Bantuan tanpa mengira agama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bantuan tanpa mengira agama

JIKA penghujung tahun 2014, negara kita berhadapan dengan banjir besar atau ‘tsunami’ kecil  yang melanda Kelantan, Pahang dan beberapa negeri lain sehingga banyak memusnahkan harta benda serta meragut beberapa nyawa.

Keadaan itu sungguh tragis dan sukar untuk dibayangkan, hanya  mangsa mengenal derita. Namun, ujian yang menimpa tidak dirasai mereka yang terbabit apabila sebaik berita mengenai tragedi itu tersebar menyebabkan ramai tampil menghulur bantuan. Itu serba sedikit mengenai ‘peringatan’ ALLAH SWT di negara ini.

Selang beberapa bulan selepas musibah itu, dunia pula kembali bergoncang apabila gempa bumi dengan magnitud 7.8 skala Ritcher melanda negara puncak bumi, Nepal.

Gempa bumi yang berlaku pada 25 April lalu kira-kira jam 11 lebih pagi itu adalah gempa bumi paling kuat melanda Nepal sejak gempa bumi Nepal-Bihar sekitar 1934.

Pelbagai pihak menghulurkan bantuan, sama ada Malaysia mahupun negara lain. Sudah menjadi adat kehidupan, sesiapa yang ditimpa musibah dan mengalami kesusahan perlu dibantu tanpa mengira latarbelakang agama dan bangsa. Semuanya demi kemanusiaan.

Berikutan itu, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) tampil menjalankan misi bantuan dengan nama Misi MyCARE Nepal kepada mangsa gempa bumi di Nepal.

Tanpa mengira latarbelakang agama dan bangsa, MyCARE tetap memberikan pertolongan sama ada daripada sudut keperluan harian malah turut membantu memulihkan kembali semangat hidup mangsa selepas mengalami trauma akibat bencana alam ini.

Dengan memfokuskan Nurturing Humanity, Making a Difference, MyCARE telah menghantar sukarelawan sebanyak tiga peringkat bermula sejak awal Mei lalu dan berakhir pada 25 Mei lepas.

Pada peringkat pertama, MyCARE menghantar dua sukarelawannya sebagai wakil bagi meninjau keadaan di sana sekali gus melaporkan kepada MyCARE apa yang diperlukan, berapakah mangsa yang terlibat, tahap kerosakan di sana dan bermacam lagi.

Pertama kali

Sukarelawan MyCARE, Roha Hassan yang terlibat dalam misi bantuan ke Nepal berkongsi cerita dengan pembaca Rehal mengenai pengalaman pertamanya ke sana. Katanya, MyCARE sangat prihatin dengan apa yang menimpa rakyat Nepal.

“Apakah kita hanya pandang sahaja apabila melihat orang lain ditimpa bencana di hadapan kita?, persoalan inilah yang mencetuskan kenapa MyCARE berbuat sebegini.

Sememangnya ramai hairan kenapa MyCARE tampil membantu rakyat Nepal yang majoritinya adalah beragama Hindu. Sedangkan umat Islam hanya sedikit (kira-kira empat hingga lima peratus (1.4 juta) sahaja yang bersyahadah.

Ada juga terdengar mulut-mulut mengatakan “buat apa bantu orang bukan Islam, sedangkan di negara ini ramai lagi umat Islam yang perlu dibantu.”

“MyCARE mempunyai objektif yang besar, kita tidak akan ke mana jika berfikiran sempit sebegitu. Kita tidak boleh menahan pandangan berbeza daripada pihak lain, yang penting MyCARE jelas akan penglibatannya dalam misi ini.

Mana tahu selepas bakti ini ramai yang mampu melihat keindahan islam melalui akhlak penganutnya,” katanya dalam pertemuan bersama Rehal.

Roha yang sudah berbelas tahun terlibat dalam pertubuhan bukan kerajaan berkata, misi kali ini adalah sesuatu yang berbeza dan memiliki kelebihannya yang tersendiri.

Sebelum ini Roha pernah mengikuti misi bantuan ke Palestin, Syria, Aceh dan negara lain yang majoritinya umat Islam, begitu juga dengan masyarakat tempatan. Namun misi kali ini agak berbeza dan Roha mempunyai banyak pengalaman yang mahu dikongsikan.

Bantuan tanpa mengira agama

Berdasarkan kepada kajian sejarah, Nepal secara rasminya dikenali sebagai Republik Demokratik Persekutuan Nepal. Nepal adalah sebuah negara daratan yang terletak di Asia Selatan. Dengan kawasan seluas 147.181 kilometer persegi, bilangan penduduknya kira-kira 27 juta orang.

Negara ini terletak di Banjaran Himalaya dan bersempadan di utara China dan ke selatan, timur, dan barat oleh India. Itulah serba sedikit mengenai sejarah Nepal yang perlu diketahui setiap sukarelawan yang bergiat. Keadaan muka buminya, daerah mana yang paling hampir antara maklumat berguna apabila berdepan dengan situasi cemas.

Bantuan tiga peringkat

Misi MyCARE-Nepal yang ketiga (MMN3) bertolak pada 25 Mei tepat jam 8 malam waktu tempatan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Seramai empat sukarelawan menyertai misi berkenaan dengan diketuai oleh Dr Abdul Halim Sibghatullah; pakar psikologi, Dr Rafidah Bahari; kaunselor, Roha Hassan; dan petugas bahagian logistik, Zairi Suboh.

Perjalanan yang mengambil masa selama empat jam ini akhirnya selamat tiba di ibu negara Nepal, Kathmandu. Perasaan mahu menyaksikan sendiri keadaan pasca gempa bumi membuak-buak dalam diri sukarelawan MyCARE ini.

 Walaupun badan keletihan kerana sibuk menguruskan persiapan dan barangan untuk mangsa gempa bumi, namun sukarelawan tetap aktif meneruskan perjalanan.

Disebabkan beberapa faktor keselamatan, sukarelawan ini akhirnya membuat keputusan untuk bergerak ke kawasan yang ditimpa bencana pada keesokan harinya.

Awal pagi esoknya, mereka berempat bersama beberapa petugas dari NGO di Nepal bergerak menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke Rasuwa.

Selepas beberapa jam di sana sukarelawan mula bergerak ke daerah yang paling teruk ditimpa bencana gempa bumi, Golkar. Dengan membawa 20 khemah pelbagai guna, sukarelawan MyCARE mengagihkan  terus kepada mangsa.

Roha berkata, rata-rata mangsa gempa trauma dengan kejadian ini. Masing-masing takut untuk tinggal dalam rumah walaupun ada sebahagian rumah yang tidak musnah. Kediaman mereka dibina daripada susunan batu-bata dan runtuhan itu berlaku dalam sekelip mata dan menghancurkan kesemuanya.

"Jadi apabila kami memberikan bantuan berupa khemah mereka sangat gembira dan bersyukur. Kata mangsa, mereka lebih rela tidur di kawasan yang lapang secara beramai-ramai daripada selesa tidur dalam rumah.

"Misi bantuan MyCARE ke Nepal ini diagihkan ke tujuh daerah antaranya Kathmandu Satungal, Nuwakot Sundhara Dewi, Chandra Giri, Rasuwa, Jajahan Nuwakot dan Kavre Palanchok," katanya.

Menurutnya, orang Nepal atau Nepali sangat ramah, walaupun mereka tahu yang sukarelawan MyCARE beragama Islam tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang reaksi janggal.

Kedatangan MyCARE menghulurkan bantuan disambut dengan baik. Bantuan seperti pek makanan, pakaian dan barangan lain dibawa melalui jambatan gantung yang merentasi sungai besar.

Didik  warga Nepal

Apabila berlakunya malapetaka atau musibah pastinya golongan wanita, orang tua dan anak kecil yang paling tertekan dengan situasi itu.

Selain menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada mangsa bagi mengelakkan berlakunya wabak penyakit berjangkit, sukarelawan MyCARE juga turut memfokuskan kepada psikologi mangsa.

"Perasan trauma dalam diri mangsa terhadap kejadian yang berlaku kembali sejak 80 tahun lalu perlu diubati. Kerana itu, MyCARE membawakan pakar psikologi untuk membantu mereka.

"Dr Rafidah yang baru menyertai MyCARE bersedia memberikan bantuan daripada sudut psikologi sambil dibantu saya selaku kaunselor.

"Dengan pertolongan daripada jurubahasa, kami berdua mengadakan beberapa program psycho social kepada mereka. Manakala untuk kanak-kanak dan remaja, kami adakan aktiviti bercerita, melukis dan mewarna.

"Harapan kami adalah untuk memulihkan semangat mereka dan berharap semoga terus kuat," tambahnya.

Roha bercerita lagi, golongan wanita Nepal sangat kuat dan sentiasa bersemangat. Sebaik bantuan makanan tiba, mereka tidak mengharapkan tenaga lelaki untuk memikul beras dan makanan lain sebaliknya mengangkut sendiri menggunakan tenaga empat keratnya.  

Selepas lapan hari berada di Nepal untuk melaksanakan tugasan yang disasarkan di sana seperti misi penyerahan bantuan pek makanan, menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan menjalankan program psikososial untuk warga Nepal yang memerlukan.

Sukarelawan MMN3 berjaya melaksanakan program berikut:

a) Serahan pek makanan kepada 430 keluarga yang sangat memerlukan di Chandra Giri (60 keluarga), Rasuwa (200 keluarga), Nuwakot (100 keluarga) dan Kavre Palanchok (70 keluarga). Setiap pek makanan bernilai NRP3,000 (RM110).

b) Pemeriksaan kesihatan dan rawatan kepada 409 warga Nepali di Kirtipur, Nuwakot, Naikap Naya Banjyang, Kavre Palanchok.

c) Sumbangan 10 kg bekalan ubat-ubatan kepada sebuah klinik di Swoyambhu, Thulo Bhanyang dan Kathmandu.

d) Program latihan/bengkel psikososial untuk 217 peserta yang terdiri daripada sukarelawan, pengetua, guru-guru sekolah dan ibu bapa di Kirtipur, Nuwakot, Naikap Naya Banjyang dan Kavre Palanchok.

e) Mengadakan program psikososial bersama 268 kanak-anak dan pelajar Kirtipur, Nuwakot, Naikap Naya Banjyang dan Kavre Palanchok.

Kedatangan sukarelawan MyCARE turut dibantu oleh tiga lagi NGO di sana iaitu Islami Sangh, JCYCN Nepal dan Islamic Medical Assosiation Nepal (Iman).

Semua bantuan ubat-ubatan, makanan, keperluan harian dan kelengkapan berpusat di Masjid Nepali.

Bagi Roha pengalaman ini sungguh berharga, lapan hari menabur bakti di negara orang banyak mengajarnya erti kesabaran dan kekuatan fizikal serta mental.

Dalam tempoh lapan hari itu juga terdapat beberapa penduduk Nepal mengucap dua kalimah syahadah dek melihat santunnya Islam.

0 Komentar untuk " Bantuan tanpa mengira agama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ