Saya masih anggap Proton kereta nasional - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Saya masih anggap Proton kereta nasional

PENGERUSI dan pengasas Proton Holdings Bhd, Tun Dr Mahathir Mohamad masih menganggap kereta keluaran syarikat automotif itu sebagai kereta nasional meskipun tidak lagi diiktiraf oleh kerajaan.

 Menurut Dr Mahathir, meskipun tidak lagi diiktiraf kerajaan beliau tetap optimis kereta keluaran syarikat automotif itu sebagai kereta nasional terbaik.

 Katanya, pada usia 90 tahun beliau masih gigih memandu uji setiap kereta keluaran tersebut bagi memastikan ia berdaya saing.

Tun Mahathir juga mengakui Proton sangat dekat di hatinya akan terus menerajuinya selagi diberi kepercayaan. Ikuti wawancara penuh bersama wartawan penyiaran SinarTV, NOOR LIZA ABU HASSAN.


SINARTV: Proton menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun ini. Adakah Tun rasa jenama ini boleh pergi jauh?

Proton telah berusia 30 tahun. Kami telah mencapai kemajuan besar. Kereta Proton pertama mempunyai 18 peratus sentuhan tempatan. Kini hampir 100 peratus ia dihasilkan oleh sentuhan tempatan seperti model reka bentuk dan ujian, semuanya boleh dilakukan di dalam negara.

Baru-baru ini, progres kami tidak begitu bagus kerana pelbagai sebab. Sekarang, kami mahu menukar imej Proton. Ia tidak lagi akan menjadi pengeluar jenama murah atau kereta sub-standard.

Kami mahu menghasilkan kereta yang boleh dijual di seluruh dunia dan mematuhi semua piawaian termasuk standard Eropah. Pada masa ini, kami banyak bergantung di pasaran tempatan.

Jika pasaran asing mempunyai sekatan dari segi teknologi - maka kami perlu mencapai teknologi itu. Kami akan memperkenalkan model baharu tahun depan dan ia akan menjadi sangat berbeza daripada kereta Proton lama.


SINARTV: Proton akan melancarkan kereta baharu. Bagaimanakah isu kualiti Proton dapat diselesaikan sebelum pelancaran itu?

Sistem kami telah berubah. Pada masa kini, kualiti ditentukan dalam penghasilan kereta itu sendiri termasuk pendaftaran produk untuk menentukan kualiti. Kami juga sudah mampu mempunyai stesen kualiti sendiri.

Jika ada yang tidak kena, keseluruhan pembikinan kereta berkenaan akan berhenti dan pemeriksaan terperinci akan dilakukan.

Sebelum ini, kami uji sebuah kereta setiap di 40 unit yang dihasilkan. Namun, kini kami akan menguji setiap kereta. Setiap kereta yang dihasilkan akan diperiksa untuk memastikan tiada kerosakan atau kecacatan. Jika ada masalah, kami akan menghantar kembali kereta berkenaan untuk dibaikpulih.

Mereka bukan sahaja membaiki kereta, tetapi mesti mengetahui bagaimana dan di mana kesilapan itu boleh terjadi. Tetapi masih ada pembeli melaporkan berlaku beberapa kerosakan. Saya tidak tahu mengapa.


SINARTV: Adakah jurutera automotif negara yang terbaik?

Kesilapan jurutera boleh menyebabkan mereka hilang pekerjaan walaupun dalam pengurusan kadang-kadang mereka rasa jurutera kami tidak berwibawa. Polisi pada hari ini, adalah jurutera kami mesti melakukan sesuatu sendiri, belajar tentang segala-galanya.

Jika perlu menghantar mereka ke luar negara, kami akan menghantar mereka. Jurutera kami adalah sangat berwibawa. Kami belajar daripada kesilapan.


SINARTV: Bagaimanakah sokongan kerajaan terhadap Proton?

Saya tidak mahu mengulas tentang peranan Kerajaan. Tetapi saya fikir kita perlu berdikari. Sebagai contoh, Eropah menetapkan standard pelepasan yang tinggi dan kita tidak mencapai itu.

Jadi, kami akan melakukan segala yang mungkin untuk memenuhi syarat-syarat berkenaan. Saya yakin kami mampu lakukannya. Kita anggap ia adalah kereta nasional tetapi tidak kerajaan.

Mereka anggap kereta ini sama sahaja sama ada nasional atau import sama sahaja, kita dapat kurangkan eksais duti tetapi disebabkan dasar kerajaan kita kena bayar eksais duti tetapi bukan untuk Proton sahaja syarikat-syarikat lain juga terlibat sama.


SINARTV: Kenapa Proton sangat dekat di hati Tun?

Ia memberikan impak sangat besar dalam perindustrian negara. Pada satu masa, Proton amat menguntungkan. Ia mempunyai rizab tunai RM4 bilion. Kami boleh membina kilang di Tanjung Malim tanpa meminta apa-apa bantuan.

Orang ramai tidak mengatakan ia satu kejayaan. Bagi saya, ia adalah satu kejayaan dan saya sangat bangga. Sebab itulah, apabila saya bersara sebagai Perdana Menteri, saya masih diminta untuk menjadi penasihat kepada Proton.


SINARTV: Apakah perbezaan Tun menerajui negara sebagai Perdana Menteri berbanding menguruskan Proton?

Saya rasa, saya lakukan sama ketika saya masih Perdana Menteri. Sebagai seorang doktor, tugas saya mengubati pesakit. Saya mesti tahu apa penyakit dan penyebabnya. Jadi, ia melalui proses sama.

Jika terdapat apa-apa kerosakan atau kebakaran kereta, saya ingin tahu mengapa ia berlaku dan bagaimana ia boleh diperbetulkan. Kita mesti mengeluarkan kereta yang terbaik bukan setakat menjual kereta sahaja.


SINARTV:  Berapa lama Tun berhasrat untuk terajui Proton?

Selagi saya mampu. Selagi saya masih boleh berjalan, bercakap, memberi idea. Kecuali jika pemilik (DRB-Hicom Bhd) memecat saya ... Saya tidak tahu lah. Saya enjoy memandu uji setiap kereta yang dihasilkan.

Bahkan saya yang berusia 90 tahun ini boleh memandu uji kereta. Ia amat menyeronokkan. Saya masuk pejabat biasanya pada Selasa.

Saya bertemu dengan semua pengurus dan mengadakan perbincangan panjang serta taklimat mengenai setiap aspek perniagaan kualiti, pengeluaran, reka bentuk, kejuruteraan dan model baharu.


SINARTV: Di mana Proton berada dalam tempoh 10 tahun akan datang?

Saya rasa dalam dua ke tiga tahun akan datang, harapan kami adalah model Proton baharu dapat terus diterima baik.

Bagi kereta-kereta mewah seperti Nissan mempunyai Infiniti, Toyota mempunyai Lexus dan Perdana akan menjadi kereta mewah tempatan.

Dari segi jumlah, kami ingin menghasilkan sehingga 200,000 unit setahun. Kami akan memberi tumpuan juga kepada pasaran eksport.

0 Komentar untuk " Saya masih anggap Proton kereta nasional "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ