IPOH: Jenama 'Coffee King' mungkin sangat asing bagi kita semua, namun jenama itu sangat terkenal dan kini menjadi fenomena di Ipoh, lebih-lebih lagi di sepanjang bulan Ramadan. Baru saja beroperasi tiga bulan lalu, 'Coffee King' yang dihasilkan oleh anak muda tempatan itu menawarkan enam pilihan minuman yang sedap dengan harga berpatutan. Pilihan minuman berkenaan ialah Ice Coffee, Ice Black Coffee, Ice Cocoa, Ice Tea, Ice Green Tea dan Ice Lime Tea, yang dijual pada harga RM5 setiap satu. Pemilik 'Coffee King', Mohamad Syafiq Mohd Sidek, 23, gembira atas sokongan daripada penggemar minuman itu. "Ketika memutuskan untuk berniaga bagi mengubah kehidupan, saya bersedia untuk memberi kepuasan kepada semua orang dan hasilnya menjadi inspirasi buat saya. Saya juga tidak sangka dan gembira atas sambutan orang ramai terhadap minuman itu," katanya. Syafiq berkata setakat ini, dua cawangan sudah dibuka, masing-masing di Taman Cempaka dan yang terbaru di Meru. "Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, selepas Aidilfitri ini, sebuah lagi cawangan akan dibuka di Station 18, Pengkalan. "Coffee King dibuka setiap hari Selasa, Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam kecuali hari Jumaat dari jam 3 petang hingga 7 malam," katanya. Menceritakan cabaran dihadapinya pada peringkat awal, Syafiq berkata, pada mulanya dia hanya jual 15 cawan saja di Padang Polo. Di situ (padang polo) setiap peniaga perlu memiliki lori pikap, jadi perniagaan terpaksa ditutup," katanya. Syafiq berkata, perniagaan itu turut disokong dan dibantu oleh kedua-dua ibu bapanya, Mohd Sidek Kasim dan Umi Mohamad Juoi, masing-masing berumur 48 tahun, yang sebelum ini pernah berniaga di pasar malam. Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Jalaluddin Ibrahim, 63, berkata dia membeli minuman berkenaan hampir setiap hari. "Rasa dia lain daripada yang lain, harga pula murah dan disajikan di dalam cawan plastik yang sangat besar. Pakcik mesti beli sekurang-kurangnya lapan cawan. "Anak-anak dan cucu-cucu suka sangat dan selalu pakcik beli perisa kopi dan koko," katanya. - BERNAMA
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/69616
0 Komentar untuk " Coffee King, jenama minuman yang 'trending' di Ipoh "