FOREST Secret Malaysia melancarkan produk kecantikan berasaskan herba daripada hutan hujan tropika menerusi jenama Forest Colour.
Pelancaran produk itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman berkata, pelancaran Forest Colour merupakan kejayaan besar bagi Perak dan Malaysia amnya.
“Perak terkenal dengan kekayaan dan kepelbagaian sumber biologi hutan hujan tropika yang terpelihara dan banyak memberi manfaat kepada semua.
“Sudah sampai masanya untuk kita menceburkan diri dalam produk kosmetik yang berunsurkan herba. Kami taman sendiri produk herba ini sebagai salah satu projek untuk pembasmian kemiskinan. Bagi permulaan kami telah menanam tiga jenis herba iaitu pokok misai kucing, aloe vera dan serai wangi," katanya.
Menurutnya, produk-produk herba ini diusahakan di Perak Tengah bagi projek permohonan ibu tunggal dan juga program-program belia tani.
Katanya, dengan adanya pengusahaan ini akan dapat meningkatkan taraf kehidupan golongan tersebut.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Forest Secret Malaysia, Intan Zawai Hyriatee berkata, rangkaian produk kecantikan ini diperakui selamat dan telah mendapat pensijilan halal dari Majlis Ulama Malaysia dan Indonesia.
“Forest Colour merupakan syarikat kosmetik pertama yang menawarkan rangkaian penuh alat solek berasaskan tumbuhan Lidah Buaya yang bertindak sebagai anti-penuaan secara semula jadi.
“Inilah pilihan wanita kontemporari masa kini yang mahukan penjagaan luaran yang inovatif, halal dan semula jadi.
"Forest Secret merupakan anak syarikat milik PKPNP sejak 2015. Ianya adalah pengeluar dan pengedar produk di bawah jenamanya di Indonesia di lebih 400 farmasi dan kedai runcit,” katanya.
0 Komentar untuk " Forest Colour berasaskan herba "