Memasyarakatkan tahfiz - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Memasyarakatkan tahfiz

JUMAAT yang penuh barakah. Moga kita semua dirahmati dan diberkati ALLAH SWT sentiasa. Al-Quran mempunyai dua sisi interaksi iaitu ibadah dan amalan. Aspek pertama dipenuhi dengan cara membaca al-Quran dengan niat beribadah kepada ALLAH.

Seiringan, aspek kedua adalah yang menjadi tujuan penurunan al-Quran, sebagaimana firman ALLAH: "Agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang yang berakal sihat mendapat pelajaran." (Surah Shaad: 29)

Al-Quran adalah bacaan yang paling mulia, kerana ia adalah kalam ALLAH Yang Maha Mulia, dibawa oleh malaikat yang mulia Jibrail AS, diterima oleh Rasul-Nya yang mulia, Nabi Muhammad SAW, awal mula diturunkan pun pada bulan paling mulia yakni bulan suci Ramadan.

Al-Quran diimani dan diikuti oleh umatnya yang mulia, iaitu umat Islam. Orang yang mengetahui kemuliaan al-Quran, dia pasti akan mencintainya, membacanya, menghayati kandungan isinya, berusaha menghafal ayat demi ayat-Nya dan yang paling penting adalah berusaha mengamalkannya secara keseluruhan dalam kehidupan sehari-hari.

Oleh kerana al-Quran sebagai bacaan yang mulia itulah, maka seorang Muslim yang membacanya pun akan mendapatkan pahala daripada huruf demi huruf yang dibacanya.

Kerjasama Permata Tahfiz

Madrasah tahfiz sering dilihat sebagai tempat eksklusif untuk melatih anak-anak ke arah menghafal al-Quran. Hafalan Quran juga dikaitkan hanya untuk golongan tertentu dan kurang popular dalam kalangan orang awam.

Baru-baru ini Rumah Ngaji Malaysia menjalin kerjasama dengan Persatuan Madrasah Tahfiz (Permata Tahfiz) bagi melancarkan kempen agar masyarakat awam dapat menghafal al-Quran melalui pendekatan memasyarakatkan tahfiz.

Permata Tahfiz dengan keahlian sebanyak 400 pusat tahfiz berharap untuk sama-sama menyumbang ke arah memartabatkan al-Quran sehingga ia menjadi agenda besar masyarakat  dalam membaca, memahami, menghayati dan mengamalkannya.

 Melalui kempen ini, 14 madrasah tahfiz di seluruh negeri akan bekerjasama sebagai tempat untuk orang ramai memeriksa hafalan al-Quran mereka setiap minggu.

Bagi semua peserta terlibat, mereka diberi motivasi dan dorongan untuk berasai nikmatnya menghafal al-Quran sehingga mereka mampu untuk setia dengan al-Quran, sekurang-kurangnya 1 jam setiap hari.

Mana-mana individu atau pihak yang berminat dan mahu menyertai program ini, seminar dan motivasi untuk menghayati dan setia dengan al-Quran akan diadakan pada 14 Jun ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.

Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi Khadijah di talian 012-2230782.

Rumah Ngaji Baitul Abrar

Rumah Ngaji pertama di Kuantan, Pahang kini dibuka untuk orang awam secara percuma.

Program yang dijalankan setiap hujung minggu di Taman Perumahan Sri Damai Aman, Jalan Gambang dengan kerjasama Masjid setempat, diadakan  setiap Ahad, bermula jam 9.30 pagi hingga 11 pagi dikendalikan oleh Ustaz Mohd Rozamli Mohd Razak dan isteri, Ustazah Hasnuli.

Ustaz Rozamli  berkata, beliau membuka Rumah Ngaji Baitul Abrar dengan menginfakkan sebahagian daripada rumahnya kerana tujuannya adalah untuk bersama membawa masyarakat membaca dan memahami al-Quran sebagaimana yang dicetuskan oleh Rumah Ngaji.

"Saya dan isteri mempunyai kelulusan dalam bidang agama dan selama ini banyak mengisi ceramah di masjid. Jadi dengan apa yang kami ada dan ALLAH berikan kepada kami, kami kira, inilah masanya untuk kami menjadi sebahagian daripada perubahan melalui al-Quran.

"Bagi mereka yang berada di sekitar Kuantan, bolehlah berhubung terus dengan saya di talian 019-7206040 atau boleh juga menghubungi isteri, Ustazah Hasnuli (019-7076575) bagi mengikuti kelas pengajian al-Quran," katanya.

Menurutnya, Rumah Ngaji Baitul Abrar adalah fokusnya untuk memastikan masyarakat Islam sekitar yang tinggal berdekatan lebih mendekati al-Quran dan mentadaburkan kitab ALLAH itu dalam erti sebenarnya.

0 Komentar untuk " Memasyarakatkan tahfiz "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ