Jalur gemilangku yang pucat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jalur gemilangku yang pucat

SYAWAL sudah tiba ke penghujungnya. Petang Ahad lalu, saya menolong isteri untuk mengemas. Segala pinggan mangkuk, gelas, sudu garfu dan table runner yang digunakan sebagai pelengkap untuk hidangan para tetamu di aidilfitri sudah dibasuh dan dilap.

Kesemuanya akan disimpan kembali ke dalam kotak yang kemudiannya akan disimpan semula di setor. Begitulah. Kesemua barangan itu hanya dikeluarkan apabila ada kenduri kendara atau jamuan keluarga. Selain itu, pada hari rayalah ia digunakan.

Sedang ingin menyisip kain saperah ke dalam laci, saya terpandang kain berjalur putih merah yang terperosok. Jalur Gemilang! Saya teringat yang bulan ini sudah bulan Ogos. Dalam masa tiga minggu lagi 31 Ogos bakal menjelang.

Hari Merdeka! Wah! Seronoknya rasa hati kerana Jalur Gemilang ini akan diseterika dan diikat ke sebatang kayu. Kemudian ia akan dipacak di hadapan rumah!

Bendera kebanggaan ini segera dibuka. Hati ini tersentap sedikit kerana bendera ini nampaknya sudah pucat dan kusam. ‘Patut diganti,’ kata hati ini. Saya merenung Jalur Gemilang. Jejari saya berlari mengikut kelok bintang.

Fikiran melayang dan terimbau ke zaman sekolah. Tatkala matapelajaran lukisan, saya akan punyai masalah melakar bintang pecah 14. Biasanya bentuknya akan senget benget.

Dalam matapelajaran sivik, saya mengenali makna bendera ini. Saya sudah hafal, Jalur Gemilang mengandungi 14 jalur merah dan putih yang sama lebar.

Jalur paling atas berwarna merah dan yang paling bawah berwarna putih. Ia adalah tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan sebuah kerajaan persekutuan.

Petak berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia.

Anak bulan ialah tanda Islam sebagai agama rasmi. Bintang pecah 14 itu juga adalah tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Tatkala saya menjadi pengawas sekolah, inilah bendera yang akan saya puncakkan pada hari perhimpunan. Masih segar lagi dalam ingatan tatkala kali pertama saya menaikkan bendera ini secara perlahan-lahan ketika semua pelajar menyanyikan lagu Negaraku.

Oleh kerana tidak biasa, bendera itu sampai ke puncak tiang walaupun lagu belum selesai dinyanyikan! Pada perhimpunan minggu berikutnya, kawan saya lagi parah.

Oleh kerana berkhayal, walaupun Negaraku sudah hampir tamat, bendera masih setengah tiang. Maka kelam-kabutlah dia menaikkannya agar bendera berada dipuncak sebaik sahaja baris akhir ‘Raja kita selamat bertakhta,’ habis dinyanyikan.

Setiap kali dalam perkhemahan pengakap, Jalur Gemilang akan dikibar. Semua pengakap akan memberi tabik hormat tatkala bendera dinaikkan dan kami sama-sama bernyanyi Negaraku. Saya pernah kena ketuk ketampi oleh Ketua Patrol semata-mata kerana hujung bendera menyentuh tanah.

Sesudah berusia sebegini, saya tidak jadi menutup TV jika lagu Negaraku dimainkan.  Hendak tatap dahulu imej bendera yang berkibar.

Biar bulu roma meremang dan semangat akan terasa apabila menghela nafas yang dalam. Setiap melewati Dataran Merdeka,  saya akan menjeling dan melangut menatap Jalur Gemilang yang berkibar megah.

Saya mengeluh lalu merenung Jalur Gemilang yang kini terbentang di depan mata. Entah mengapa, pada petang ini saya tidak berasa apa-apa apabila menatapnya. Malah, tiba-tiba saya berasa begitu sayu kerana tercari-cari perasaan bangga hingga naik bulu roma yang tak kunjung tiba.

Mengapa? Mengapa perasaan hambar ini kurasa? Saya merenung bendera yang terbentang dan cuba mengingati maknanya. Makna jalur pada bendera menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini. Pada realitinya, ia tidak begitu.

Kini kita tidak satu hati. Sungguh bercelaru dengan intrig demi intrig di dalam dunia politiknya. Tidak kiralah, samada pihak BN atau PR sama sahaja. Jalur-jalur politiknya kian terpisah.

Gemilang pula bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Dengan kadar ringgit yang kian merudum, buruk urus ekonomi, ketidaktelusan keputusan, krisis kepercayaan, pengurusan pentadbiran yang nampaknya makin berat sebelah, penguatkuasaan yang terganggu, kelemahan membendung persepsi dan kepimpinan yang lemah, rakyat semakin jauh dapat mengharungi kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.

Warna Merah pada bendera itu melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat.  Sedangkan hakikatnya kita tidak nampak keberanian kepimpinan menerajui negara dalam mengharugi pancaroba ketidaktentuan di dunia .

Warna Biru yang melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai kini tidak menjadi kerana kita kian terganggu dengan pelbagai masalah yang semakin sehari semakin merunsingkan.

Sinar di hujung terowong semakin kelam.  Yang tinggal hanyalah secubit perasaan setia kepada Raja dan negara yang dilambangkan dengan warna kuning.

Saya melipat kembali Jalur Gemilang yang pudar. Menangguhkan hasrat untuk mensterikanya. Mungkin saya akan membeli bendera yang baharu. Mudah-mudahan, warna putih, merah, biru dan kuning yang terang akan mengembalikan sedikit semangat saya.

Begitu pun, saya tidak mahu menjerit dan melaung ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!’ sambil tangan tergenggam dan terjulang ke udara. Itu semangat buat-buat namanya.

Lagipun, saya mula berasa tidak merdeka!

0 Komentar untuk " Jalur gemilangku yang pucat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ