Pasal bola, ramai hilang suami - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pasal bola, ramai hilang suami

SAYA yang kaki bangku ini juga kaki bola. Bunyi macam berbeza. Ya, memang berbeza. Kaki bola tidak semestinya pandai main bola. Kaki bangku juga boleh jadi kaki bola. Yang menjerit riuh rendah di kedai mamak tiap kali ada  perlawanan bola di skrin besar, bukan semuanya pandai main bola.

Walaupun mereka menjerit ‘bodoh’, ‘kayu’, ‘makan gaji buta’ dan macam-macam lagi mantera maki hamun kepada pemain atau jurulatih, mereka sendiri sepak bola pun mungkin tidak kena!

Apa pun, mereka tetap kaki bola!

Di Malaysia, EPL nombor satu bagi kaki bola. Liga Malaysia pun jatuh nombor dua. Saya tidak peduli Liga Malaysia, tetapi demi EPL, saya sanggup berjaga. Saya tidak kisah Kedah daripada Kenari jadi Lang Merah tetapi apa yang jadi pada Setan Merah, saya sentiasa ambil kisah. Tiap kali saya disindir pasal tidak peduli pasukan Hijau Kuning yang kini sudah bergelar Lang Merah, saya kata, “ya, aku lahir di Kedah, aku orang Kedah tapi aku (mungkin) orang Kedah yang dijadikan dari tanah Manchester”.

Ini sekadar gurauan dengan kawan-kawan.

Berkaitan dengan Manchester United, saya sokong Setan Merah sejak darjah lima, pada tahun 1982. Sebelum Sir Alex Ferguson berpindah dari Aberdeen ke Manchester lagi (pada 1996), saya sudah sokong Manchester United. Ketika itu pengurus MU, Ron Atkinson. Pemain-pemainnya pun saya masih ingat kesemuanya sampai sekarang tetapi untuk senaraikan, terlalu panjang. Cukup saya sebut kapten pasukan, Bryan Robson yang juga kapten England.

Sungguhpun saya kaki bola yang kaki bangku sejak sekian lama, saya bukan kaki langut depan skrin besar di kedai mamak atau warung tomyam. Saya lebih selesa tonton di rumah, seorang diri pun tidak mengapa. Bukan tidak pernah cuba tetapi saya simpati pada isteri di rumah. Bukan isteri sendiri sahaja, isteri kawan-kawan pun saya simpati juga.

Bayangkanlah mereka tidur seorang diri peluk bantal macam tidak berlaki, itu penyeksaan yang amat berat bagi mana-mana isteri. Saya, walaupun tidak tidur bersama, sekurang-kurangnya masih di bawah bumbung yang sama. Habis separuh masa pertama, jenguk sekejap, cukuplah! Nanti sambung selepas cukup masa.

Kata orang, perkara paling nikmat di dunia tidur dengan isteri. Sebenarnya tidak. Tengok bola di kedai mamak jauh lebih nikmat. Jika tidak, takkanlah begitu ramai lelaki sanggup tinggalkan isteri sampai dinihari kerana bola?

Musim bola pula bersilih ganti. Habis satu, satu. Sekarang EPL baru sahaja habis. Saya yakin ramai isteri yang berasa lega, baru terasa ada laki pada malam hujung minggu. Tidaklah lagi tidur seorang diri. Tetapi lega isteri tidak lama. Kurang lebih dua bulan sahaja, akan datang musim baharu pula. Itupun bersulam dengan Piala FA, Liga Europa dan Liga Juara-Juara. Belum lagi dikira Euro dan Piala Dunia.

Itulah kegilaan, juga boleh dianggap kekejaman kaum lelaki sebenarnya. Betapa cantik, bergetah dan tersembul isteri di rumah, bola di kedai mamak atau warung tomyam lebih digilai.

Malangnya kita kerana jurang waktu yang berbeza. Ketika mereka di sana bermain bola pada waktu petang, kita di sini tengah malam. Walaupun terseksa menyekang kelopak mata, demi bola tetap berjaga. Esoknya mengantuk ke tempat kerja. Ada yang sampai bayar untuk dapat surat cuti sakit. Yang sudah pernah ambil cuti sakit, mahu tidak mahu tetap kena pergi kerja juga.

Paling teruk apabila terpaksa keluar awal pagi, kena hantar anak ke sekolah, tadika atau taska. Dalam keadaan mamai tidak cukup tidur atau sememangnya tidak tidur, apa-sapa sahaja boleh terjadi. Sudah jadi kebiasaan ketika bawa anak sampai di pintu kelas, pipi dihulur untuk minta anak cium. Kalau bukan pipi, hidung yang dihulur untuk mencium. Tetapi oleh sebab mamai, hendak beri pipi kepada anak, sasaran terbabas ... diberi kepada cikgu.

Ini barulah betul-betul kaki bola yang dapat bola, silap hari bulan dapat kaki bangku!

0 Komentar untuk " Pasal bola, ramai hilang suami "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ