Siasat jika 'orang dalam' jual MyKad - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Siasat jika 'orang dalam' jual MyKad

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan penyelesaian segera, mudah dan murah bagi menangani sindiket warga negara ekspres berkaitan dengan penjualan MyKad di negara ini. Menurut Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, SPRM bukan sahaja sedang menyoal siasat suspek bagi melengkapkan siasatan dari sudut rasuah, malah mengambil kira penyelesaian dan penambahbaikan agensi berkenaan supaya rasuah ini dapat dibanteras.

Lima masalah atau persoalan pokok adalah bagaimana mengenal pasti dan mencari semua pemegang MyKad sindiket, MyKad palsu, MyKad tidak sah atau MyKad yang sudah dibatalkan misalnya disebabkan kematian; bagaimana selesaikan masalah MyKad asli dijual oleh sindiket ini kerana hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempunyai kawalan terhadap MyKad asli.

Penyelesaian mudah 

Bagaimana mahu mengenal pasti dan mencari sesiapa yang memiliki lebih daripada satu MyKad; bagaimana semua pihak seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan, bank, penjual kereta, pemilik sewa rumah, jabatan kerajaan dan sesiapa sahaja bahawa seseorang itu adalah warga negara ekspres, pemegang MyKad palsu atau tidak, dan bagaimana hendak menghalang atau mematikan sindiket ini, tambahan pula rasuah dan jenayah sindiket ini membabitkan jumlah wang yang besar. Menurut Mohd Jamidan, penyelesaian kepada masalah dan persoalan ini mudah sahaja jika menggunakan falsafah 'nak hilangkan lapar, jangan hilangkan lapar....' Nak hapuskan sindiket, jangan hapuskan sindiket. Buat benda lain, sindiket pun hapuslah. "Saya tahu ada seseorang yang boleh melakukannya, boleh mencipta mekanisme penyelesaiannya dalam masa sehari sahaja.

Hari kedua menyalin pindahkan data sedia ada ke dalam mekanisme ini. Hari ketiga sudah boleh dilancarkan dan digunakan oleh semua pihak, bukan sahaja di seluruh Malaysia malah ke seluruh dunia jika dikehendaki. "Saya tahu, ini adalah sesuatu yang dikatakan mustahil kerana masalah ini sudah berlanjutan puluhan tahun, sebab itulah kita bukan perlukan pakar untuk menyelesaikannya, tetapi kita seorang genius yang boleh menyelesaikan yang pakar gagal selesaikan," katanya kepada BH. Dengan ada mekanisme ini, semua lima persoalan berkenaan boleh dijawab serentak. Hasilnya, jika ada orang menjual MyKad tetapi tidak boleh digunakan, secara tidak langsung tiada pembeli dan mematikan sindiket warga negara ekspres ini. Pokok akan mati sendiri jika tidak ada air.

Beliau menekankan, apa yang penting untuk pengetahuan kerajaan, masalah ini bukan tidak boleh diselesaikan, tetapi masalahnya sama ada hendak diselesaikan atau tidak. "Saya percaya dalam hal ini dan banyak hal lain pun, kerajaan diberi maklumat yang salah. Apalagi jika membabitkan wang yang amat besar hingga berbilion-bilion ringgit dan berselindung di sebalik orang kenamaan (VVIP)," katanya. Dalam pada itu, seorang pembangun sistem, Abdul Hamid Yeop Zainuddin mencadangkan penyelesaian mudah menggunakan mekanismenya tanpa memerlukan kos berjuta-juta ringgit seperti yang dibelanjakan agensi berkenaan sebelum ini. Jelasnya, penyelesaian mudah itu pernah dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Khas (PSC) Parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya serta isu penjualan MyKad kepada pendatang asing yang ketika itu turut dihadiri bekas Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said. Beliau yang membangunkan sistem komputer hackproof atau kalis serangan siber itu berkata, kenaikan 900 peratus harga yang ditawarkan sindiket warga negara ekspres berbanding tahun lalu, membuktikan jaminan mudah yang ditawarkan sindiket kepada pelanggan asing memperoleh MyKad sah negara ini. Ini sekali gus, memberi petunjuk kepada SPRM betapa lemahnya sistem di JPN kerana betapa mudahnya mereka melakukannya.

Perlu tindakan segera 

Katanya, jika kerajaan tidak bertindak segera, ia hanya mengesahkan hipotesis bahawa kegiatan ini 'dihalalkan.' Lebih buruk lagi jika dikata itu adalah antara projek halal kerajaan sendiri, seperti timbulnya desakan menubuhkan Suruhanjaya Pendatang Tanpa Izin (RCI) Sabah dahulu. Isu itu membuktikan MyKad yang dimiliki bukan palsu seperti dakwaan JPN. "Jika ia palsu, bagaimanakah ia boleh berada dalam sistem? Jika satu sudah membuktikan MyKad palsu ada dalam rekod JPN, bermakna berapa banyak lagikah ada MyKad palsu dalam JPN? Persoalan kedua, bagaimanakah MyKad palsu boleh berada dalam rekod JPN? Yang palsu akan ditolak terus sistem," katanya yang mengesyaki MyKad yang dijual oleh sindiket adalah MyKad asli yang diperoleh oleh orang dalam sendiri.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/66971
0 Komentar untuk " Siasat jika 'orang dalam' jual MyKad "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ