Tarikan nasi lemak segera Salees - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tarikan nasi lemak segera Salees

TIADA apa yang mustahil dalam dunia hari ini, terutamanya di bidang inovasi dan menarik apabila seorang usahawan yang memulakan perniagaan dalam bidang logistik boleh mengubah haluan menceburi bidang makanan.

Itulah yang dilakukan Syed Alwi Abu Bakar, Pengarah Urusan, Global Tradelink (M) Sdn Bhd yang memulakan perniagaan logistik tetapi kerana inovasi yang dimilikinya, beliau memulakan perniagaan dalam bidang makanan pada awal 2014.

Menurutnya, idea menghasilkan nasi lemak segera keluarannya berasal dari konsep mi segera dalam cawan memandangkan nasi lemak merupakan makanan kegemarannya.

“Latar belakang saya adalah logistik dan bukan dalam bidang makanan. Tetapi, awal tahun lalu saya terdorong untuk mengubah haluan perniagaan dengan melakukan apa yang saya minat.

“Kebetulan saya bertemu salah seorang rakan kongsi yang menginovasi produk nasi segera melalui proses pengeringan nasi dan tidak perlu disejuk beku seperti yang ada dalam pasaran,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Syed Alwi berkata, nasi yang sudah dimasak akan dikeringkan dan kemudian dibungkus sama seperti konsep mi segera di dalam cawan.

“Kementerian Pelancongan pernah menyatakan nasi lemak akan digunakan sebagai makanan asli Malaysia bagi menarik pelancong berkunjung ke sini, jadi saya rasa peluang ini perlu digunakan sepenuhnya.

“Nasi lemak segera jenama Salees ini juga sesuai untuk dibawa ke mana-mana terutamanya jika melancong ke luar negara memandangkan penyediaannya hanya lima minit sahaja,” katanya.

Proses R&D ambil tempoh lama

Ditanya mengenai kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan, Syed Alwi berkata untuk mengeluarkan produk makanan berasaskan nasi segera bukanlah mudah dan ia memakan masa yang lama.

“Saya menghabiskan masa hampir tiga tahun menjalankan R&D untuk mengeluarkan nasi lemak segera dengan pelaburan melebihi RM100,000.

“Mula-mula kami menginovasi nasi untuk dijadikan nasi segera kemudian menjalankan R&D dalam mengekalkan rasanya pula supaya memenuhi cita rasa tempatan dan enak,” katanya.

Jelasnya, nasi lemak Salees mudah untuk disediakan hanya dengan membuka bungkusan nasi lemak dan kemudian direndam bersama air panas selama lima minit di mana selepas itu nasi akan bertukar menjadi nasi segar.

“Selepas itu gaulkan nasi bersama serbuk santan yang mana akan mengeluarkan bau harum nasi lemak. Ikan bilis goreng dan juga sambal turut disediakan di dalam bungkusan.

“Apa yang menarik kami menginovasi produk tersebut menjadi 98 peratus hampir sama seperti nasi lemak segar untuk pelanggan kami,” katanya.

Bakal keluar siri nasi goreng segera

Menurutnya, nasi lemak Salees lebih digemari golongan muda terutamanya berkerjaya dan tidak mempunyai masa untuk memasak.

“Dengan nasi lemak Salees, mereka dapat menjimatkan masa dan juga memakan sesuatu yang berkhasiat daripada mi segera,” katanya.

Syed Alwi memberitahu, nasi lemak Salees masih baharu di pasaran dan kaedah pemasaran yang digunakan buat masa ini hanyalah melalui atas talian (online) dan juga beberapa rangkaian kedai serbaneka di Kuching, Sarawak.

“Kami sudah empat bulan berada di pasaran dan permintaan nasi lemak Salees dalam tempoh tersebut menunjukkan peningkatan yang menggalakkan dari pengguna di luar sana.

“Buat masa ini, permintaan yang kami terima adalah antara 10,000 hingga 20,000 pek nasi lemak Salees dan dengan permintaan yang semakin bertambah saya menjangka ia akan mencecah 50,000 pek sebulan seluruh negara,” katanya.

Beliau juga akan mengeluarkan beberapa variasi nasi segera baharu dalam masa terdekat selepas melihat sambutan menggalakkan dari nasi lemak segeranya.

“Pelanggan menggemarinya kerana ia sangat cepat disediakan terutamanya golongan muda yang bekerja dan tidak mempunyai masa untuk memasak di rumah.

“Kami akan mengeluarkan nasi goreng segera dengan tiga perasa berbeza iaitu nasi goreng cendawan, kampung dan Kantonis dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya.

0 Komentar untuk " Tarikan nasi lemak segera Salees "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ