Mahasiswa tuntut kebebasan akademik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mahasiswa tuntut kebebasan akademik

TANGGAL 29 Jun dan 7 Julai, 13 mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dua mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dihadapkan ke Lembaga Disiplin atas beberapa pertuduhan.

Secara ringkasnya, pertuduhan yang dijalankan oleh pihak universiti terhadap mahasiswa UKM dan UIAM adalah atas tindakan berani dalam menjunjung kebebasan akademik yang menjadi nadi sebuah institusi keilmuan dan demi membela kebajikan mahasiswa.

Walaupun program yang dianjurkan oleh mereka tidak mendapat kelulusan dan diistilahkan “haram” sepertimana yang berlaku di UIAM apabila wacana ilmiah yang membicarakan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) diharamkan pada saat akhir, dan adakah menjadi kesalahan besar apabila mahasiswa bangkit secara kolektif menuntut agar masalah air di UKM selesaikan segera demi kebajikan mahasiswa?

Namun secara keseluruhannya, mahasiswa dan mahasiswi berkumpul untuk melihat kebebasan akademik kembali mekar di universiti-universiti tempatan. Kami tidak mahu menjadi sekadar “penghafal teori dan zombi akademik” keluaran universiti.

Sekarang, 13 mahasiswa UKM dan dua mahasiswa UIAM menjadi mangsa baru kerakusan kuasa pihak universiti. Presiden PMUKM dan Presiden MPP UIAM, saudara Sallehudin dan Hanif Mahpa antara figura yang bakal dikenakan tindakan atas kesalahan menganjurkan program yang “haram” kononnya.

Namun secara praktikalnya, pentadbiran universiti berhak mengambil tindakan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (auku) 1971 atau peraturan-peraturan universiti. Tetapi, soalnya, perlukah tindakan disiplin diambil? Adakah wajar tindakan ini dibuat atas pihak yang cuba untuk mendaulat budaya keilmuan sepertimana falsafah tertubuhnya universiti?

Apabila membahaskan tentang ilmu, the ultimate aim pastilah mendapatkan kebenaran. Ini adalah tugas hakiki yang diperakui para sarjana islam dan barat sejak zaman berzaman. Ia bagaimanapun tidak terbatas menjadi tanggungjawab universiti semata-mata, mahasiswa juga ada peranannya.

Sekiranya asas sebuah universiti tidak hayati dengan baik maka universiti sebenarnya melatih robot yang tidak mempedulikan kebenaran tetapi hanya menerima apa yang diprogramkan dan bertindak balas sebagaimana dimahukan pihak yang berkuasa ke atasnya.

John Henry Newman, dalam siri syarahannya yang kemudian dibukukan dengan tajuk The Idea of A University (1851), menjelaskan pendidikan mesti membolehkan kebenaran mudah difahami (yang dijelaskan sebagai belajar mengenai kewujudan Tuhan, bukan agama) dan sekiranya sesuatu yang praktikal perlu dimasukkan sebagai subjek universiti, ia mestilah melatih pelajar menjadi anggota masyarakat yang baik.

Menurutnya, dengan pendidikan seseorang secara sedar dan jelas dapat memahami pandangan dan membuat penilaian sendiri, kebenaran dalam membangunkannya, kemahiran meluahkannya dan daya untuk melaksanakannya.

Ia mengajar mereka melihat sesuatu sebagaimana sepatutnya, pergi kepada apa yang betul, merungkaikan simpulan pemikiran bagi mengesan apa yang rumit dan juga membuang apa yang tidak berkenaan.

Profesor Awang Had Salleh misalnya, dalam satu syarahan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar dua dekad lalu, menjelaskan tugas utama universiti ialah menemukan kebenaran dan memperbaharuinya.

Sudah tentu, untuk menemukan dan memperbaharui kebenaran ini, sebuah persekitaran terbuka dan bebas sangat diperlukan. Ia perlu berlangsung bukan saja dalam konteks penyampaian ilmu, kajian atau pembacaan, tetapi juga perdebatan idea dan pemikiran.

Bagaimanapun, ini tidak dapat berlaku dengan baik sekiranya ada kawalan yang objektifnya berbeza, mengutamakan kepentingan politik kepartian atau tokoh tertentu. Kawalan yang dikenakan sampai menentukan apa yang boleh atau tidak boleh diajar seseorang pensyarah, apa yang boleh dibaca atau dimiliki mahasiswa dan dengan siapakah mereka boleh berurusan.

Memang selalunya, kebebasan akademik akan terpalit dengan persoalan politik. Dalam maksud lain, pensyarah dan mahasiswa sebenarnya mempunyai banyak kebebasan lain, tetapi tidak jika bersuara mengenai sesuatu berkaitan politik (baca: kekuasaan). Tidak keterlaluan untuk menyimpulkan semua kekangan yang dikenakan di kampus sepertimana ke atas rakan-rakan UM8, UKM13 dan UIA2 juga bermotif politik, jelas bermotif politik.

Bahkan, berdasarkan pengalaman peribadi menjawat Presiden PMUM ini sangat ketara. Hipokrasi pimpinan politik dan ahli akademik berkaitan ini sangat mudah boleh ditunjukkan.

akap-cakap mahasiswa perlu mengutamakan pelajaran hanyalah sembang kosong. Apakah mereka fikir menggantung pengajian mahasiswa boleh menjadikan pelajar cemerlang?

dakah Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) berasa sungguh hebat dan berkuasa? Mereka bekerja untuk mahasiswa atau kerajaan?

Oleh itu rejuvenasi dari aspek autonomi dan peranan universiti perlu dilakukan dalam segenap aspek agar nilai sebuah universiti tidak dirobek dek kerana perbezaan ideologi dan penguasaan pihak tertentu dalam sistem pendidikan.

Bahkan mahasiswa perlu terus konsisten menyatakan pendirian bahawa kita dituntut untuk mencari kebenaran dan peranan kita di universiti adalah untuk meneroka dan menggali kebenaran itu dalam apa cara sekalipun.

* Mohamad Ammar Atan
Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) & Pengarah Gabungan Merdeka Rakyat (GMR)

0 Komentar untuk " Mahasiswa tuntut kebebasan akademik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ