Kebangsatan yang bersangatan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kebangsatan yang bersangatan

LUCU, setelah 58 tahun merdeka, barulah sesetengah pemimpin Melayu sedar. Tetapi sebagai orang tidak berparti dan bukan orang politik, saya sudah lama melihat dan merasakan kebangsatan Melayu.

Sebenarnya tidak perlu menunggu Umno hilang kuasa - seperti yang dibimbangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak - orang Melayu memang telah kecundang serba-serbi di bumi sendiri.

Perdana Menteri yang juga presiden parti terbesar Melayu itu memberi amaran orang Melayu akan bangsat sekiranya Umno hilang kuasa. Beliau bertanya: “Tanpa Umno apa akan terjadi kepada Melayu dan umat Islam?”

Berucap pada majlis perasmian berkelompok persidangan perwakilan Umno Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau beberapa hari lalu, beliau menegaskan anggota Umno wajib mempertahankan parti yang menerajui kepimpinan negara.

Kata beliau, seperti yang disiarkan media: “Orang Melayu akan cukup tertekan sekiranya Umno hilang kuasa. Hilang segala-galanya, hilang kuasa, hilang maruah dan hilang masa depan.”

Saya tidak tahu dan tidak berani meramalkan apa akan terjadi sekiranya Umno betul-betul hilang kuasa. Apa yang dapat saya katakan ialah ketika ada Umno pun orang Melayu sudah cukup tertekan pagi-petang, siang-malam.

Sebagai lepasan sekolah pondok, tidaklah saya layak bercakap mengenai ekonomi Melayu. Tetapi lihatlah di hadapan mata, dan tanyalah pakar-pakar ekonomi, di mana kedudukan Melayu dalam ekonomi di negara bertuah ini?

Tanya orang bijak pandai, sudah tercapaikah matlamat 30 peratus, seperti yang disasarkan oleh Dasar Ekonomi Baharu, penyertaan dan pegangan orang Melayu dalam kek ekonomi kita? Jangan malu, lebih baik mengaku, kita masih sengkek!

Perihal ekonomi, baik makro, mikro dan kro-kro lain, biar mereka yang betul-betul pakar menjelaskan. Saya hanya mampu menunjukkan kebangsatan Melayu menerusi perkara-perkara kecil yang terjadi setiap hari di hadapan mata, di KL.

Dulu-dulu pasar Chow Kit dan kawasan sekitarnya menjadi tumpuan peniaga dan penjaga Melayu. Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur mengeluarkan lesen-lesen peniaga untuk memberi peluang kepada orang Melayu.

Apa yang terjadi hari ini, seperti yang kerap disiarkan media, ialah kedai dan gerai milik Melayu semua telah berpindah milik kepada pendatang asing. Lesen Melayu punya, kedai dan perniagaan orang lain punya. Pemilik lesen dibayar RM1,000, pendatang asing buat untung RM ribu-ribu-ribu.

Ada pihak yang prihatin dan melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa. Serbuan demi serbuan dibuat, tetapi lubuk penjaja Melayu itu tetap dikuasai oleh pendatang asing.

Pihak berkuasa berkata, mereka tidak boleh berbuat apa-apa, sebab setiap kali serbuan dibuat, pemilik sebenar @ pemegang lesen asal berada di kedai. Tidak ada bukti lesen dan perniagaan telah diserahkan kepada warga asing.

Semua orang tahu, satu Malaya heboh, pihak berkuasa boleh kata tidak ada bukti! Inilah permainan silap mata - lebih hebat daripada David Cooperfield! - yang membangsatkan orang Melayu.

Sama juga halnya dengan penjaja Melayu yang menjual air tebu dan buah potong di simpang atau tepi jalan di KL. Dari semasa ke semasa mereka disergah oleh petugas penguat kuasa, peralatan jualan dirampas dan diangkut ke dalam lori.

Tetapi penjaja Cina menjual taufu-fa di kawasan sama, tidak pula disergah dan diacah. Ada yang menuduh ini rasuah. Mungkin betul, mungkin hanya persepsi. Apa yang pasti ini pun contoh kebangsatan Melayu.

Bercakap fasal maruah, kita memang sudah hilang maruah dalam banyak perkara. Ambil bahasa Melayu sebagai contoh. Orang sudah malu hendak bertutur bahasa Melayu. Nama sahaja bahasa kebangsaan, tetapi menteri Melayu sendiri lebih selesa berbahasa Inggeris.

Bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa rasmi semakin dipinggirkan baik secara sengaja atau tidak. Istilah-istilah asal Melayu telah diganti dengan sekian banyak istilah Inggeris konon untuk memperkaya bahasa Melayu.

Kain rentang, papan tanda, iklan-iklan korporat semua lebih megah membesarkan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu ditulis dengan huruf kecil, atau tidak digunakan langsung. Orang sudah pijak bahasa kita, sampai masa nanti bahasa itu akan dicampakkan bersama sampah-sarap di Sungai Klang. Apakah itu bukan bangsat namanya?

Kalau ada Hang Tuah, dia pasti akan menangis sambil menghantuk kepala ke dinding, sebab dulu dialah yang mendabik dada sambil berkata: Takkan Melayu hilang di dunia.

Memang di tempat kita Melayu masih ada, tetapi sedang tenat dalam kebangsatan yang bersangatan.

0 Komentar untuk " Kebangsatan yang bersangatan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ