Pakaian & ketakwaan saling berkait - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pakaian & ketakwaan saling berkait

ADA kecenderungan dalam kalangan sesetengah pihak untuk memisahkan hubung kait pakaian dan ketakwaan dengan berhujah bahawa Surah al-‘Araf ayat 26 memfokuskan kepada pakaian takwa atau libas al-taqwa daripada pakaian lahiriah iaitu baju dan seluar yang kita pakai saban hari dan dengan itu bagaimana kita berpakaian secara lahiriah tiada kaitan dengan ketakwaan yang menyentuh peribadi dan akhlak kita.

Kepada yang berpandangan demikian, mereka tidak lihat kepada maksud ayat tersebut dalam ruang lingkup kisah Adam dan Hawa yang terkandung dalam surah tersebut dan juga surah-surah yang lain.

Sebenarnya, pakaian lahiriah dan pakaian ketakwaan bukanlah dua pakaian yang berasingan. Mereka adalah satu pakaian yang sama di mana pakaian lahiriah adalah pembinaan pakaian ketakwaan dan pakaian ketakwaan adalah pemantapan pakaian lahiriah.

Adalah menjadi fitrah kita sebagai manusia untuk berpakaian baju dan seluar yang membolehkan kita kelihatan seri, ceria dan tampan, seterusnya mendatangkan pujian kepada keindahan wajah tubuh badan yang kita miliki.

Namun keindahan lahiriah belum tentu menjamin keindahan rohaniah sekiranya yang dipakai hanya kain-kain dengan corak dan fesyen yang mengagumkan tetapi bukan nilai-nilai yang turut dibawa oleh pakaian tersebut.

Apakah yang terjelma daripada seorang perempuan Melayu apabila dia mengenakan baju kurung, dari segi malunya, pertuturannya, pergaulannya, tempat yang disinggahinya, dan aktiviti yang dilakukannya?

Nyata sekali pakaian mempunyai pengaruh yang cukup mendalam terhadap jiwa yang luhur, peribadi yang mulia, hormat-menghormati sesama manusia serta persekitaran kehidupan yang aman sentosa. Dalam erti kata lain, seseorang yang berpakaian lahiriah dan pada masa sama memakai nilai-nilai keinsanan yang mulia akan menjadikannya seorang yang memakai pakaian takwa.

Sebab itu apabila dikatakan pakaian takwa lebih baik, ia bermakna seseorang itu memahami makna berpakaian lahiriah kepada nilai dan keindahan jiwa dan peribadinya sehingga ia boleh menjanakan wajah keinsanan yang bersifat mulia.

Seseorang yang dapat rasa dan menikmati kelazatan takwa yang lahir dari cara dia berpakaian akan memastikan dia teliti dengan cara berpakaiannya tetapi ini belum pasti berlaku kepada orang yang hanya menjaga pakaian lahiriahnya tetapi tidak memastikan ia menjanakan ketakwaan dalam jiwa dan peribadinya. Sebab itu pakaian takwa lebih baik kerana dengannya pakaian lahiriah akan terjamin makna dan tujuan berpakaian.

Berpakaian untuk ketakwaan bukanlah sesuatu yang terbatas kepada orang Islam sahaja. Manusia sejak zaman dahulu lagi dari pelbagai bangsa dan budaya sudah pun menekankan peri pentingnya pakaian kepada makna kita sebagai manusia. Masyarakat Cina, umpamanya, sebenarnya adalah sangat menitikberatkan persoalan pakaian kepada jiwa, akhlak dan tingkah-laku.

Filem-filem Cina yang disiar di saluran Astro di rangkaian CH321 Celestial Classic Movies adalah bukti yang cukup nyata tentang perkara ini. Kita lihat bagaimana dalam filem Cina yang berlatar zaman klasik, watak-watak dalam filem tersebut mengenakan pakaian yang menutup tubuh dari paras leher ke bahagian buku lali kaki, mempunyai corak dan warna yang seri, dan seterusnya diiringi oleh cara bertutur dan bergaul yang cukup murni, disertai oleh lagu-lagu yang melunakkan hati, serta persekitaran kediaman yang dihuni oleh insan yang sejati.

Apabila kita lihat filem-filem Cina yang moden dan kontemporari, kita dapati keadaan adalah sebaliknya walhal watak-watak dalam kedua filem klasik dan moden adalah pelakon-pelakon yang sama.

Sehubungan itu, apa yang masyarakat Islam hari ini tekankan dari segi berpakaian adalah satu tradisi hidup yang telah dilakukan oleh warga manusia sejak beribu tahun dahulu, tidak kira dari apa jua bangsa dan budaya. Cuma 50 atau 60 tahun kebelakangan ini saja manusia moden mengenakan cara pakaian yang kita lihat hari ini yang tidak melihat tubuh itu membawa apa-apa erti kepada jiwa, peribadi dan pergaulan sesama manusia kecuali hanya sebagai satu jasad yang nilainya tidak lebih daripada bahan komoditi yang kita guna pakai sehingga satu tarikh luput yang kemudiannya diabai atau dibuang begitu saja.

DR YAMIN CHENG

* Penulis bekas Pensyarah Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

0 Komentar untuk " Pakaian & ketakwaan saling berkait "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ