Pagar sempadan dua negara usang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pagar sempadan dua negara usang

PADANG BESAR - Pagar sempadan Malaysia-Thailand yang dibina sejak 1979 sepanjang 32 kilometer (km) dari Padang Besar Perlis hingga Bukit Kayu Hitam, Kedah, didapati tidak sesuai lagi untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) memandangkan keadaannya yang sudah usang dan mudah dibolosi oleh Pati.

Kenyataan ini turut diakui oleh Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali yang mengatakan pagar sempadan itu mudah dirosakkan sama ada dipotong atau dipanjat oleh Pati.

Akibat keadaan itu, Perlis menjadi antara negeri yang sentiasa ‘dikunjungi’ Pati tanpa mengira waktu.

Penemuan paling tragik sepanjang tempoh itu apabila pihak polis menemui 139 kubur pelbagai saiz dan 28 kem transit di sepanjang 11km antara tangga 100 sempadan Malaysia- Thailand sehingga ke Wang Kelian pada 25 Mei lalu.

Ia sekali gus mengejutkan negara-negara Asean termasuk seluruh dunia betapa seriusnya keadaan itu membabitkan sindiket yang sentiasa mengambil peluang menyeludup Pati melalui pagar sempadan.

Ribuan Pati ditahan setiap tahun

Sebelum ini, sepanjang tahun 2013 dan 2014 pihak UPP Perlis menahan seramai 2,359 Pati dari pelbagai negara yang rata-ratanya berjaya membolos diri melalui pagar sempadan berbanding jalan laut.

Jumlah itu belum termasuk Pati yang ditahan oleh agensi utama di pagar sempadan iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut berjaya menahan Pati di pagar sempadan yang sudah terlalu usang.

Tekong kerap tukar modus operandi

Melalui penahanan Pati sebelum ini oleh pihak UPP sering mendapati tekong yang membawa Pati ini menukar modus operandi mereka untuk menyeludup Pati masuk di pagar sempadan.

Syed Basri berkata, antaranya adalah dengan menukar waktu sama ada pada awal pagi mahupun pada awal malam kerana menyangka anggota keselamatan akan leka mengawal sempadan ketika itu.

“Ketika Ramadan pula Pati ini dihantar masuk oleh tekong pada waktu berbuka mahupun waktu bersahur, namun pergerakan mereka masih dapat dihidu oleh pihak berkuasa.

“Pagar-pagar sempadan ini tidak dirosakkan Pati tapi perbuatan itu selalu dilakukan oleh tekong dengan menggunakan alatan tajam,” katanya.

Sementara itu, pada Disember 2013 pernah dilaporkan sindiket mengubah modus operandi mereka dengan mengarahkan Pati memanjat tembok konkrit sempadan setinggi hampir 2.4 meter dari sebelah Thailand.

Bagaimanapun 32 Pati warga Myanmar itu ditahan selepas anggota PGA mengesan tapak kaki manusia di lereng bukit berhampiran tembok sempadan negara di Padang Besar.

Mohon tembok baharu

Dalam pada itu, kerajaan negeri pernah memohon agar kerajaan pusat dapat membina tembok baharu bagi menggantikan pagar sempadan Malaysia-Thailand yang telah usang selain mudah dibolosi oleh pati serta penyeludup.

Menurut Menteri Besar Perlis, Azlan Man, pagar sempadan yang dibina lebih 30 tahun sudah terlalu lama dan berkarat sehingga senang dipotong oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Selepas negara digemparkan dengan penemuan kubur tersebut, Kementerian Dalam Negeri kini sedang menimbang beberapa kertas cadangan pembinaan tembok di sempadan negara kerana ia merupakan keperluan bagi mengekang kejadian jenayah penyeludupan manusia secara lebih berkesan.

Namun sebelum tembok itu dibina, pihak keselamatan perlu bekerja keras menjaga sempadan negara.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Shafei Ismail berkata, sempadan di Bukit Wang Burma Wang Kelian kini dikawal ketat oleh PGA bagi memastikan kawasan itu tidak dicerobohi.

Syed Basri pula akan memastikan hanya 10 peratus anggotanya dibenarkan bercuti semasa musim perayaan dan 90 peratus akan tetap setia menjaga sempadan 24 jam sehari.

0 Komentar untuk " Pagar sempadan dua negara usang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ