Agama: Empat masalah jika terlalu cintakan dunia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Empat masalah jika terlalu cintakan dunia

Dunia yang sementara ini tidak boleh diagungkan sehingga melupai negeri akhirat. Mengutamakan dunia semata-mata, seolah kita memberi ruang kepada banyak penyakit berbahaya yang akan memudaratkan kita di akhirat. Sifat kasih serta cinta kepada dunia boleh melemahkan jiwa dan fizikal serta mempunyai kesan mendalam kepada kehidupan. Mereka juga terancam di akhirat seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Barang siapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia ini tidak akan dirugikan. Itulah orang yang tidak akan memperoleh apa-apa di akhirat kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah yang telah mereka kerjakan." (Surah Hud, ayat 15-16) Kebenaran perkara itu juga pernah diungkapkan dengan kata-kata yang sangat masyhur daripada sahabat Baginda SAW bahawa kasih kepada dunia adalah punca segala kejahatan.

Cinta dunia wujudkan sifat bangga, angkuh 

Imam Ahmad menceritakan daripada Imam Sufyan, Nabi Isa bin Maryam berkata: 'Cinta dunia itu sumber segala kesalahan dan di dalam harta benda terdapat banyak penyakit. Sahabat bertanya: Apa penyakitnya? Baginda menjawab: Orang yang cinta dunia tidak dapat meninggalkan sifat bangga dan angkuh. Sahabat bertanya lagi: Jika dia mampu menghindari sifat itu? Isa menjawab: Dia akan sibuk mengurus dan meningkatkannya hingga lalai daripada berzikir kepada Allah SWT. Maka lalai daripada zikrullah adalah bahaya yang paling minimum akibat cinta dunia.'

Boleh juga diertikan maksud sebenar kecintaan kepada dunia adalah kecenderungan terhadap perkara membabitkan hal keduniaan sehingga menjejaskan hubungan dengan Allah SWT di mana segala pergerakan dan usahanya akan dipandang dari sudut keuntungan material semata-mata. Kesannya adalah penyimpangan terhadap segala hukum agama di mana halal dan haram tidak dipersoalkan lagi sehinggalah perkara dilarang menjadi kebiasaan dalam kehidupan. Ia juga seolah-olah menanam bibit permusuhan sesama insan akibat penipuan, penindasan dan penganiayaan terhadap insan lain. Ini amat dilarang agama dan Baginda SAW mengingatkan kita melalui sabdanya: 'Wahai manusia, bertakwalah kepada Allah SWT. Janganlah kamu menganiaya sesama kamu. Setiap penganiayaan antara kamu akan diadili pada Hari Kiamat.' (Petikan Kitab Hayatul Qulub)

Menunjukkan sikap demikian akan menghalang manusia daripada rahmat Allah SWT pada Hari Kiamat. Ia juga boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan akibat tiada kesefahaman dan keikhlasan, tiada tolak ansur dalam sesuatu keputusan. Ketika turunnya ayat 214, surah as-Syua'ra yang bermaksud: "Nasihatilah keluargamu yang terdekat." Baginda SAW mengumpulkan keluarganya dari Bani Hasyim dalam satu jamuan. Pada penghujung jamuan itu, Baginda SAW bersabda: "Sesungguhnya seseorang tidak akan menipu keluarganya, demi Allah, jika semua orang menipu sekalipun, namun aku tidak sekali-kali akan menipu.

Begitu juga, jika semua menganiaya, aku tidak akan berbuat demikian. Ingatlah bahawa kamu akan mati seperti mana kamu sedang tidur. Kamu akan dibangkitkan seperti kamu bangun daripada tidur. Setiap kamu akan diberi ganjaran mengikut apa yang diusahakan. Akhirnya dua tempat yang menjadi kediaman yang kekal. Sama ada syurga atau neraka." (Kitab Ibnul Athir) Kehidupan yang stabil akan menjadi goyah kerana pencinta dunia sentiasa memikirkan bagaimana caranya untuk memperbanyak dan mengumpul harta sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, keluarga serta masyarakat. Mereka akan menghadapi masalah sampingan yang sentiasa menghantui kehidupan. Sabda Baginda SAW: "Sesiapa yang cenderung kepada dunia, akan menghadapi empat masalah. Masalah kegusaran yang berpanjangan, kesibukan yang tiada sempadan, kekayaan yang tidak dapat dicapai dan dinikmati serta angan-angan yang panjang tanpa kesudahan." (Kitab Zabdah Al-Wai'zin

Hasad dengki hancurkan umat 

Kesatuan umat akan hancur lantaran kecenderungan manusia kepada dunia. Penyakit hasad dengki dan permusuhan timbul kerana masing-masing mengambil sikap mementingkan diri tanpa memikirkan orang lain. Baginda SAW menyenaraikan perpecahan sebagai kesan daripada cinta dunia. Sabda Baginda SAW: "Berhati-hatilah kamu dengan penyakit umat yang datang kepada umat sebelum kamu iaitu hasad dengki dan permusuhan. Kedua-duanya akan merosak dan memusnahkan agama." (Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Kerosakan akan terus berlaku apabila hati manusia sudah tidak dapat dikawal lagi. Kancah peperangan saudara di bumi umat Islam dapat dilihat sehingga mengorbankan banyak jiwa saudara seagama. Inilah faktor mengundang kehinaan terhadap umat Islam hingga dianggap pencetus kepada kekacauan serantau. Ibnu Taimiyyah menyebut: "Terkadang sifat buruk ini tercetus daripada perasaan tidak puas hati yang sering bertapak pada diri seseorang dan terkadang ia wujud tanpa disedari. Ia melahirkan sikap benci dan tidak senang terhadap apa sahaja kebaikan terhadap orang yang tidak disukainya." (Kitab Majmu' Fatawa, Ibnu Taimiyyah)

Penyakit ini adalah antara penyakit paling lama wujud dalam sejarah kehidupan manusia. Iblis mendapat laknat dan kemurkaan daripada Allah SWT disebabkannya dan akhirnya penyakit itu diwarisi kaum Muslimin sehingga hari ini. Fakta itu dikuatkan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan berkatalah Iblis, Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang diciptakan dari tanah lumpur yang hitam. Keluarlah kamu dari syurga kerana kamu terkutuk. Kutukan yang berpanjangan sehingga Hari Kiamat." (Surah al-Hijr, ayat 33-35)

Allah SWT juga merakamkan mengenai peperangan yang tercetus antara kumpulan Aus dan Khazraj sebelum kedatangan Islam. Apabila datangnya Islam, mereka bersatu dan berkasih sayang sehingga mengundang perasaan dengki golongan Yahudi. Akhirnya Yahudi kembali berusaha melalui Syas Bin Qais untuk mencetuskan kembali permusuhan dengan mengungkit sejarah silam. Namun Baginda SAW berjaya memulihkan keadaan dengan sabda Baginda: "Apakah isu lama telah kembali sedangkan aku berada di sini? Tinggalkan perkauman. Sekarang kamu semua telah disatukan oleh Islam." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Di sinilah letaknya kunci kesatuan umat di mana agama adalah panduan dan formula yang berkesan bagi merealisasikan kecemerlangan masa lampau. Oleh itu, hendaklah berhati-hati dengan dunia dan tipu dayanya kerana ia akan membawa penyesalan pada hari kemudian.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/75306
0 Komentar untuk " Agama: Empat masalah jika terlalu cintakan dunia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ