Fokus berniaga secara online - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fokus berniaga secara online

BERMULA dengan menjalankan kerja-kerja pembekalan barangan kepada pejabat-pejabat sekolah di sekitar Klang, syarikat Jom Printing milik Mohd Hilli Fahmi Md Asri, 32, ditubuhkan pada 2010.

Bermodalkan RM1,000 hasil daripada wang simpanan sendiri, Mohd Hilli mengusahakan perniagaan berasaskan pembekalan pelbagai barang kepada pelanggannya.

Dari situ, dia belajar mengenai selok-belok perniagaan dengan pengalaman sifar mengenai bidang tersebut.

Ternyata perniagaan yang diusahakan bersama isteri tersayang, Syarafina Shaffi kini mampu berdiri teguh selepas mengalami pelbagai cabaran hebat.

Namun selepas 2013, pasangan ini bersetuju untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap satu bidang iaitu bidang reka bentuk grafik dan percetakan.

"Keputusan ini diambil setelah menyertai program keusahawanan yang menasihatkan mereka agar menumpukan satu produk sahaja supaya lebih tersusun dan teratur.

"Ketika itu, kami hanya beroperasi dari rumah. Jadi, timbul masalah untuk memasarkan produk kami," katanya.

Kesukaran untuk mempromosikan produk Jom Printing, Mohd Hilli kemudiannya mendapat idea untuk menggunakan atas talian (online) kerana tidak memiliki tempat yang sesuai sebagai pejabat mereka.

"Alhamdulillah, sudah tiga tahun kami beroperasi dari rumah dan kini kami mempunyai premis perniagaan sendiri di Kemuning Utama Seksyen 33, Shah Alam.

"Ia merupakan rahmat buat kami untuk menaik taraf perniagaan ini dari masa ke masa. Perniagaan kami masih dijalankan secara atas talian kerana di situ kekuatan syarikat ini," katanya.

Sukar yakinkan pelanggan

Menurut Mohd Hilli, cabaran terbesar pasangan ini adalah untuk bersaing dengan perniagaan lain secara online.

"Kami beroperasi tidak seperti syarikat lain yang punyai premis perniagaan untuk pelanggan mereka tetapi kami melakukan segalanya di kediaman sendiri.

"Dari situ wujud rasa tidak yakin pelanggan terhadap produk yang kami keluarkan terutama syarikat korporat," katanya.

Dia berkata kebanyakan pelanggannya terdiri daripada syarikat atau vendor dan terpaksa berhadapan dengan meyakinkan pelanggan mereka bahawa syarikat itu wujud.

Katanya, setelah tiga tahun beroperasi nama syarikat itu antara yang terkuat dalam perniagaan online.

"Alhamdulillah, kami kini mempunyai hampir 30,000 pelanggan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan bidang perniagaan.

"Dalam perniagaan ini, kami juga mengalami asam garam kehidupan dan kami pernah jatuh namun bangkit semula untuk menerajui syarikat ini ke tahap lebih baik," katanya.

Mohd Hilli berkata selain cabaran tersebut, terdapat kekangan lain yang mempengaruhi perniagaannya seperti masalah sumber manusia dan kos bahan yang semakin meningkat.

Fokus dua promosi

Disebabkan cabaran kuat dalam bidang tersebut, Mohd Hilli mengambil keputusan untuk mengasingkan diri daripada perniagaan itu dan memfokuskan kepada ‘Promotional Table’ dan percetakan pelekat tanpa minimum kuantiti.

"Dengan fokus dua perkara ini, kami telah dikenali sebagai salah satu pembekal Promotional Table dan pelekat dengan harga yang murah serta perkhidmatan pantas.

"Kami menawarkan pelbagai jenis percetakan atau reka bentuk grafik terdiri daripada kad perniagaan sehingga ke papan tanda niaga," katanya.

Setelah terlibat dengan perniagaan itu, dia turut mengalami pengalaman manis seperti mendapat tawaran pembekalan baju sebanyak 4,500 helai khusus untuk Hari Belia Negara dari Kementerian Belia Sukan pada 2012.

"Alhamdulillah. Walaupun banyak rintangan kami hadapi untuk menyempurnakan segala persiapan dan menyiapkan tempahan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Saya tidak pernah menyesal biarpun pernah ditipu RM15,000 pelanggan dan pembekal. Semua ini menjadi pengajaran untuk kami lebih berhati-hati untuk berurus niaga," katanya.

0 Komentar untuk " Fokus berniaga secara online "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ