-Hakim kepada anaknya. Difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi pelajaran kepadanya: Hai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar." (Surah Luqman, ayat 13)

Keharmonian dan ketenangan rumah tangga tidak akan wujud andai tali ikatannya rapuh dan reput. Ia perlu sentiasa diperbaharui dan diberi simpulan kukuh supaya erat bertaut. Tali itu adalah ikatan kasih sayang yang menghubungkan antara anak dengan ibu bapanya. Oleh sebab anak itu lahirnya kemudian dan tidak tahu apa-apa, maka mereka perlu diberikan bimbingan supaya menghargai pengorbanan ibu bapa. Inilah juga yang ditekankan oleh Luqman al-Hakim supaya dapat membentuk anak yang taat kepada ibu bapa serta menjadi anak salih. Menghidup dan membudayakan syariat Islam dalam rumah tangga. Apalah ertinya lampu yang indah, namun tidak boleh menerangi. Apalah makna ubat yang banyak, tetapi tidak boleh menyembuhkan. Itulah gambaran boleh diberikan kepada keluarga yang tidak diterapkan nilai Islam.

Asas membudayakan Islam dalam rumah ialah dengan mendirikan solat dan memerintahkan setiap ahli keluarga melaksanakannya. Sedarlah bahawa ia bukan suatu yang mudah, malah menuntut kesabaran tinggi. Demikian juga dengan perintah lain seperti menutup aurat, mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dengan perempuan. Semua untuk menyelia perkembangan mereka supaya membesar berdasarkan fitrah jantina masing-masing dan menjadi Muslim yang salih dan salihah. Tiada kecelaruan jantina yang merosakkan identiti.

Terap budaya ekonomi Islam dalam keluarga 

Antara perkara yang perlu kita budayakan dalam keluarga ialah pengurusan kewangan. Umpamanya mengajar anak menjadi amanah, berbelanja berdasarkan keperluan, bersedekah, mengamalkan sikap berjimat cermat dan membuat simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan. Selain itu, perlu juga diterapkan pembudayaan ekonomi Islam seperti memilih makanan halal, barangan baik dan perkhidmatan patuh syariat. Semua perkara ini tidak akan dapat dibudayakan tanpa ada kerjasama daripada isteri.

Sehubungan itu, binalah keserasian dengan isteri, sentiasalah berbincang bersama dalam membentuk keluarga bahagia dan harmoni di dunia serta akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang yang beriman, dan zuriat (anak cucu) mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan (himpunkan) anak cucu mereka dengan mereka (di dalam syurga), dan kami tiada kurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya." (Surah al-Tur, ayat 21) Sumber: Khutbah Jabatan Agama dan Wilayah Persekutuan (JAWI).

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/74861
0 Komentar untuk " Agama: Institusi keluaran tunjang lahir generasi Muslim unggul "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ