Prasarana sedia berdepan ujian urus Stesen Metro Arab Saudi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Prasarana sedia berdepan ujian urus Stesen Metro Arab Saudi

MENCABAR. Itulah yang dirasakan pihak pengurusan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengenai kontrak mengurus dan menyelenggara Stesen Metro Arab Saudi. Pada masa sama, jika dapat dijayakan, ia tentu membuka pintu kepada syarikat Malaysia diterima dan mendapat kepercayaan Arab Saudi khasnya serta negara lain di Asia Barat. Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam membayangkan cabaran besar itu ketika menyambut Datuk Seri Najib Razak yang melawat Stesen Al Mashaaer Al Mugaddasah di Arab Saudi, baru-baru ini. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menyifatkan kunjungan Perdana Menteri sebagai satu rangsangan kepada semua petugas Prasarana. "Lawatan ini amat bermakna kepada kami khususnya cadangan beliau supaya kami keluar daripada zon selesa," katanya. Beliau mengucapkan penghargaan kepada kerajaan atas bantuan membawa kepada pemberian kontrak tiga tahun menguruskan stesen itu. Beliau juga berharap kontrak tiga tahun akan dilanjutkan oleh Arab Saudi. Cabaran penuhi syarat kontrak Apa yang mencabar ialah memenuhi syarat kontrak sebagai shadow operator metro berkenaan dari Arafah ke Muzdalifah dan Mina. Ia merangkumi dua jajaran berserta 22 stesen merentasi jarak 45.1 kilometer (km), termasuk rangkaian rel bawah tanah sepanjang 24.9km. Operasi ini adalah fasa satu program pengangkutan awam Metro Makkah. Prasarana juga bertanggungjawab melakukan semakan reka bentuk awalan dan perincian projek, termasuk spesifikasi operasi dan penyelenggaraan serta perjanjian perkhidmatan untuk kontraktor pada masa depan. Malah, Prasarana juga dikehendaki menyemai budaya cemerlang di organisasi pelanggan sepanjang tempoh kontrak dengan fasa satu dijangka mula beroperasi pada tahun 2019. Ini bermakna Arab Saudi tidak hanya mengutamakan mutu kerja malah juga mahu supaya Prasarana menjaga imej projek setiap masa. Lebih-lebih lagi Riyadh menolak bidaan syarikat Turki dan Korea untuk kontrak khidmat rundingan yang dimenangi Prasarana. SEBANYAK 17 set tren dijangka mengangkut 3,000 penumpang dalam setiap perjalanan sepanjang tujuh hari musim Haji. - Foto hiasan Kendali, selenggara komponen Tidak cukup dengan itu, satu lagi kontrak turut menggariskan bidang kerja untuk dilaksanakan Prasarana, termasuk bertanggungjawab mengendali dan menyelenggara semua komponen projek seperti peralatan gantian, merangkumi sistem rel dan peralatannya. Ia menekankan tugas dan tanggungjawab Prasarana ketika operasi berlangsung pada musim Haji. Ini dianggap penting kerana operasi membabitkan 17 set tren yang dijangka mengangkut 3,000 penumpang dalam setiap perjalanan sepanjang tujuh hari musim Haji. Perkara lain yang termasuk dalam syarat kedua ialah menyelenggara trek, fasiliti trek, bangunan, peralatan dan sistem. Prasarana juga perlu menguruskan stesen, fasiliti stesen dan bangunan; depoh, fasiliti depoh, bangunan dan peralatan; tren, sistem isyarat, bekalan kuasa, pintu platform, sistem komunikasi, kawalan dan bilik peralatan telekomunikasi. Penyelenggaraan juga perlu bagi CCTV, kamera termasuk pembangunan program komputer, sistem pengurusan penumpang; lif dan eskalator, lanskap dan penurapan. Prasarana juga perlu menguji semua peralatan dan perkakasan; siapkan jadual pergerakan tren dan simulasi komputer ketika musim Haji; mengurus penumpang dalam dan luar stesen; urusan tiket selain menyedia latihan dan persijilan keselamatan untuk operasi. Cabaran utama Prasarana tentunya memenuhi semua syarat yang dikenakan dalam kontrak. Bagaimanapun, sejak dahulu lagi Perdana Menteri menaruh keyakinan akan kemampuan Prasarana. Najib menyifatkan Prasarana mempunyai kepakaran, kebolehan dan kemampuan untuk menyahut cabaran kontrak berkenaan. Ketika menemui media Malaysia di Jeddah, beliau berharap Malaysia akan terus diberi peluang kontrak apa juga projek infrastruktur pada masa depan membabitkan metroline/monorel di Arab Saudi. RUANG dalam Metro Arab Saudi utamakan keselesaan penumpang. - Foto hiasan Kaji pembabitan projek Piala Dunia Qatar 2022 Perdana Menteri juga memberitahu bahawa Prasarana turut meneliti pembabitan projek infrastruktur sempena Piala Dunia Qatar 2022. Kata-kata Perdana Menteri bahawa kita menaruh harapan untuk terus mendapat kontrak di Arab Saudi selain bersaing untuk projek di Qatar adalah petanda kita mampu menyahut cabaran. Kita percaya Prasarana akan membuktikan keupayaan syarikat Malaysia mengurus dan menyelenggara sistem Metro Arab Saudi. Ini pasti membolehkan syarikat kita memiliki peluang lebih besar untuk diberi kepercayaan mengendali sistem metro di Madinah dan Dammam.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/60612
0 Komentar untuk " Prasarana sedia berdepan ujian urus Stesen Metro Arab Saudi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ