BATU PAHAT: Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan menjadi antara usaha dan agenda murni bagi meningkat semangat kebersamaan bagi menjunjung amanah serta mencorak jati diri rakyat negara ini. Pada masa sama kerajaan sentiasa berusaha menanamkan kefahaman dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda bagi membangunkan negara pada masa depan. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata penganjuran program itu dapat menyemai inspirasi dan memupuk percambahan minda positif yang penting dalam usaha memberikan penerangan lengkap, padat, sahih, konkrit serta terperinci mengenai segala dasar, hala tuju dan fokus teras kerajaan menuju negara maju menjelang 2020. "Justeru program ini seharusnya menjadi titik kesinambungan yang berterusan untuk setiap lapisan masyarakat daripada pelbagai generasi dalam menyemarakkan rasa cinta luhur hanya untuk kemakmuran dan kedaulatan negara," katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Akhir Kebangsaan 2015 di Dewan Tunku Mahkota Ismail, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di sini. Teks Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman. Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia, Mohd Sukari Ab Hamid; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Mohd Halim Hasbullah.
PEMENANG - pemenang pidato dari kanan, Tempat ketiga, Ghazali Mat Zain, Johan, Mohd Ikhwan Mohd Rosseli dan naib johan, Nurul Afifah Adila Mohd Salleh bergambar bersama pada Pertandingan Pidato 1Malaysia peringkat kebangsaan 2015 di Dewan Tungku Mahkota Ismail, Universiti Tun hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, Johor. - Foto Syarafiq Abd Samad
Pada pertandingan itu, pemidato dari Kuala Lumpur, Mohd Ikhwan Mohd Rosseli, 26, dipilih sebagai johan dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 bersama piala pusingan dan iringan serta sijil penyertaan. Naib johan pula disandang peserta dari Pahang, Nurul Afifah Adila Mohd Salleh, 24 dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Ghazali Mat Zain dari Kelantan, 38, yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta piala iringan dan sijil penyertaan. Jailani berkata, kerajaan sentiasa komited dengan setiap penganjuran program sambutan hari kebangsaan setiap tahun yang dilihat berupaya memupuk rasa kecintaan dan semangat patriotisme setiap warga negara hanya untuk Malaysia. "Program yang kita laksanakan setiap tahun termasuk Pertandingan Pidato 1Malaysia ini juga adalah antara usaha kerajaan dalam memantapkan jati diri semua lapisan masyarakat di negara ini.
"Justeru itu, bertepatan dengan tema hari kebangsaan yang ditetapkan iaitu #SehariSejiwa, ia diharap dapat melambangkan semangat kesepaduan yang dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini yang merentasi sempadan anutan agama, kepercayaan, fahaman, bangsa dan tempat. "Tugas membangun, membina dan memajukan negara adalah menjadi kewajipan semua pihak kerana nikmat kemajuan itu akan dikecapi secara bersama hasilnya," katanya. Sementara itu pada sidang media, Ibrahim berkata, Jabatan Penerangan Malaysia turut merancang 24 program bermula semalam hingga 16 September ini bagi meraikan Hari Kebangsaan. Katanya, antara program menarik yang dirancang selain Pertandingan Pidato 1Malaysia ialah kempen mengibarkan Jalur Gemilang dan doa untuk Malaysia, selain program menyemarakkan bulan kemerdekaan yang akan diadakan di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 10 Ogos ini. "Selain itu, Jabatan Penerangan Malaysia turut bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta dalam memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Kemerdekaan Ke-58.
ANTARA yang hadir pada Pertandingan Pidato 1Malaysia peringkat kebangsaan 2015 di Dewan Tungku Mahkota Ismail, Universiti Tun hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, Johor. - Foto Syarafiq Abd Samad
"Beberapa pihak swasta termasuk hotel turut memberi komitmen mereka dengan menganjurkan bufet khas sempena Hari Kebangsaan. Lebih memberangsangkan, beberapa perniagaan termasuk pusat membeli belah juga akan mengadakan Jualan Merdeka selama tiga hari, bermula pada 29 Ogos ini. "Selain, Jabatan Penerangan Malaysia berharap semua premis kerajaan, perniagaan, rumah, sekolah dan kenderaan juga turut bersama dalam menzahirkan rasa kecintaan mereka terhadap negara khususnya pada hari kemerdekaan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang," katanya. Ibrahim berkata, pihaknya turut mempelawa warga negara berusia 18 hingga 35 tahun untuk menyertai Program Sukarelawan Sehati Sejiwa yang dibuka selama sebulan, bermula semalam. "Hingga kini, seramai 1,121 individu sudah mendaftarkan diri menerusi laman sesawang www.penerangan.gov.my untuk menjadi sukarelawan dan jumlah ini dijangka terus bertambah dan kita juga tidak menetapkan had jumlah kerana penyertaannya sentiasa terbuka. "Sukarelawan ini bukan hanya untuk acara sambutan bulan kemerdekaan di Kuala Lumpur sahaja, malah turut ditempatkan di semua negeri, bergantung kepada lokasi tempat tinggal dan acara yang dianjurkan," katanya. Bagi pemenang pertandingan pidato, Mohd Ikhwan, dia tidak menyangka akan dinobatkan sebagai juara kerana mendapat saingan sengit daripda 15 pemidato seluruh negara.
MOHD Ikhwan menyampaikan pidato pada Pertandingan Pidato 1Malaysia peringkat kebangsaan 2015 di Dewan Tungku Mahkota Ismail, Universiti Tun hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, Johor. - Foto Syarafiq Abd Samad
"Alhamdulillah, saya tidak sangka akan menjadi johan kerana mendapat saingan hebat daripada peserta. Saya amat bersyukur kerana sebelum ini hampir membuat keputusan menarik diri daripada pertandingan kerana kesibukan tugas. "Kemenangan ini juga adalah khas buat seseorang yang mahu saya menang iaitu seorang yang bakal menjadi suri hati saya sendiri," katanya yang berjaya menambat juri menerusi persembahan pidato menarik yang bertajuk Modal Insan Pemangkin Ke Arah Negara Maju. Bagi pemenang tempat kedua pula, Nurul Afifah, menyifatkan kemenangannya sebagai kenangan manis terakhirnya sebagai pemidato. "Alhamdulillah syukur. Saya sebenarnya sudah aktif dalam bidang pidato atau pengucapan awam ini sejak lima tahun lalu dan saya rasa ini adalah kali terakhir saya menyertainya kerana saya kini sudah berada di semester akhir pengajian saya di Universiti Putra Malaysia (UPM)," katanya.
Pemenang tempat ketiga, Ghazali, turut menyifatkan penyertaannya dalam pertandingan ini adalah untuk kali terakhir dan hanya akan fokus dalam usaha melahirkan pemidato muda pada masa depan. "Saya sebenarnya menyertai pertandingan ini adalah disebabkan cabaran dan dorongan daripada banyak pihak selepas kali terakhir menyertai pertandingan seumpama ini pada 1999. "Banyak perubahan dari segi aspek pidato yang saya lihat pada hari ini. Contohnya, pada era 1990-an, kebanyakan pidato berkonsepkan konvensional seperti di Parlimen, era tahun 2000 pula lebih kepada kebersahajaan dalam menyampaikan hujah dan kini berpidato dengan dibantu oleh teknologi. "Ini adalah baik untuk masa depan pengucapan awam kerana menerusi teknologi, segala hujah, fakta dan maklumat akan dapat disampaikan dengan lebih tepat dan kefahaman hadirin mengenai sesuatu isu juga dapati ditingkatkan," katanya yang bertugas sebagai guru.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71997
0 Komentar untuk " Advertorial: Pidato 1Malaysia semarakkan rasa cinta kepada negara "