Liberalisme dalam baiah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Liberalisme dalam baiah

"XIFU, mahu baiah pada parti mana supaya settle masalah umat?"

Ini soalan yang selalu dikemukakan dengan andaian seolah-olah parti politik adalah Imam Mahdi yang akan menyelamatkan umat daripada Dajal.

"Sebelum kamu memilih mana-mana parti, cuba tanya dulu siapa yang mulakan sistem parti politik?" saya tanya balik.

"Bukankah parti itu jemaah, Xifu? Kalau keluar parti, maknanya keluar jemaah. Maka, parti itu jemaahlah! Parti politik mestilah berasal daripada konsep jemaah, hasil tamadun Islam dulu!"

Masalah budaya pendidikan kita ialah modul sejarah kita tidak mendidik kita tentang relevannya mengaitkan sejarah dengan isu semasa. Sejarah itu hanya sekadar hafal peristiwa dan tarikh.

Kita tidak tahu bahawa sistem parti adalah hasil falsafah liberal yang memperjuangkan good governance (tata pemerintahan yang baik) berdasarkan perwakilan suara rakyat, bukan sistem monarki gereja yang mengutamakan ketuanan bangsawan atau ‘ulama’.

Tiada sistem kepartian dalam sistem khilafah zaman dulu. Bagaimana kita boleh kata bahawa ‘parti’ adalah jemaah dan keluar parti adalah keluar jemaah kalau konsep ‘parti politik’ itu sendiri tidak wujud zaman dulu?

"Xifu, tapi kita baiah kepada parti Islam, bukan kepada parti liberal. Masuk parti Islam maknanya masuk jemaahlah."

Ayat di atas hanya membezakan institusi Islam dan institusi liberal dari segi label!

Ini indikator tentang kelemahan budaya pendidikan kita. Kita dididik untuk taksub pada label, tidak dididik tentang ilmu falsafah barat. Kita anggap falsafah barat itu membahayakan aqidah kita, tetapi sebenarnya bukan ilmu yang bahaya.

Yang bahaya ialah kita tidak bijak memilih mana aspek ilmu yang perlu diajar pada peringkat mana. Yang lebih membahayakan ialah ramai ulama sendiri yang menentang fahaman liberalisme dengan hanya google tentang liberalisme.

Seluruh dunia dipengaruhi, dibentuk dan dikawal oleh liberalisme dari hujung kaki ke hujung rambut. Kalau kita tidak belajar tentang falsafah Barat, kita tidak dapat menilai dengan tepat apa yang sedang berlaku dalam konteks masyarakat multikultural.

Bahkan kita akan diketawakan kerana menentang liberalisme tetapi pada masa yang sama kita berjihad menggunakan falsafah liberalisme dalam kehidupan seharian kita tanpa kita sedari. Sebenarnya ini antara sebab ulama-ulama tidak mampu bersaing wacana multikultural kerana mereka hanya kenal hukum-hakam fiqh, bukan falsafah politik, sosiologi, psikologi.

Falsafah baiah zaman khilafah adalah baiah kepada individu, bukan parti kerana taklif terletak pada individu, pada orang, bukan benda atau alat seperti parti. Berbaiah pada parti tidak pernah wujud pada zaman khilafah.

Baiah pada parti adalah Baiah Liberal! Secara ringkasnya, baiah ini adalah hasil falsafah liberal yang mengandaikan seolah-olah parti itu berhala. Baiah pada parti, bukan pada tokoh-tokoh dalam parti kerana tokoh yang wajib menyembah parti, bukan parti wajib mengikut ketokohan individu.

Kalau seorang tokoh keluar dari parti walaupun atas hujah agama yang kukuh, dia tetap akan dilayan seolah-olah sudah murtad dari agama. Parti adalah nabi. Tidak mungkin tersesat jalan. Seluruh jentera parti akan digunakan untuk mengaibkan tokoh ini walaupun dia sudah lama berjasa pada parti. Parti adalah jentera, benda. Tiada hati.

Kalau parti itu dilabel Islam, maka parti itu adalah Islam. Atau sekurang-kurangnya parti itu adalah al-Jama’ah di mana seseorang perlu mengisi borang dan bayar yuran untuk menjadi ahlinya!

Untuk memudahkan lagi pemahaman, parti adalah umpama jamban. Kedua-dua adalah wasilah penting untuk memudahkan pengurusan maslahat. Tetapi apakah logiknya berbaiah pada parti sedangkan ia adalah umpama berbaiah pada jamban?

Kalau satu jamban dipenuhi najis dan pihak pengurusan berdegil tidak mahu membersihkannya dan kita tidak diberi kemampuan untuk membersihkannya, maka adakah waras kalau kita diharamkan menggunakan jamban lain yang lebih bersih walaupun jamban pertama membawa label ‘Islamik’?

Adakah roh ‘Islamik’ itu terletak pada bangunan jamban atau label atau sistem atau good governance? Adakah jamban yang bersih itu semestinya di bawah pengurusan paderi, Brahmin atau ulama sahaja?


* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Liberalisme dalam baiah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ