Colour Retail pemborong, pengimport kemeja T - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Colour Retail pemborong, pengimport kemeja T

BERSESUAIAN dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun, rakyat Malaysia lebih gemar berkemeja T kerana lebih selesa dengan cuaca dan fabrik kapas yang digunakan.

Apabila menyebut kemeja T, ramai yang sinonim dengan jenama Four Square, Eight Square, Gildan dan Fruit of the Loom yang rata-rata telah mendapat pasaran di Malaysia.

Penggemar dan pengusaha kemeja T kebanyakannya akan mendapatkan bekalan kemeja T daripada pemborong dan pengimport kemeja T, Colour Retail Sdn Bhd (Colour Retail).

Pelanggan bertali arus berkunjung ke Colour Retail sama ada di perkarangan Masjid Al-Hidayah, SS3 mahupun di Dataran Glomac, Kelana Jaya, Selangor.

Melihat pelanggan yang tidak putus-putus mengunjungi Colour Retail, siapa sangka, Pengarah Urusan Colour Retail, Zaini Zakaria, 39, dahulunya terpaksa meredah jalan berliku dan menelan kepahitan cakap-cakap orang yang kurang yakin dengan perniagaan diceburinya kerana majoriti dipelopori bukan Melayu.

“Saya masuk dalam industri pengimportan pada masa tidak ada orang Melayu terlibat. Jadi amat sukar untuk meyakinkan pelanggan dan pasaran, kita juga setanding dengan pengimport sedia ada.

“Mereka seperti tidak percaya, Colour Retail sendiri yang mengimport kemeja T ini. Pada mereka, saya hanya menjadi orang tengah dan agak mustahil seorang berbangsa Melayu dapat sampai ke tahap ini dengan mengimport sekurang-kurangnya dua kontena setiap bulan.

“Pandangan yang kurang enak lagi apabila kedai pertama saya terletak di dalam kawasan masjid. Kini, saya berjaya buktikan, produk dan harga kami memang benar-benar setanding dengan pesaing lain,” katanya yang memulakan perniagaan sejak 1998.

Pada awal perniagaan Zaini 17 tahun lalu, Colour Retail dikenali dengan nama Colour Media yang mengeluarkan pelbagai barangan percetakan antaranya kad nama, ‘letter head’, buku, risalah serta turut   membekalkan cenderahati untuk syarikat korporat.

Ketika itu Colour Media beroperasi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Saya bermula tanpa sebarang pinjaman mana-mana pihak. Malah saya juga tidak mempunyai modal untuk memulakan perniagaan pada masa itu.

 “Apa yang saya lakukan hanyalah mengatur dan bijak menggunakan deposit daripada pelanggan. Deposit yang terkumpul saya gunakan sebagai wang pendahuluan kepada pembekal,” katanya.

Fokus perniagaan kemeja T

Pada 2006, operasi perniagaan Zaini berpindah ke kedai di perkarangan Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya.

“Apabila berpindah ke sini, kami hanya fokus kepada perniagaan kemeja T sahaja. Kami hentikan perniagaan kad nama dan cenderahati, sebaliknya kami mempelbagaikan lagi produk kemeja T yang ditawarkan,” katanya.

Walaupun begitu, masih banyak syarikat korporat yang mahukan Colour Retail terus membekalkan barangan percetakan mereka memandangkan hubungan perniagaan dijalankan sudah terlalu lama dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan mereka.

Bertitik tolak dari situ, Zaini mula membuka sebuah bengkel percetakan di Kampung Cempaka, Petaling Jaya untuk mencetak pakaian secara kecil-kecilan.

“Kami membeli kemeja T kosong daripada peniaga tempatan yang rata-rata di pusat bandar Kuala Lumpur dan mencetak sendiri reka bentuk corak pada pakaian itu.

 “Ketika itu, saya hanya ada dua staf untuk mencetak kemeja T. Kami mendapat banyak tempahan dari sekolah-sekolah, syarikat korporat, universiti, mahupun jabatan kerajaan,” katanya.

Keluar jenama sendiri

Melihat kepada sambutannya yang menggalakkan, Zaini mula terfikir untuk mengeluarkan jenama sendiri.

Dia mula merantau untuk mencari kain kemeja T pada harga yang menarik tetapi berkualiti.

“Saya buat tinjauan ke China, Indonesia dan Thailand untuk mencari pembekal, namun sayangnya pencarian saya tidak berhasil sehinggalah saya buat tinjauan di Bangladesh.

 “Setelah meneliti harga dan kualiti kain dari Bangladesh, saya lihat ia amat sesuai untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.

Pada 2014, Zaini membuat pelaburan untuk mewujudkan kilang sendiri di Bangladesh bagi menjahit kemeja T demi merealisasikan impiannya untuk mempunyai jenama sendiri dan membuat pengeluaran dalam jumlah yang besar.

“Kini, saya sudah mempunyai jenama baju T sendiri iaitu Eight Square.  Kalau dulu, saya gunakan ejen untuk mengimport stok saya kini, sejak adanya kilang di Bangladesh, rutin saya berubah.

“Syarikat saya di Malaysia, Colour Retail yang mengimport pakaian jenama ini daripada kilang kami sendiri di Bangladesh,” katanya.

Setiap bulan, Colour Retail akan membawa masuk 250,000 helai kemeja T ke Malaysia daripada kilangnya di Bangladesh.

Colour Retail menjual sembilan jenis produk kemeja T antaranya ‘basic tee’, ‘collar lacoste’, ‘raglan tee’ dan ‘kids roundneck’ dengan pelbagai pilihan warna pada harga borong antara RM4.50 hingga RM12.50.

Kini, Zaini boleh berbangga dengan hasil penat lelah selama ini kerana Colour Retail mampu mengeluarkan kemeja T sekurang-kurangnya 2,000 helai sehari.

Colour Retail bukan hanya menguasai pasaran Kuala Lumpur sahaja, malah meliputi Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Colour Retail juga mempunyai dua gudang penyimpanan kemeja T dan tiga cawangan kedai kesemuanya.

 Mula berniaga sejak belajar

Menyingkap sejarah penubuhan Colour Retail, pemiliknya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini bukanlah kosong dalam bidang perniagaan.

Zaini berjinak-jinak memasarkan kemeja T dengan pelbagai reka bentuk untuk pasaran UiTM ketika masih bergelar mahasiswa lagi kerana minatnya yang mendalam dalam bidang perniagaan.

“Saya memang minat tengok orang memakai kemeja T yang direka oleh saya sendiri. Disebabkan itu, saya tidak jemu mencipta reka bentuk kemeja T terkini dan mengambil tempahan dari pelajar-pelajar kolej.

“Saya tidak sangka sambutan amat menggalakkan pada ketika itu walaupun ramai pelajar lain yang membekal kemeja T untuk dijual di UiTM,” katanya.

Walaupun masih bergelar mahasiswa, Zaini bijak mengatur strategi untuk mendapatkan tempahan daripada keseluruhan pelajar di setiap kampus UiTM yang ada.

“Saya ambil diploma di UiTM Terengganu selama tiga tahun. Dari situ, saya sudah mula melantik wakil pelajar sebagai ejen dan memberi komisen kepada mereka untuk setiap hasil jualan mereka.

“Setiap kampus, saya akan lantik satu ejen untuk jalan dari bilik ke bilik mengambil tempahan. Saya sendiri pun lakukan perkara sama untuk mendapatkan tempahan pelanggan,” katanya.

Selepas sahaja tamat diploma, Zaini meneruskan perniagaannya di UiTM Shah Alam yang pada ketika itu beliau melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah.

Setiap semester, Zaini akan hasilkan tiga hingga lima reka bentuk corak yang baharu pada kemeja T yang dijualnya.

“Untuk satu reka bentuk saja, saya boleh dapat tempahan antara 500 hingga 1,000 helai. Dalam satu semester, saya boleh dapat RM30,000 hingga RM60,000.

“Dengan duit hasil jualan itulah, saya biayai sepenuhnya kos pengajian saya ketika mengambil Ijazah Sarjana Muda di UiTM,” katanya.

Zaini juga menyimpan impian untuk membawa rangkaian kemeja T jenama Eight Square milik Colour Retail untuk menembusi pasaran luar negara seperti Indonesia, Timur Tengah dan Eropah.

“Saya lihat potensi negara-negara ini yang mempunyai permintaan tinggi terhadap kemeja T.

“Di Malaysia, industri kemeja T sudah ada ramai pesaing sehinggakan harga yang ditawarkan terlampau murah. Jadi kami perlu mencari lokasi baharu untuk meluaskan rangkaian perniagaan kami,” katanya.

Beliau turut merancang untuk menambah cawangan Colour Retail di seluruh negara pada masa akan datang dan berharap dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak muda supaya lebih berani menceburi bidang perniagaan dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

0 Komentar untuk " Colour Retail pemborong, pengimport kemeja T "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ