KUALA NERUS: Perusahaan membuat bot dan kapal layar di Pulau Duyong sejak seabad lalu bakal berkubur apabila tidak lagi menerima sebarang tempahan sejak lima tahun lalu. Pembuat bot dan kapal layar terkenal di pulau itu Haji Abdullah Muda, 78, berkata pada tahun 1970-an dan 1980-an, terdapat beberapa bengkel membuat bot dan kapal layar di pulau itu, namun kini hanya tinggal kenangan. "Pada pendapat saya, faktor utama berkuburnya perusahaan itu adalah disebabkan peningkatan harga bahan mentah iaitu kayu cengal yang meningkat berlipat kali ganda. "Ketika saya mula terbabit dalam membuat bot pada tahun 1950-an, harga kayu cengal sekitar RM300 satu tan dan ia meningkat dari semasa ke semasa hinggalah kemuncaknya sekarang berharga RM16,000 bagi satu tan," katanya. Beliau yang sinonim dengan panggilan Haji Lah berkata sebelum ini ada agensi kerajaan iaitu Giat Mara yang cuba menyelamatkan perusahaan itu daripada lenyap begitu saja dengan merakam cara-cara membuat bot dan kapal layar supaya ia dapat bertahan untuk generasi akan datang. Selain itu, Giat Mara turut menghantar 10 pelatih bagi mempelajari cara-cara membuat bot dan kapal layar di bawah bimbingannya. Turut sama menghantar pelatih ialah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dengan harapan perusahaan itu dapat diwarisi oleh generasi baru, katanya. Namun setelah kapal layar terakhir dilancarkan pada 2010, maka berakhirlah episod perusahaan turun-temurun di pulau yang menjadi nadi perusahaan bot dan kapal layar terkenal di Terengganu. Sepanjang kira-kira 60 tahun beliau berkecimpung membuat bot dan kapal layar dengan dibantu antara enam dan tujuh tukang bot mahir, beliau berjaya menyiapkan beratus bot dan kapal mewah. Abdullah bermula dengan membuat bot penambang kemudian bot untuk nelayan pada tahun 1960-an ketika kayu cengal masih murah. Ketika perusahaan itu sedang memuncak, pelanggannya terdiri daripada peminat bot dan kapal layar serata dunia seperti Amerika Syarikat, Alaska, England, Itali, Perancis, Denmark, Australia, New Zealand, Algeria, Kanada dan Singapura, selain pelanggan tempatan. Sepanjang berkecimpung dalam perusahaan itu, Abdullah pernah menerima tempahan membuat kapal layar paling mahal bernilai kira-kira AS$1 juta yang ditempah pelanggannya dari England. "Saya hanya mengambil upah membinanya saja, manakala enjin, badan kapal layar serta peralatan lain disediakan sendiri oleh tuan punya kapal berkenaan," katanya yang juga penerima Anugerah Tokoh Seni Negeri Terengganu 2005. - BERNAMA
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/69620
0 Komentar untuk " Perusahaan kapal layar di Pulau Duyong bakal berkubur "