Iqra: Kitab hadis dalam bahasa Melayu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Iqra: Kitab hadis dalam bahasa Melayu



MASOBIH al-Sunnah adalah sebuah kitab hadis yang besar dan paling lengkap dikarang oleh Imam Abu Muhammad al-Hussain bin Mas'ud al Farra al-Baghawi yang lebih dikenali dengan gelaran Muhyissunnah (orang yang menghidupkan sunah) kerana kesungguhannya mempertahankan sunah Rasulullah SAW. Kitab Misykat al-Masobih disusun oleh Waliud-din Abdullah Muhammad bin 'Abdullah al Khatib al-Umari at-Tabrizi atau lebih dikenali sebagai Khatib Tibriz. Beliau menghuraikan kitab Masobih al-Sunnah yang memuatkan hadis berkaitan persoalan iman, ilmu, ibadah, muamalat, munakahat dan jinayat.

Kepentingan dalami ilmu hadis 

Menyedari pentingnya mendalami ilmu hadis, Hasnul Hizam Hamzah dari Miftahul Ulum Sri Petaling mensyarahkan buku Musobih As Sunnah karangan Imam Baghawi dan kitab Misykat ul Musobih, susunan Khatib Tibriz dalam kitab dinamakan Midrajul-Fawatih. Kitab Midraj ul-Fawatih yang membawa maksud 'Tangga Pembuka Ilmu' itu membicara, mengupas dan menerang isi kandungan dua kitab hadis terkemuka dunia itu yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu menggunakan pendekatan olahan bahasa mudah untuk difahami. Hasnul Hizam berkata, kitab Misykat Masobih dalam bahasa Arab dijadikan bahan pengajian serta rujukan pelajar yang mengikuti pengajian madrasah aliran ilmu hadis dan tempoh pengajian memakan masa hingga lapan tahun.

Bantu hayati tuntutan hidup berdasar sunah 

Katanya, buku itu ditelaah pelajar dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, India, United Kingdom dan Afrika kerana himpunan ribuan hadis yang terkandung dalamnya membantu umat Islam menghayati tuntutan hidup sebagai seorang Muslim berdasarkan sunah Rasulullah SAW. Himpunan penulisan dan syarah Misykat Masobih dibahagi kepada 29 buku (kutub) dan setiap buku dibahagi kepada beberapa tajuk (abwab). Kemudian, setiap tajuk dibahagi kepada tiga bahagian (fasl) setiap satu. Misykat Masobih mendapat sambutan menggalakkan daripada dunia pembelajaran Islam sejak 516 Hijrah sebaik ia siap dihimpunkan oleh Al-Tabrizi. Kebanyakan hadis dalam karangan ini diambil daripada Sahih Sitta (enam kitab hadis sahih) Beliau sudah menyiapkan dua jilid kitab Midraj ul-Fawatih yang sudah berada di pasaran dan menyasarkan penerbitan 10 jilid menjelang tahun 2017 yang melengkapkan keseluruhan hadis daripada dua buku karangan ulama yang riwayat hidup mereka turut diceritakan dalam kitab berkenaan. "Saya mengambil masa sepuluh tahun untuk menyiapkan kitab ini. Jilid pertama berjaya disiapkan pada tahun lalu diikuti jilid kedua, tahun ini. Midraj ul-Fawatih dicetak secara berperingkat, tetapi ia adalah buku syarahan hadis daripada kitab Misykat al-Masobih dalam bahasa Melayu yang pertama," katanya. Jilid satu Midraj ul-Fawatih membahaskan hadis berkaitan iman dan ilmu, manakala jilid kedua pula merangkumi bab bersuci serta solat. Hadis itu menyentuh perkara perkara penting untuk difahami masyarakat selain turut menerangkan perkara yang terdapat perselisihan pendapat.

Kehebatan Rasulullah 

Menurut Hasnul Hizam, kitab itu menunjukkan kehebatan Rasulullah SAW yang disyarahkan daripada kitab muktabar dan untuk dua jilid Midraj ul-Fawatih yang sudah diterbitkan itu sebanyak 905 dirujuk daripada jumlah keseluruhannya 6,000 hadis. Katanya, penghasilan kitab hadis dalam versi bahasa Melayu itu sebagai pembuka jalan kepada umat Islam untuk memahami kefahaman serta ketajaman ulama terdahulu menguasai ilmu hadis seterusnya merungkai ilmu dalam kitab kuning yang dihasilkan ulama supaya dapat dijadikan rujukan hingga hari ini. Di samping usaha menerbitkan kitab berkenaan, beliau turut mengajar kitab Misykat Musobih di lebih 40 masjid di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/74245
0 Komentar untuk " Iqra: Kitab hadis dalam bahasa Melayu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ