Bahasa bakulah penawarnya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bahasa bakulah penawarnya



SAYA teringat satu ungkapan mancis – cat - lada sambil saya bersiar-siar dengan motosikal pada suatu petang. Dalam masa yang sama, terlintas pula ungkapan durian – macan – pauh yang sering kali saya dengar dalam kelakar kawan-kawan semasa saya kanak-kanak dahulu.

Kemudian, terbayang pula ungkapan-ungkapan lain yang menarik jika kita renungkan dalam penggunaan bahasa seharian.

Seorang ayah memberi duit syiling 20 sen kepada anaknya dan dengan nada perlahan menyuruh anaknya pergi ke kedai membeli mancis – cap - lada.

Tanpa apa-apa persoalan, anaknya terus mengayuh basikal pergi ke kedai yang tidak begitu jauh dari rumahnya.

Apabila sampai di deretan bangunan kedai, terhenti sejenak anak lelaki ini.  “Kalau duit sebanyak ini, takkan boleh membeli mancis, cat dan lada.”

Ungkapan durian – macan – pauh pula berlaku apabila seorang penjaja buah-buahan  melaung-laungkan buah-buahan jualannya.

Nawaitu penjaja tersebut betul iaitu ada buah durian, buah macan (bacan) dan buah pauh (mempelam), tetapi pelanggan membuat tanggapan lain iaitu buah yang dijual pada kali ini adalah sejenis durian yang semacam buah pauh. Setelah pelanggan menghampirinya baru terjawab yang dijualnya tiga jenis buah iaitu buah durian, bacan dan mempelam.

Natijah daripada dua cerita ini ialah perihal banyak perkataan yang berunsur ambiguiti dalam bahasa lisan dan bahasa slanga. Dalam ungkapan mancis – cat – lada dan  durian – macan – pauh, dua perkataan bersifat ambiguiti iaitu ‘cat’ dan ‘macan’.

Namun begitu, implikasinya agak besar dalam hubungan antara manusia walaupun digunakan dalam kalangan pengguna dialek Kelantan. Sebutan ‘cat’ dalam bahasa Melayu boleh membawa makna sejenis cecair berwarna yang disapukan pada dinding untuk melindungi permukaannya dan menjadikannya kelihatan elok.

Cat juga boleh membawa maksud ‘cap’ yang bermakna tanda yang berupa gambar untuk barang dagangan.   Begitu juga ‘macan’ dalam dialek Kelantan memberi dua makna yang berbeza iaitu sejenis tumbuhan atau pokok yang buahnya sangat kuat bau dan boleh difahami juga dengan perkataan ‘macam’ yang bererti ‘seperti’.

Kedua-dua perkataan yang bersifat ambiguiti ini boleh memberi kesan yang besar dalam komunikasi. Cat mungkin difahami setin cat. Maka wajarlah anak itu berfikir “Tak mungkin ayahnya menyuruhnya membeli sekotak mancis, setin cat dan sekilogram lada”, sedangkan kehendak ayahnya “sekotak mancis yang bercapkan lada” sahaja.

Begitu juga pelanggan kepada penjaja buah-buahan itu memahami bahawa buah durian yang dijual pada hari itu adalah sejenis durian daripada klon luar biasa iaitu buah durian yang mungkin tiada duri dan rupanya seperti buah pauh (mempelam). Oleh itu, kemungkinan sambutan pada awalnya amat luar biasa untuk membelinya atau ramai pelanggannya mengambil tindakan ‘tidak kesah’ kerana tidak percaya.

Terdapat beberapa faktor ambiguiti boleh terjadi dalam bahasa Melayu, antaranya;

1.  Perkataan yang hampir sama sebutannya.

2.  Perkataan yang hampir sama maknanya.

3.  Perbezaan penggunaan perkataan antara dialek.

4.  Terdapat batasan penggunaan perkataan dalam budaya setempat.

5.  Kesamaran maksud oleh pengguna baharu bahasa Melayu.

Apabila bahasa lisan diguna pakai secara mudah dan ‘kurang cermat’, sudah pasti penerimanya menghadapi masalah untuk memahaminya. Kita lihat sahaja terdapat sejumlah perkataan yang hampir sama sebutan pada huruf pangkal atau huruf akhir perkataannya seperti perkataan macan, macam, bacang; cat, cap; taksir, tafsir; ubah, gubah; tatap, ratap; gulung, golong, dan sebagainya.

Namun demikian, sekiranya sedikit sentuhan bahasa baku digunakan,  pasti dapat mengubati ambiguiti tersebut. Contohnya ‘sekotak mancis cap lada’ dan frasa ‘ada buah durian, ada buah macan dan ada buah pauh’ digunakan, secara sah penerimanya tidak keliru dan komunikasi menjadi lebih berkesan.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan IPG Kampus Kota Bharu, Kelantan

0 Komentar untuk " Bahasa bakulah penawarnya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ