Pek Self Heat inovasi bantu mangsa bencana - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pek Self Heat inovasi bantu mangsa bencana

SUDAH menjadi kebiasaan melihat pelbagai jenis makanan segera di pasaran yang memudahkan pengguna untuk menyediakannya dalam masa singkat.

Tetapi berbeza bagi Masdar Safi Sdn Bhd (Masdar Safi), pengeluar makanan segera jenama Nasgera, yang menginovasi pek bungkusan makanan segera mereka dalam membantu mangsa bencana alam.

Pengarah Urusan Masdar Safi, Ahmad Firdaus Khalid berkata, penghasilan pek bungkusan baharu yang diperbuat daripada kertas mampu memanaskan makanan dan memasaknya tanpa perlu menuang air panas.

“Jika dahulu semua produk makanan Nasgera dikeluarkan dalam bekas polistiren. Tetapi kami mengambil langkah inovasi mengeluarkannya dalam bentuk kertas yang dikenali sebagai pek Self Heat dan pek Quick Meal.

“Apa yang uniknya pek Self Heat kami, ia mempunyai butang pemanas di bawah bekas untuk memudahkan mangsa bencana alam menyediakan makanan,” katanya ketika ditemui di Shah Alam.

Menurut Ahmad Firdaus, Masdar Safi telah membantu mangsa banjir tahun lalu yang melanda beberapa buah negeri dengan mengedarkan makanan segera pek Self Heat kepada mereka.

“Dengan pek Self Heat kami, pengguna hanya perlu menekan butang pemanas di bawah bekas makanan kerana di dalamnya sudah mempunyai nasi dan juga air. Mereka hanya perlu tunggu antara dua hingga tiga minit sahaja.

“Alhamdulillah kami berjaya mengedarkan kira-kira 20,000 pek makanan segera Nasgera seperti nasi lemak, nasi goreng kampung dan nasi goreng cendawan kepada mangsa banjir tahun lalu,” katanya.


Lebih setahun R&D dijalankan

Ditanya mengenai penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh Masdar Safi bagi mengeluarkan pek bungkusan baharu tersebut, Ahmad Firdaus berkata, syarikatnya mengambil masa lebih daripada setahun.

“Idea menghasilkan pek Self Heat sudah lama ada, cuma ia mengambil sedikit masa memandangkan bahan yang diperlukan agak terhad.

“Akhirnya setelah beberapa R&D dijalankan, kami dapat menghasilkan teknologi tersebut kerana ia memang sudah ada di pasaran, cuma kurang diketengahkan,” katanya.

Ahmad Firdaus berkata, Masdar Safi melihat ia sebagai satu peluang yang bagus untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan menambah baik pembungkusan melalui teknologi tersebut.

“Alhamdulillah selepas kami menukarkan pek bungkusan Self Heat dan Quick Meal pada Mei lalu, sambutan yang kami terima amat menggalakkan, malah berjaya menembusi beberapa pasaran tempatan.

“Dahulu semasa kami menggunakan polistiren sebagai bungkusan produk Nasgera, ada persatuan negeri tidak menerimanya dan produk kami tidak dapat menembusi pasaran negeri tersebut, tetapi dengan bungkusan baharu berasaskan kertas kami diterima untuk menembusi pasaran negeri tersebut,” katanya.

Selain pasaran tempatan, Ahmad Firdaus berkata, produk Nasgera turut berjaya menembusi pasaran luar negara seperti New Zealand, Singapura, Taiwan dan Indonesia.


Beras juga diinovasi

Selain inovasi pek bungkusan baharu Nasgera, Masdar Safi yang terkenal dengan nasi segeranya, sudah lama menggunakan kaedah inovasi dalam pengeluaran produknya.

Menurut Ahmad Firdaus, beras yang digunakan untuk menghasilkan nasi segera seperti nasi goreng kampung, nasi goreng cendawan, bubur dan pelbagai lagi telah diinovasi dalam mempercepatkan masa memasaknya.

“Kami telah memenangi anugerah inovasi antarabangsa 2014 melalui beras tersebut kerana untuk menyediakan produk segera Nasgera, hanya perlu tuang air panas dan biarkan antara dua ke lima minit sebelum boleh dimakan,” katanya.

Bagi merancakkan lagi perniagaannya, Masdar Safi turut melancarkan pek Quick Meal pada Mei lalu dengan sajian nasi goreng kampung, nasi goreng cendawan, nasi goreng makanan laut dan nasi goreng Kantonis.

“Variasi ini kami panggil sebagai hidangan lengkap kerana ia mempunyai ramuan dan bahan utama bagi setiap jenis nasi goreng seperti nasi goreng kampung yang mempunyai ikan bilis dan kangkung.

“Dari segi harga pula ianya cukup berpatutan, di mana bagi semua variasi produk pek Quick Meal berharga dari RM4.50 hingga RM5 sahaja. Manakala pek Self Heat pula berharga RM7 hingga RM8 sahaja,” katanya.

0 Komentar untuk " Pek Self Heat inovasi bantu mangsa bencana "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ