KongsiMakan sedia pasaran tanpa kos besar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

KongsiMakan sedia pasaran tanpa kos besar

KONGSIMAKAN Berhad atau lebih dikenali KongsiMakan mengorak langkah untuk membantu usahawan kecil atau pengusaha home-based yang mempunyai produk bernilai komersial dan berpotensi besar untuk diketengahkan ke dalam program pembangunan usahawannya.

Ketua Pegawai Operasi KongsiMakan, Datuk Nik Ahmad Azlan Nik Mud berkata, menerusi program tersebut, organisasi itu akan berperanan menyediakan pasaran luas melalui pembelian jaringan ahlinya sendiri dengan kaedah tanpa melibatkan kos yang besar.

Menurutnya, peserta terpilih akan dipantau secara lebih menyeluruh dan komprehensif yang meliputi aspek pengurusan, operasi, pemasaran dan penjenamaan.

“Dalam proses ini, usahawan kecil terbabit akan dikenal pasti selepas melalui proses pemilihan dan saringan. Antara kaedahnya, melalui temu duga dan seterusnya kami akan melakukan lawatan tapak.

“Komitmen usahawan akan dinilai dan begitu juga minat serta fokus mereka terhadap produk yang diusahakan. Ini penting supaya KongsiMakan dapat membantu mereka yang benar-benar layak,” katanya.

Beliau berkata, setiap usahawan akan dinilai pengalaman mereka berkaitan perusahaan yang dijalankan malah, pengalaman sebelum memulakan perniagaan turut akan diambil kira.

“Pihak jawatankuasa pemilihan KongsiMakan juga akan memastikan tiada pertindihan produk di dalam KongsiMakan supaya proses pemasaran tidak terganggu dengan masalah persaingan dalaman selain dapat membantu syarikat untuk memberi fokus kepada pembangunan usahawan tersebut.

“Antara objektif utama program ini agar usahawan terlibat dalam menjadi pemain dalam industri kecil dan sederhana bagi membolehkan mereka bersaing serta bertapak di dalam industri yang diceburi.

Nik Ahmad Azlan berkata, program berkenaan turut dapat membantu produk-produk tersebut menerokai pasaran luar sejajar dengan misi KongsiMakan Berhad yang akan ke luar negara pada masa akan datang.

“Peserta terpilih akan dibawa ke peringkat pembangunan, penambahbaikan dan seterusnya penjenamaan produk dan kami akan bantu mereka dalam memberi khidmat nasihat dan bantuan kepakaran supaya produk mereka dapat dipertingkatkan seterusnya disuntik dengan elemen yang boleh memberi nilai kompetitif.

“KongsiMakan juga akan membantu menjalankan kempen serta promosi yang membolehkan produk-produk ini dapat disebar luas dalam kalangan ahli. Ia termasuklah menggalakkan pembelian produk secara bulanan,” katanya.

Menurutnya, justeru, amat penting bagi kesemua produk terpilih mempunyai kualiti, bermutu dan bernilai tinggi sekali gus membolehkan produk ini mengalami kaedah pemasaran secara organik iaitu dari mulut ke mulut dalam kalangan ahli dan juga pelanggan.

“Kami percaya jualan produk ini sudah pasti akan meningkat dan begitu juga dengan operasi serta pengurusannya namun para usahawan perlu lebih fokus kepada penambahbaikan produk dan strategi perniagaan yang berterusan.

“Di samping itu proses pemantauan dilakukan jawatankuasa secara berkala sama ada melalui laporan jualan dan operasi atau melalui lawatan ke tapak perniagaan dan kami yakin,” katanya.

Nik Ahmad Azlan berkata lagi, sehingga ke satu peringkat, usahawan-usahawan kecil yang pada asalnya beroperasi di rumah atau desa dapat dinaiktarafkan ke kilang-kilang atau pusat-pusat IKS sekali gus dapat meneroka ruang pasaran domestik di luar platform KongsiMakan sendiri.

“Proses ini berlaku sehingga ke suatu peringkat usahawan dapat berdiri walaupun tanpa lagi dukungan KongsiMakan," katanya.

Beliau berkata, secara jelasnya, program ini akan menjadi pemangkin kepada kelestarian kumpulan usahawan agar lebih berdikari dan mampu bertahan dalam suasana pasaran yang dinamik selepas satu tempoh, peserta yang berjaya akan diberi pengiktirafan.

“Sebagai permulaan, usahawan yang layak akan disenarai pendek sehingga akhirnya hanya 10 usahawan akan dipilih untuk setiap negeri sebelum diserap menyertai modul pembangunan KongsiMakan dan seterusnya dipantau secara berkala,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta yang menyertai program di bawah KongsiMakan, Rohayu Mohd Aziz, 39, dari Melaka berkata, beliau mula menyertai program tersebut semenjak Jun lalu dan jualan produk rawatan kulit yang dihasilkannya kini melonjak begitu luar biasa.

“Saya sudah mulakan pengeluaran produk rawatan kulit berjenama La Faccia sejak beberapa tahun lalu dan kebiasaannya tahap jualannya hanya biasa sahaja. Ada kalanya kami hendak menjual 10 bar produk pun sukar tetapi selepas menyertai KongsiMakan, tidak sampai dua bulan sudah lebih 1,000 bar terjual.

“Ia disebabkan KongsiMakan sudah kukuh dengan rangkaian komuniti pengguna dan saya pun tidak perlu membazirkan kos untuk mengiklankan produk,” katanya.

Seorang lagi peserta KongsiMakan, Kamal Yahya, 53, dari Melaka telah menghasilkan produk jus mata kucing dan jus kundur sejak tujuh tahun lalu.

“Syarikat saya mula menyertai KongsiMakan pada April lalu dan selalunya produk kami hanya mengharapkan musim-musim tertentu seperti bulan Ramadan barulah laris barangan kami.

“Tetapi sejak menyertai KongsiMakan kami tidak perlu tunggu ketika bulan Ramadan sahaja bahkan setiap bulan laris produk kami. Perniagaan kami bagaikan dari zero to hero’,” katanya.

Justeru, bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang program pembangunan usahawan KongsiMakan ini bolehlah menghubungi Pengurus Pembangunan Perniagaan KongsiMakan Berhad Tuan Mohd Norfaisal Shariff di talian 018-7774435 atau 011-5290775.

Para usahawan juga boleh tampil ke pejabat perniagaan KongsiMakan Berhad di alamat 9858, Jalan Penghulu Abbas, Bukit Baru, 75150 Melaka atau layari laman web www.kongsimakan.com

0 Komentar untuk " KongsiMakan sedia pasaran tanpa kos besar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ