Wacana: Pondok benteng ASWJ - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Wacana: Pondok benteng ASWJ

SYIAH, Qadiani dan beberapa tarekat adalah antara ajaran yang telah diharamkan di Malaysia. Beberapa tahun lalu, Jabatan Agama Islam Selangor menyerbu Kumpulan Hauzah Ar-Ridha Alaihissalam di sebuah markas Syiah di Taman Sri Gombak dan menahan 128 pengikut. Siasatan Jais mendapati markas kumpulan sama juga ada di Johor Baru, Pendang, Kangar dan Klang.

Tindakan ini diambil kerana dalam banyak hal, prinsip ajaran mereka merosakkan akidah, menyimpang daripada pegangan Sunni yang stabil dan harmoni, serta menjadi punca perpecahan dan konflik antara umat Islam.

Pemimpin Syiah, misalnya, mengajar pengikut menjadi fanatik dan membenarkan mereka memerangi orang lain yang dianggap perosak agama. Kes seperti ini, termasuk pembunuhan dalam masjid, sering berlaku di negara Timur Tengah dan Pakistan.

Dalam hal mengatur dan mengurus kehidupan orang Melayu-Islam di Malaysia dan Nusantara, Mazhab Shafi’i menyusun kerangka hubungan manusia-manusia, manusia-Tuhan dan manusia-alam. Fiqh al-Shafi’i berorientasi ilmu berjaya meletakkan dasar dan menentukan ciri-ciri budaya, falsafah dan tamadun Melayu-Islam di rantau ini.

Hukum-hukum Islam dijalankan tanpa pertelingkahan yang membawa kepada pembunuhan atas nama mazhab seperti yang terjadi di tempat lain. (Baca Watak Damai dan Toleran Islam di Nusantara oleh Prof Idris Zakaria, dalam Umran Journal of Muslim Affairs, Jilid 1, No 1 2015)

Berbanding dengan Syiah yang radikal, fahaman Sunni adalah lebih damai dan sederhana, serta halus perbicaraannya. Ini sesuai dengan sifat Melayu yang halus budi bahasa dan pekerti, sopan-santun, tidak agresif serta menghormati tetamu dan orang tua.

Tamadun Melayu terbentuk daripada sifat bermuafakat dan mengutamakan kelompok, seperti yang disebut dalam buku Faridatul Faraid oleh Sheikh Ahmad al-Fathoni (1895). Islam aliran Sunni telah mewarnai dan membentuk jati diri Melayu di Nusantara, menjadikan mereka muslim, mukmin dan muhsin.

Thomas W Arnold (dalam The Preaching of Islam, 1950) berpendapat Islam disebar dan berkembang di Nusantara secara damai (penetration pacifigure), tidak seperti di Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan yang sering lebih intens. Islam di Asia Tenggara lebih lunak, lebih jinak dan sangat akomodatif.

Justeru itulah di Malaysia, dinamika dan entiti Melayu membolehkan Muslim keturunan India, Arab, Parsi, Pakistan, Afrika, China dan Thai diterima sebagai Melayu asalkan mereka berbahasa dan mengamalkan adat resam Melayu, serta budaya yang berpaksikan Islam.

Sikap toleransi, tolak ansur dan akomodatif inilah yang memungkinkan kontrak sosial di mana orang Melayu mengekalkan hak istimewa mereka dan kaum migran diberi hak kerakyatan. Setahun selepas negara merdeka, lebih 800,000 bukan Islam diterima sebagai warganegara walaupun mereka bukan Islam, dan tidak fasih atau tidak tahu bahasa Melayu. (Thock Ker Pong dalam Ketuanan Politik Melayu: Pandangan Kaum Cina, Kuala Lumpur, 2005)

Keadaan inilah yang mendorong Prof Dr Azyumardi Azra menulis dalam Renaisans Islam di Asia Tenggara (1999): “Salah satu sumber optimistik kalangan pengamat luar tentang ‘kebangkitan Islam’ di Asia Tenggara pada umumnya didasarkan pada pengamatan tentang ‘watak’ dan ‘karateristik’ Islam di kawasan ini.

Mereka melihat Islam di Asia Tenggara mempunyai watak atau karateristik yang khas, yang berbeza dengan watak Islam di kawasan lain, khususnya di Timur Tengah. Karateristik terpenting di Asia Tenggara itu misalnya, watak yang lebih damai, ramah dan toleran.”

Satu lagi faktor pemangkin kepada keamanan di rantau ini ialah pendekatan fahaman Sunni yang bersifat wasatiyyah. Mantan mustasyar di Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Allahyarham Prof Ulung Dr Muhammad Uthman el-Muhammady dalam kertas kerja Islam Sebagai Benteng Peradaban Melayu: Cabaran Masa Hadapan (1997) menyebut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) menjadi paksi budaya dan peradaban Melayu Nusantara dan islamisasinya walaupun ada pengaruh pegangan-pegangan lain.

Kata beliau: “Pegangan dan amalan Ahli Sunnah wal Jamaah perlu dipertahan dalam menghadapi pemikiran klasik yang menyeleweng seperti Mu’tazilah, Jabariyyah, Qadariah, Murjiah, Syiah dan Khawarij serta Batiniyyah yang sesat yang menyelinap masuk di bawah nama tariqah-tariqah yang menyeleweng.”

Atas kepentingan memahami subjek ini, serta menjernihkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung amalan tarekat dan peranan institusi pondok di Malaysia, YPPM mengambil inisiatif mengadakan Wacana Ilmu atas tajuk Pondok Sebagai Benteng Ahli Sunnah wal Jamaah yang akan berlangsung di Seri Pondok, No 2598/3, Jalan Johor Selatan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur pada 3 Jun 2015  jam 3 petang. (Tel: 03-22016711, web: yppm.org.my atau Puan Azie 017-3229887).

Tiga tokoh yang dijemput membincangkan tajuk ini ialah mantan panel pemikir Jasa Datuk Mustapha Taib, pensyarah Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Shukri Ahmad dan guru agama Yayasan Al-Jenderami Ustaz Zainal Abidin. Semua dijemput hadir ke majlis ini, yang julung kali diadakan oleh YPPM bagi memulakan siri Wacana Ilmunya.


* Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)

0 Komentar untuk " Wacana: Pondok benteng ASWJ "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ