Konsep sebenar perkataan bangsat dan terbangsat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Konsep sebenar perkataan bangsat dan terbangsat

MEMANG patut pun ramai orang ingin menjadi pemimpin, apatah lagi sebagai orang nombor satu dalam negara. Rupa-rupanya, apa sahaja tutur kata, perbuatan atau sebarang gerak kerja akan menjadi bualan, ikutan dan polemik, malah mampu menggegarkan negara. Begitulah cerita negara kita sehari dua ini.

Rakyat Malaysia agak tersentak apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam ucapannya mengeluarkan perkataan ‘bangsat’ atau ‘terbangsat’ yang ditujukan kepada bangsa Melayu agar jangan leka atau jangan terkeliru dalam permainan politik mutakhir ini.

Mengikut paparan beberapa buah akhbar tempatan seperti Sinar Harian 24 Ogos baru-baru ini, sebagai pemimpin tertinggi parti Umno, beliau meluahkan rasa bahawa jikalau orang Melayu tidak memperteguh Umno atau membiarkan parti Umno terhuyung–hayang, retak atau rapuh permuafakatannya, bangsa Melayu bisa menjadi bangsa yang terbangsat di negara ini.

Ekoran daripada kenyataan tersebut, pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia telah timbul. Ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju, ada yang marah, ada yang resah dan bermacam-macam lagi. Jadi dalam ruangan hari ini, elok kita renungi konsep sebenar perkataan ‘bangsat’ atau ‘terbangsat’ daripada punca bahasa yang berautoriti.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘bangsat’ bermakna orang jahat seperti pencuri dan lain-lain. Ini merujuk kepada erti kata perbuatan dan merujuk kepada orang yang melakukan perbuatan tidak baik yang sudah tentunya tidak disukai oleh masyarakat.

Makna keduanya pula, berdasarkan kata mengikut situasi atau keadaan, ‘bangsat’ membawa erti miskin, iaitu suatu keadaan hidup yang melarat. Kemelaratan hidup ini akan menyebabkan masyarakat tersebut dihina.

Manakala makna ketiga yang serupa juga dengan makna yang diberikan oleh kamus Indonesia, ‘bangsat’ merujuk kepada kutu busuk, iaitu orang yang melakukan kerja-kerja jahat seperti mencuri dan mencopet. Apabila seseorang itu melakukan kerja-kerja jahat tersebut, biasanya masyarakat akan membenci lantas memaki hamun. Antara perkataan maki hamun yang terkeluar daripada mulut masyarakat ialah bangsat.

Namun,  jika kita kaitkan dengan kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini, ‘bangsat’ atau ‘terbangsat’ yang diluahkan oleh beliau membawa makna  masyarakat atau bangsa yang sudah tidak punya untung nasib, hilang kuasa, hilang maruah dan tiada masa depan.

Secara tafsirannya, boleh dikatakan bahawa bangsa yang bangsat ialah bangsa yang hina, tiada harga diri serta hidup dalam keadaan yang tercorot dan kecundang, malah lebih teruk dari itu. Lantaran itu, Najib selaku Presiden Umno bertegas mengatakan bahawa hanya parti Umno yang mampu membawa masyarakat negara ini, khususnya bangsa Melayu jatuh ke lembah kebangsatan.

Penegasan beliau tersebut lantaran realiti selama ini yang jelas menunjukkan bahawa bangsa Melayu mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain dek kerana perjuangan Umno yang sentiasa fokus kepada Tradisi Membela Rakyat.

Jadi, jika kita bandingkan pernyataan Perdana Menteri dengan makna yang dikemukakan oleh Kamus Dewan, tentunya amat berkaitan dan senada, khususnya makna ‘bangsat’ dengan keadaan miskin yang diertikan dalam makna kedua kamus negara tersebut.  Apabila sesuatu bangsa itu telah lemah, hina dan tiada maruah, tentu sahaja akan dibenci, ditindas dan mungkin dimaki hamun.

Mungkin ada beberapa tafsiran yang berbeza mengenai perkataan terbangsat sebagaimana yang dilontarkan oleh Perdana Menteri tempoh hari. Tetapi perlu diingat bahawa bahasa adalah sesuatu yang bersifat arbitrari, iaitu mempunyai keupayaan kesesuaian mengikut konteks dan situasi penuturannya.

Contohnya ada kala sesuatu perkataan itu membawa sedikit perbezaan makna ketika ditulis atau dalam penulisan berbanding dengan semasa dituturkan. Keadaan ini berlaku kerana apabila dituturkan, perkataan tersebut dikemukakan bersama mimik muka, intonasi suara dan gaya penuturnya yang tentunya ada pemberatan makna mengikut persekitaran pengucapan tersebut.

Jadi, ia kadang kala membawa pengertian yang berbeza dengan apa yang tertulis dalam ayat. Jika diimbas kembali wacana penuturan Perdana Menteri tempoh hari, ia berlaku semasa beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar, Kangar, Perlis.

Jadi, tentu sahaja selaku Presiden Umno hasratnya untuk membangkitkan kesedaran dan kesiagaan ahli Umno dalam memartabatkan Umno dan bangsa Melayu agar tidak leka, tidak lupa diri dan sentiasa fokus dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu, tidak hairanlah jika perkataan terbangsat diluahkan.

Tujuannya bukanlah untuk menghina bangsa sendiri tetapi untuk menggegarkan jiwa dan raga ahli Umno, juga menyatakan kebimbangan yang mendalam supaya bangsa Melayu tidak dihina dan diperlekehkan di negara ini.

Sesungguhnya bahasa adalah media yang kaya dengan perkataan dan maknanya. Keindahan bahasa adalah kepelbagaiannya, adalah bunga-bunganya, adalah gaya dan penyampaiannya. Jadi, sesuatu yang indah perlu disambut dengan senyuman. Bahasa Jiwa Bangsa.

* Ruangan ini dikelolakan DBP Wilayah Timur

0 Komentar untuk " Konsep sebenar perkataan bangsat dan terbangsat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ