Konflik pemikiran intelek Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Konflik pemikiran intelek Islam

UMAT Islam telah menyumbang kepada ketamadunan dan perkembangan teknologi sejak ratusan tahun lalu. Pada zaman kegemilangan mereka, orang Islamlah yang menggalakkan usaha inovasi dan penghasilan teknologi.

Namun, apabila tumpuan tidak lagi diberikan kepada inovasi sains, kebekuan minda mula terasa dan akhirnya mematikan langkah mencipta kemajuan.

 Kelemahan ini bukan sahaja berlaku dalam bidang sains dan teknologi, malah menular dalam bidang ilmu keagamaan. Kebekuan pemikiran mula terasa apabila umat Islam hanya mahu bergantung dengan hasil penulisan dan fatwa ulama silam.

Paling menyedihkan apabila umat Islam terjebak dalam krisis dan konflik saling menyalahkan. Isu pegangan salaf dan khalaf juga mengheret umat kepada saling menyalahkan bahkan ada yang sampai menyesatkan kumpulan yang lain (al-Qardhawi, 1995).

Keintelektualan mula dipandang dari sudut mengheret konflik antara benar dan salah dalam kalangan pihak yang berbeza aliran. Kebebalan intelektual ini berterusan sehingga sangat sukar menemukan usaha tajdid dilakukan dalam membangun minda umat yang ada jati diri.

 Tidak dinafikan terjadinya kebekuan intelektual Islam dalam kerangka dan acuan Islam adalah disebabkan penaklukan budaya dan sistem hidup oleh Barat.

Prof Dr Mohd Kamal Hassan (1988) menyatakan bahawa kaedah yang paling berkesan ialah melalui pembaratan sistem pendidikan.

Konsep-konsep kebudayaan sekular dan kebendaan memasuki pemikiran umat Islam menerusi buku-buku teks, sastera, drama, filem, radio dan rancangan televisyen, kegiatan sekolah missionary, propaganda parti-parti politik dan penyebaran idea-idea seperti kapitalisme, sosialisme dan komunisme.

Justeru, penggunaan teknologi Barat mempercepatkan langkah penghapusan identiti pendidikan berteraskan Islam untuk terjadi. Dengan keadaan ini, umat Islam menganggap kerangka pemikiran Barat adalah kerangka kemajuan.

Akibatnya, semua tenaga dan pemikiran umat Islam dihalakan kepada memenuhi kerangka ini dalam segenap lapangan kehidupan.

 Keintelektualan yang sewajarnya didasarkan kepada al-Din telah hilang dan dikesampingkan.

Akibatnya ialah intelektual Islam ada pada orang Islam, tetapi roh atau tenaga dalaman Islam masih berbinar-binar dan tidak menentu. Sejumlah umat Islam yang mahu mengekalkan identiti Islam melakukan benteng agama melalui madrasah dan sistem pendidikan tradisional.

Usaha ini sangat murni, namun demikian penglibatan masih dalam lingkungan pengajian kitab-kitab agama dan sehingga belum boleh menjadi pemain utama bagi penyelesaian kepada masalah semasa umat.

Akibatnya, jurang yang luas berlaku antara pendidikan tradisional dengan kaedah tuntas untuk menyelesaikan masalah semasa masih terus wujud.

Keadaan ini akhirnya mengundang konflik antara generasi Islam tradisional dengan generasi lain terutama yang membawa aliran salaf.

Apabila dunia pendidikan Islam mula berkembang setelah sistem pendidikan Islam juga turut tempias menggunakan sistem pendidikan Barat, para intelektual baharu Islam, khususnya dalam sistem pengajian Islam moden, mula mencabar sistem pendidikan tradisional Islam ini.

Saranan membuka pintu ijtihad, pengaruh sistem pengajian luar negara dan idealisme pemikir-pemikir Islam seperti Ibn Taimiyyah, Muhammad Abdul Wahhab, Muhammad Qutb, Yusuf al-Qardhawi di samping tokoh-tokoh modenis menyebabkan desakan membuka ruang perbincangan ilmu dalam disiplin agama menjadi semakin kencang.

Konflik ini dirasai hebat sehingga isu-isu kafir dan sesat muncul dan disebarkan melalui sistem teknologi moden kini.

Medium teknologi seperti WhatsApp, Facebook dan laman web yang membincangkan isu sensitif agama seolah-olah menjadi jurucakap masing-masing dan mengancam kesatuan umat Islam.

Hingga sekarang, konflik ini masih berterusan akibat salah guna intelektual dan kelemahan umat Islam untuk mengambil ruang antara mengimbangi pemikiran kemodenan dan keaslian Islam.

 Tanpa diragukan, impak sosial dari Barat sangat hebat. Keadaan ini seolah-olah membarah sehingga sukar ditangani meskipun diusahakan dengan pelbagai saranan dikemukakan bagi menangani impak ini.

Terdapat kalangan umat Islam yang mendesak agar suatu perubahan total dilakukan bagi membuang semua pengaruh Barat.

Sementara golongan umat Islam yang lain pula masih mengakui bahawa pemikiran Barat adalah juga acuan Islam dan mereka cuba menyesuaikan kandungan pemikiran Barat dengan Islam sehingga menamakan segala usaha pembaratan itu sememangnya sejajar dengan Islam.

Manakala golongan ketiga berusaha menyesuaikan sebahagian elemen Barat dengan Islam dan sebahagian lagi dikritik kerana dianggap bertentangan dengan ajaran ini. Dapat ditegaskan, tanggapan  sosial ini telah mencelarukan pemikiran umat Islam.

Selain itu, impak paling ketara dalam sudut sosial ialah faham golongan liberalisme/sekularisme yang mahu menganggap agama sebagai halangan kemajuan.

Bertitik tolak dari sinilah peminggiran segala unsur beridentiti agama Islam berlaku. Sistem hidup yang diiktiraf adalah sistem hidup Barat.

Semua gejala sosial dan masalah moral yang ditafsirkan oleh Islam sebagai barah telah sebaliknya diterima golongan ini tanpa rasa bersalah pun.

Gejala-gejala ini menyebabkan usaha untuk kembali kepada cara fikir Islam yang sebenar menjadi terbantut dan merupakan suatu usaha yang bukan mudah.

DR SHUKRI AHMAD

* Penulis ialah profesor madya di Pusat Pengajian Umum, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia

0 Komentar untuk " Konflik pemikiran intelek Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ