KOPERASI Coop2u Berhad (Coop2u) akan menambah tujuh hingga 15 rakan niaga baharu sehingga hujung 2015 dalam merancakkan lagi perkhidmatan yang disediakannya.
Setiausaha Kehormat Coop2u, Datuk K Jayakumar berkata, buat masa ini Coop2u mempunyai 53 rakan niaga terdiri daripada koperasi seluruh Malaysia.
“Kami merupakan koperasi pertama menjual produk pengguna dan situasi ini menyebabkan banyak koperasi di luar sana berminat jadi rakan niaga Coop2u dalam membekalkan perkhidmatan kepada anggota mereka.
“53 koperasi yang menjadi rakan niaga Coop2u mempunyai hampir satu juta ahli kesemuanya dan kami menjangkakan penambahan 200,000 anggota baharu di bawah tujuh hingga 15 rakan niaga baharu itu nanti,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri 2015 anjuran Coop2u, di Kuala Lumpur.
Jayakumar juga berkata, pihaknya yakin dengan sasaran koperasi tersebut yang mengunjurkan peningkatan perolehan Coop2u sebanyak RM80 juta sehingga hujung tahun ini.
“Lima tahun dahulu ketika kami mula memperkenalkan Coop2u perolehan kami hanyalah RM500,000 dan tahun lalu kami berjaya memperoleh RM60 juta dan itu satu pencapaian yang membanggakan.
“Pencapaian ini didorong dengan adanya kerjasama dari rakan niaga yang mempercayai Coop2u serta peningkatan jualan barangan termasuk kenderaan, gajet komunikasi mudah alih dan pelbagai lagi,” katanya.
Menurutnya, Coop2u mempunyai lima cawangan dengan ibu pejabatnya di Sentul Timur dan cawangan di Kuantan, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Kami juga bakal membuka cawangan keenam di Terengganu dalam tempoh dua bulan akan datang memandangkan ia sedang diubah suai,” katanya.
0 Komentar untuk " Coop2u mahu tambah 15 rakan niaga "