Cabaran mendalami al-Quran pada usia lewat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Cabaran mendalami al-Quran pada usia lewat



MULA belajar al-Quran dengan serius ketika usia mencecah 18 tahun, mungkin agak lewat bagi seorang pendakwah namun tidak menghalang penulis buku keagamaan, Rohidzir Rais, 40, untuk meneruskan cita-citanya mendalami agama dan kitab suci. Menyingkap pahit jerih dalam menuntut ilmu agama danal Quran, tanpa segan silu, pendakwah bebas yang berasal dari Pulau Pinang mengakui beliau mula berjinak diri mengenali kalam suci pada usia yang agak lewat. "Saya tidak pandai membaca al-Quran cuma kenal alif ba ta saja. Memang ada belajar al-Quran masa keciltetapi susah untuk mahir kerana banyak bermain. Kesedaran untuk mendalami ilmu agama dan al-Quran sudah ada sejak Tingkatan Tiga tetapi tidak tahu bagaimana dan di mana mahu memulakannya. Setiap kali solatitulah doa saya semoga mendapat jalan untuk menambah ilmu.

"Semasa Tingkatan Enam, saya berjumpa Ustaz Yusoff Othman yang mengajar di sekolah saya dan beliau turut memiliki institut tahfiz, Ma'hadul Azhar dan sering bercerita mengenainya. "Saya tertarik untuk mendalami Islam dan ustaz menawarkan saya belajar al-Quran di pondoknya setiap hari selepas waktu sekolah," katanya yang berulang menggunakan basikal ke sekolah itu. Kadangkala, jika ada halangan seperti hujan lebat, anak ketiga dari enam beradik ini akan bermalam di sekolah berkenaan. Oleh kerana tidak mahir membaca al-Quran, beliau mengakui terpaksa membaca dari peringkat Iqra. Beliau mahu meneruskan pengajian di Ma'hadul Azhar tetapi tidak dibenarkan oleh Yusoff kerana mahu beliau menghabiskan persekolahan dulu.

Namun, ia tidak langsung mematahkan semangatnya dan beliau bertekad menyambung pengajian di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan walaupun tanpa keizinan kedua orang tuanya. "Ibu, Rodziah Ismail, 66 dan bapa, Rais Abdul Wahab, 68, tidak membenarkan saya pergi kerana sebagai anak lelaki sulung mereka mahu saya menamatkan persekolahan. Mereka bimbang jika saya tidak menamatkan persekolahan sukar untuk mencari rezeki membantu keluarga tetapi saya tetap nekad dan mahu meneruskan pengajian. "Saya hanya sempat bersalaman dengan ibu bapa dan meminta maaf dan terus pergi. Setiba di Pondok Pasir Tumbuh, saya menghantar surat panjang meminta maaf dan izin kepada ibu bapa untuk meneruskan pengajian. "Awal pengajian di Pondok Pasir Tumbuh saya terpaksa belajar tulisan jawi selama seminggu kerana semua kitab dalam tulisan jawi. Saya susun jadual sendiri, 15 jam sehari diperuntukkan untuk membaca al-Quran," katanya. Lama-kelamaan, katanya, ibu bapanya dapat menerima tindakannya dan lebih membahagiakan apabila adik di bawahnya turut mahir membaca al-Quran.

Mula usia lewat 

Selepas setahun di Pondok Pasir Tumbuh, beliau kembali ke Pulau Pinang dan meneruskan pengajian di Ma'hadul Azhar selama tiga tahun. Sepanjang di sekolah pondok itu, katanya, adalah antara tahun mencabar dalam usahanya mencari ilmu disebabkan usia yang sudah agak lewat. "Di Ma'hadul Azhar adalah saat pengajian yang paling mencabar kerana terpaksa belajar wajib 10 jam sehari. "Cabaran untuk belajar dalam keadaan usia yang agak lewat adalah terpaksa berguru dengan pelajar yang bijak jauh lebih muda daripada saya. Mereka masuk ke sekolah itu ketika di sekolah rendah dan ke Mesir ketika usia mencecah 14 tahun, sedangkan saya sudah tamat persekolahan baru masuk sekolah itu. "Saya terpaksa belajar dengan pelajar yang usianya lima tahun lebih muda dan berdepan dengan tekanan pada saat pelajar lain diulit mimpi, kita terpaksa berusaha keras belajar. Kadangkala air mata tidak dapat ditahan terutama apabila apa yang dibaca tidak difahami," katanya.

Berdepan suasana cemas 

Ceritanya, di Ma'hadul Azhar, beliau pernah berdepan dengan saat mencemaskan apabila dikepung satu parti politik yang berang kerana menyangkakan pelajar pondok itu menurunkan poster kempen Pilihan Raya Umum 1999. "Ketika itu di asrama, pelajar paling tua adalah saya kerana pelajar senior ke Perak untuk mengambil peperiksaan Empat Thanawi. Apabila geng motosikal masuk ke kawasan pondok, saya terpaksa turun kerana pelajar lain semuanya masih kecil. Dalam pada gementar itu, sempat juga saya menyelitkan pisau lipat dalam saku baju. "Kumpulan itu memarahi kami dengan agak kasar dan saya meminta mereka menunggu ustaz untuk menyelesaikan perkara itu. Apabila ustaz tiba dan berunding serta menafikan dakwaan mereka akhirnya kumpulan seramai lebih 20 orang itu bersurai. "Memang bukan pelajar pondok kami yang menurunkan poster tetapi ada pihak yang berdendam dengan pondok kami yang mahu mengenakan kami," katanya.

Bercerita mengenai latar belakang pendidikannya, Rohidzir berkata beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Sungai Dua, Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Abdul Kadir, Kepala Batas sebelum menyambung pengajian di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan seterusnya Ma'hadul Azhar di Pokok Sena, Pulau Pinang. Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang syariah Islam di Universiti al Azhar, Mesir selama empat tahun. Ketika di Mesir, beliau mula giat menjinakkan diri dalam bidang penulisan dan di tahun tiga di universiti itu beliau menterjemah karya penulis Turki, Harun Yahya bertajuk Evolusion Deceite dari bahasa Inggeris ke Melayu. Usaha menterjemah karya Harun terus dilakukan sehingga di tanah air selepas tamat pengajian. Setakat ini, sebanyak 30 buku penulis itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Tubuhkan sekolah 

Sekembali ke tanah air, beliau mengajar di Kolej Darul Azhar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sambil melakukan kerja penterjemahan. Beliau yang pernah berkhidmat dengan syarikat penerbitan PTS dan Pustaka Sheikh Nurudin, kini membuka syarikat penerbitan buku sendiri, Inspirasi i Media dan membuka sekolah Islam Nur al Azhar (SINAR), di Sepang untuk pelajar pintar. "Saya menubuhkan sekolah ini adalah kerana saya tidak tahu di mana mahu menghantar dua anak saya. Saya berkongsi dengan rakan yang juga bekas pelajar Ma'hadul Azhar dan membuka sekolah ini dengan silibus sendiri di bawah Majlis Agama Islam Selangor.

"Sekolah ini adalah khusus untuk pelajar pintar dengan bimbingan guru mursyid. Setakat ini ada 28 pelajar berusia antara 10 hingga 16 tahun bersekolah di sini," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan bekas anak muridnya, Alina Abdullah, 31 dan dikurniakan empat cahaya mata. Dua tahun selepas kembali dari Mesir, beliau tidak menyampaikan ceramah agama kerana tidak yakin dengan ilmunya hanya membuat kerja penulisan. "Saya mula berceramah selepas Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi menyarankan saya berbuat demikian.

Saya berguru secara terus dengannya di rumahnya dan menerusi telefon. Kebetulan ketika itu tawaran kali kedua untuk muncul dalam program Tanyalah Ustaz selepas kali pertama saya tolak. "Saya minta pandangannya dan beliau menyarankan saya menyampaikan ilmu kepada khalayak. Saya masih ingat kali pertama muncul, berpeluh juga saya," katanya sambil ketawa

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71973
0 Komentar untuk " Cabaran mendalami al-Quran pada usia lewat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ