Terletak di tingkat pertama Centrepoint, Bandar Utama, Selangor, kedai membaiki telefon pintar jenama Apple ini sudah hampir lima tahun beroperasi.
Pemiliknya, Halmi Halim berkata, idea menyediakan perkhidmatan tersebut muncul selepas sahabatnya dari Singapura menjalankan perniagaan membaiki iPhone dan iPad.
“Sahabat beritahu, perniagaan ini mempunyai pasaran pada masa hadapan dan saya tidak membuang masa mempelajarinya dan memulakan perkhidmatan ini.
“Selain itu, keluarga saya juga pengguna Apple dan apabila telefon kami bermasalah, ia mengambil masa seminggu atau lebih untuk dibaiki, jadi kenapa tidak saya buka kedai yang boleh baikinya dengan cepat,” katanya.
Apa yang menarik mengenai iPhoneFix, kedai ini pelopor membaiki iPhone dan iPad dalam negara dan dimiliki Bumiputera.
“Kami menjalankan perniagaan secara jujur di mana pelanggan berkunjung ke kedai, saya dan pekerja lain akan memeriksa dan membaikinya di hadapan mereka supaya tidak berlaku penipuan.
“iPhoneFix tidak menerima bayaran bagi pelanggan yang ingin melakukan pemeriksaan telefon mereka untuk mengetahui apa kerosakan dialami sebelum memilih untuk dibaiki atau tidak,” katanya.
Menurut Halmi, kedai membaiki telefon pintar lain di luar sekurang-kurangnya akan mengenakan caj bayaran memeriksa kerosakan telefon pintar sebanyak RM50 kepada pelanggan.
Ditanya sambutan pelanggan, katanya, sejak mula sehingga hari ini pelanggan tidak putus-putus berkunjung ke premisnya.
Dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 8 malam pada hari Isnin hingga Jumaat dan 10 pagi hingga enam petang hujung minggu, iPhoneFix mengenakan harga berpatutan bagi pelanggan yang membaiki telefon mereka.
0 Komentar untuk " iPhoneFix baiki gajet "