*WALAUPUN kemelut ekonomi – juga kemelut politik! – melingkari sepanjang Ramadan, riang-ria hari raya masih terasa seperti biasa, terutama di pusat-pusat membeli-belah di KL.
Orang berasak-asak di tempat-tempat seperti itu sejak awal puasa, masing-masing tidak mahu melepaskan peluang menyahut dan melibatkan diri dalam beraneka SALE yang digahkan siang-malam.
Di tempat-tempat seperti itu semangat Aidilfitri disemarakkan lagi dengan alunan lagu-lagu raya yang dimainkan setiap saat dan setiap ruang. P Ramlee, Saloma, Fazidah Juned, Siti Nurhaliza dan ramai lagi terus berkumandang meriangkan suasana.
Melihat sendiri barisan panjang pembeli di kaunter pembayaran, dengan tangan-tangan membimbit barangan yang dibeli, bagaikan tiada kesan langsung apa yang disebut ‘petaka’ ekonomi seperti GST, kenaikan RON atau skandal 1MDB.
*GST atau tidak, orang berduit bermewah seperti biasa. RON naik sekupang dua, tidak langsung menjejaskan golongan ini. Hatta hutang berbilion RM yang dikatakan ditanggung 1MDB pun, mereka buat dhek.
Buktinya: iftar Ramadan di restoran eksklusif dan hotel-hotel lima bintang meriah seperti tahun-tahun sebelumnya. Tidak ada ruang kosong, dan sebulan penuh iftar telah ditempah.
Betapa mahalnya untuk berbuka puasa di tempat-tempat seperti itu. Paling tidak pun RM100 sekepala, malah ada hotel yang mengenakan bayaran RM180 sekepala. Dengan bayaran setinggi itu pun iftar mewah ini diborong habis oleh mereka yang berduit.
Memang dengan bayaran setinggi itu, juadah yang dihidangkan tentu sekali hebat. Sebut apa sahaja semua tersedia. Kambing panggang, udang galah bakar, kurma daging, ayam golek, makanan Jepun, makanan orang putih, makanan Arab semua ada.
Berapa banyak kita boleh makan dengan bayaran RM180? Lebih-lebih pun seketul dua kambing, sepinggan nasi, segelas dua minuman yang nilainya mungkin tidak sampai RM20. Membayar hampir RM200 hanya untuk makanan bernilai RM20? Tetapi orang berduit tidak kisah itu semua.
*ADAPUN yang kisah hal RM20 itu ada sebahagian besar rakyat yang pagi-petang siang-malam dihimpit dan ditekan seribu satu kemelesetan. Golongan inilah yang berasa raya tahun ini sepi dan sayu.
Petani desa, penoreh getah, pekebun kelapa sawit, nelayan, buruh kasar, pengutip sampah, dan sebagainya tidak faham GST. Mereka juga tidak membaca atau menonton 1MDB. Kalau baca pun mereka tidak faham.
Tetapi golongan ini terasa benar kesan isu-isu yang mereka tidak tahu itu. Mereka tahu duit seringgit dua yang ada di dalam poket kini semakin kecil, tidak boleh beli apa-apa untuk berbuka.
Peniaga dan penjaga di bazar Ramadan pun terasa kesan ekonomi. Rata-rata mengeluh jualan meleset lebih 50 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bahan mentah - ikan, daging, sayur dan lain-lain – melambung, memaksa mereka menaikkan harga makanan.
Apabila makanan naik harga, pembeli berhati-hati dan memilih hanya yang betul-betul perlu. Ramai memasak sendiri untuk hidangan berbuka, itu pun terasa sempit sebab barang-barang pasar semua naik.
Bagi kebanyakan yang berpendapatan rendah, mereka memerhati setiap gerai bazar untuk membeli seketul rendang atau seekor kembung panggang. Tetapi harga di luar kemampuan poket. Seketul rendang RM5, seekor kembung RM6, mahal. Akhirnya hanya menelan liur.
Di hotel lima bintang orang membayar RM180 untuk makan seketul dua kambing panggang. Di bazar Kampung Medan, ramai yang terliur sebab tidak cukup duit untuk membeli seketul rendang untuk hidangan keluarga.
Demikianlah adanya...ini bukan cerita ‘Anak Raja & Anak Papa’. Ini kisah rakyat kita sekarang...
*SEKADAR berkongsi dan sama-sama mengingati, musim-musim perayaan – lebih-lebih lagi raya puasa – selalu dikaitkan dengan kemalangan jalan raya. Meski ada berbagai-bagai ‘ops’ kadar kemalangan tetap meningkat di musim-musim begini.
Maka memandulah dengan berhemah, patuhi segala peraturan keselamatan jalan raya. Jangan terkejar-kejar ketika memandu, takut-takut nanti kita dikejarkan ke hospital.
Tidak kira di mana, raya adalah kegembiraan dan kebahagiaan. Sekiranya terjadi kemalangan, raya akan bertukar kesedihan dan kepiluan. Memandulah berhati-hati, biar lambat asal selamat.
*AKHIR kalam, oleh sebab akhbar ini tidak terbit Sabtu depan @ hari kedua Aidilfitri, saya mengambil kesempatan awal untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua, maaf zahir dan batin.
Semoga ibadat dan amalan baik yang telah kita tingkatkan sepanjang puasa dapat diteruskan malah ditingkatkan lagi sepanjang Syawal dan sepanjang hayat kita, insyAllah.
- TOK PERAK

0 Komentar untuk " Orang berduit dan orang miskin "